Kenali Dion Johan Cools Senjata Rahsia Harimau Malaya

Tan Cheng Hoe telah membawa 25 pemain bagi menghadapi baki tiga perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022 Qatar menentang UAE, Thailand dan Vietnam.

Selepas perlawanan pemanas badan menentang Bahrain dan Kuwait, Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin telah membuat kejutan.

Melalui satu video Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin telah menyatakan akan mengumumkan seorang lagi pemain baharu Harimau Malaya.

“Sekarang waktu jam 8 pagi di Dubai. Nantikan ketibaan pemain ke-26 Harimau Malaya.”

Pada 1 Jun 2021, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), secara rasmi telah memperkenalkan pemain berdarah campuran Malaysia-Belgium, Dion Cools sebagai pemain ke-26 dalam skuad Harimau Malaya.

Satu nilai tambah yang begitu berharga yang ada pada Dion Cools yang kini beraksi di Liga Denmark, Danish Superliga bersama pasukan FC Midtjylland.

Menurut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) proses penukaran status pasukan negara Dion Cools dari Belgium ke Malaysia sebenarnya sudah berjalan lama selepas Dion Cools sendiri telah menyatakan bahawa beliau berminat dan bersetuju untuk memilih Malaysia sebagai negara yang ingin diwakilinya di peringkat senior ini.

Biarpun telah mewakili Belgium bagi skuad B-18, B-19 dan B-21 negara berkenaan, Dion Cools masih layak untuk menyarung jersi Harimau Malaya dengan perlunya untuk mendapatkan kelulusan Jawatankuasa Status Pemain FIFA dengan syarat beliau tidak pernah beraksi bersama skuad senior kebangsaan Belgium. Syarat lain juga telah dipenuhi apabila beliau lahir di Malaysia dan ibunya juga merupakan warganegara Malaysia.
.
Bagi mendapatkan perincian mengenai perlawanan Dion Cools bersama pasukan bola sepak Belgium, FAM telah beberapa kali menghantar surat secara rasmi kepada Persatuan Bolasepak Belgium (RBFA) dan setelah FAM menerima bantuan FIFA, RBFA telah pun membalas permintaan FAM dengan memberikan perincian berkenaan penglibatan Dion Cools dalam skuad B-18 dan B-19 Belgium dari 2014 hingga 2015 dan skuad B-21 Belgium dari 2016 hingga 2019 bersama senarai perlawanan, selain mengesahkan bahawa Dion Cools tidak pernah beraksi dalam mana-mana perlawanan rasmi bersama skuad senior kebangsaan Belgium.
.
FAM kemudiannya telah membuat permohonan kepada Jawatankuasa Status Pemain FIFA dengan melampirkan dokumen-dokumen berkaitan pemain bersama surat perincian yang diterima daripada RBFA. Setelah membuat penelitian terhadap asas-asas yang diguna pakai dan dokumen-dokumen berkaitan, Jawatankuasa Status Pemain FIFA akhirnya telah membuat keputusan untuk meluluskan permohonan tersebut.
.
Selepas mendapat kelulusan FIFA, FAM dengan segera mendaftarkan nama Dion Cools dalam senarai awal pendaftaran pemain bagi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dan selepas ia diluluskan FIFA dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), barulah FAM boleh mengumumkan secara rasmi Cools sebagai pemain Harimau Malaya.

Insan yang berada yang memainkan peranan penting untuk meyakinkan Dion Cools untuk memilih Malaysia adalah Tunku Mahkota Johor (TMJ), DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim.

Terima Kasih TMJ!!

Dion Johan Cools

Dion Johan Cools dilahirkan di Kuching, Sarawak pada 4 Jun 1996. Bapanya berasal dari Belgium dan ibunya pula anak kelahiran Malaysia dari Sarawak.

Pemain posisi bek kanan ini memulakan karier bola sepak bersama Tempo Overijse sebelum berpindah ke OH Leuven pada usia 9 tahun.

Kemudian Dion Cools telah menyertai pasukan remaja Anderlecht pada 2010 dan kembali semula bersama akademi remaja OH Leuven pada 2013.

Pada 3 Ogos 2014, Cools membuat penampilan sulung bersama pasukan senior OH Leuven yang beraksi di Liga Divisyen kedua Belgium di bawah bimbingan jurulatih Ivan Leko.

Dion Cools berada dalam kesebelasan utama untuk perlawanan menentang Racing Mechelen. Selepas itu Cools mula menjadi pemain utama walaupun selepas pemecatan Leko.

Di bawah bimbingan ketua jurulatih baru, Jacky Mathijssen pada bulan Disember 2014, Cools tetap menjadi pemain permulaan di skuad utama.

Pada bulan Mei 2015, dia turut beraksi untuk OH Leuven di pusingan akhir untuk promosi. Cools tidak terlepas satu minit pun dalam perlawanan pusingan akhir dan memenangi promosi ke Divisyeb pertama Belgium.

Pada 23 Jun 2015, Cools telah diikat oleh Club Brugge yang beraksi di Jupiler Pro League merupakan liga divisyen pertama Belgium, liga di mana Luqman Hakim berkelana sekarang.

Cools menjadi pemula di bawah ketua jurulatih Michel Preud’homme pada musim 2016-17 kerana prestasi buruk oleh bekas pemain antarabangsa Belanda Ricardo van Rhijn.

Cools juga kekal sebagai pemain utama di bawah jurulatih baru Ivan Leko, di mana mereka pernah bergandingan di OH Leuven. Kehadiran Clinton Mata menyebabkan Cools kehilangan tempatnya.

Bersama Club Brugge selama lima musim, Dion Cools berjaya merangkul dua kali gelaran liga dan dua kali Belgian Super Cup.

Pada 31 Januari 2020, Cools menandatangani kontrak tiga tahun bersama Midtjylland yang beraksi di Superliga Denmark.

Dion Cools membuat debut pada 17 Februari ketika Midtjylland menang 2-0 ke atas Lyngby.

Cools menjaringkan gol pertamanya untuk Midtjylland pada 14 Februari 2021, satu-satunya gol perlawanan tersebut menentang Horsens di Superliga.

Dion Cools bukan satu nama asing lagi dalam kancah bola sepak Malaysia, pemain kelahiran Kuching Sarawak itu sebelum ini pernah beraksi bersama pasukan kebangsaan Belgium bawah 18, 19 dan 21.

Sebelum ini, bekas jurulatih pasukan bawah 22 tahun negara, Frank Bernhardt dikatakan cuba memujuk pemain Belgium, Dion Cools untuk mewakili Malaysia di Sukan SEA.

Memandangkan Dion Cools mempunyai darah Malaysia menerusi ibunya yang merupakan rakyat Sarawak tiada masalah untuk beliau beraksi untuk Malaysia.

Aksi Dion Colls Di Pentas Eropah

Pentas Eropah dan kejohana teragung Eropah seperti Champions League bukanlah satu perkara asing bagi Dion Cools yang kini sudah berusia 25 tahun.

Bersama Club Brugge, Dion Cools berada dalam pasukan yang menentang Manchester United yang ketika itu dibarisi oleh Wayne Rooney, Juan Mata, Memphis Deya dan Bastian Schweinsteiger.

Bersama FC Midtjylland, Cools pernah beraksi menentang Liverpool dalam kempen Liga Juara-Juara. Dalam perlawanan tersebut, Cools dilihat dengan bersahaja merantai pergerakan Sadio Mane.

Dia juga mencipta beberapa peluang melalui hantaran-hantaran bijak ke kotak penalti lawan.

Perlawanan tersebut berakhir dengan keputusan seri 1-1.

BACA:  Mutu Pengadilan Malaysia vs Vietnam Teruk, FAM Hantar Surat Rasmi Kepada AFF