Dota 2: Virtus Pro Juara Kuala Lumpur Major, Bawa Pulang RM 1.4 Juta

Virtus Pro berjaya menjuarai kejohanan Major pertama musim ini apabila menewaskan Team Secret dalam aksi Grand Final yang berlangsung Axiata Arena di Bukit Jalil hari ini.

Selepas bertarung berjam lamanya, Virtus Pro akhirnya berjaya menewaskan Team Secret 3-2 dalam aksi Grand Final. Dengan kemenangan ini, Virtus Pro membawa pulang wang tunai berjumlah $350,000 (RM 1.4 Juta) selain mengumpul 4950 mata Dota Pro Circuits (DPC).

Virtus Pro juara Kuala Lumpur Major

Pasukan dari berpengkalan di Russia itu mengecewakan ribuan peminat tanah air yang ingin melihat ‘Mid’ player Team Secret yang juga anak tempatan, Yeik Nai Zheng atau lebih dikenali sebagai Midone menjulang trofi di hadapan penyokong sendiri.

Cuba lagi Midone, anak kelahiran Perak.

Dalam aksi Grand Final yang bermula sekitar pukul 2 petang tadi, Virtus Pro dan Team Secret masing-masing menunjukkan persembahan Dota 2 bertaraf dunia dan berjaya menghiburkan penonton yang membanjiri stadium.

Ini merupakan kali pertama Malaysia menganjurkan kejohanan Dota 2 bertaraf Major. Sebelum ini, Malaysia pernah menjadi tuan rumah kepada kejohanan bertaraf Minor iaitu ESL One Genting yang berlangsung tahun lepas.

Team Secret dianggap pasukan pilihan untuk memenangi Kuala Lumpur Major berdasarkan prestasi semasa. Namun lawan mereka di Grand Final adalah Virtus Pro, juara 4 kali Major.

Seperti diduga, kedua-dua pasukan bertarung sengit sehingga pemenang terpaksa ditentukan pada perlawanan ke-5 selepas Virtus Pro berjaya mengikat kedudukan menjadi 2-2 pada perlawanan ke-4.

Keengganan kapten Team Secret, Puppey untuk ‘menggantung’ hero Terrorblade pada perlawanan ke-5 nyata memakan diri kerana ‘Carry’ Virtus Pro, Ramzes berjaya menggunakan hero tersebut dengan cemerlang sehingga membawa kemenangan kepada pasukannya.

Kejohanan Major seterusnya akan berlangsung di Chongqing, China sekitar Januari tahun hadapan dengan pusingan kelayakan telah pon bermula.

BACA:  Dota 2: Legenda Dota Malaysia, Mushi Bantu Mineski Bawa Pulang Hadiah Bernilai RM1.4 Juta