Dota 2: Kuala Lumpur Bakal Jadi Hos Major Pertama Bagi Musim Baru ‘Dota Pro Circuits’

Berita baik kepada semua peminat Dota 2 di Malaysia dan juga Asia Tenggara kerana Kuala Lumpur baru sahaja diumumkan sebagai hos bagi kejohanan bertaraf ‘Major’ pertama bagi musim baru ini.

The International 2018 baru sahaja berakhir beberapa minggu lalu yang menyaksikan pasukan dari benua Eropah, OG Dota dinobatkan sebagai juara keseluruhan. OG berjaya membawa pulang wang berjumlah $11 juta selepas menewaskan PSG.LGD dalam aksi Grand Final.

Kuala Lumpur Major bermula 9 hingga 18 November 2018. Tak lama dah

Bagi musim baru ini, penganjur kejohanan E-sport terkemuka dunia, PGL mengumumkan ‘Kuala Lumpur Major’ bakal menjadi kejohanan Major pertama di bawah Valve dengan menawarkan prize pool berjumlah  $1 juta.

Pertandingan ini dijadualkan berlangsung pada 9 hingga 18 November dengan Main Event akan diadakan selama 3 hari iaitu 16-18 November.

Kejohanan ini akan diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil. Harga tiket bagi menyaksikan Main Event selama 3 hari bermula pada harga RM 180 (ancient) dan sehingga RM 600 (Immortal), bergantung kepada kedudukan tempat duduk di dalam stadium.

Bagi pengguna Astro, mereka berpeluang mendapatkan 20% diskaun sekiranya mereka membuat pembelian tiket bermula 11 September sehingga 16 September ini.

Syed Saddiq turut hadir dalam majlis rasmi mengumumkan penganjuran The Kuala Lumpur Major. Syed Saddiq = Bapa E-Sports Malaysia

Tiket awal akan mula dijual bermula 17 September sehingga 30 September ini. Segala maklumat mengenai pembelian tiket boleh didapati di laman rasmi Kuala Lumpur Major, (http://www.thekualalumpurmajor.com).

Malaysia pernah menjadi tuan rumah kepada kejohanan bertaraf ‘Minor’ tahun lepas dengan ESL One Genting yang diadakan di Genting Highlands, Pahang.

Pengumuman ini bakal menceriakan peminat Dota 2 seluruh dunia yang dahagakan aksi pasukan kegemaran mereka yang kini sedang berehat buat seketika.

Hampir kesemua pemain profesiona Dota 2 ketika ini sedang mencari pasukan atau membentuk pasukan sendiri bagi menghadapi ‘Dota Pro Circuits’ atau DPC yang bakal bermula tidak lama lagi dengan pusingan kelayakan bagi Kuala Lumpur Major.

Pasukan yang berminat untuk menyertai DPC musim baru ini perlu menghantar senarai nama ahli pasukan mereka sebelum 15 September ini.

Sebelum The International 2018 lalu, Valve mengumumkan format baru bagi musim DPC yang baru ini. Jumlah kejohanan akan dikurangkan selepas terdapat rungutan dari pelbagai pasukan mengenai jadual bertindih yang menyebabkan sesetengah pasukan terpaksa mengundur diri dari menyertai kejohanan yang mereka ingin sertai.

OG, juara The International 2018. Jutawan E-Sports !

Valve juga mengumumkan tiada lagi pasukan akan menerima ‘Direct Invite’ untuk menyertai mana-mana pertandingan. Setiap pasukan perlu melalui pusingan kelayakan tanpa mengambil kira status atau populariti pasukan tersebut.

Berbalik kepada Kuala Lumpur Major, Malaysia bakal menjadi negara kedua selepas Filipina menganjurkan kejohanan bertaraf Major. Dengan PGL diumumkan sebagai penganjur kejohanan ini, peminat seluruh dunia tentunya sudah tidak sabar untuk menyaksikan aksi Dota 2 dari pemain profesional kegemaran masing-masing.

BACA:  Dota 2: Legenda Dota Malaysia, Mushi Bantu Mineski Bawa Pulang Hadiah Bernilai RM1.4 Juta