Dua Momen Mendebarkan Indonesia Hampir Bolosi Gawang Juara Dunia Argentina

Skuad kebangsaan Indonesia setidak-tidaknya mempunyai dua peluang keemasan untuk membocori gawang juara dunia Argentina dalam perlawanan persahabatan yang berlangsung di Stadium Utama Gelora Bung Karno pada malam tadi.

Tampil dengan semangat ‘Garuda di dada’, barisan pemain kendalian Shin Tae-yong tewas 0-2. Namun demikian persembahan pasukan negara jiran itu mendapat perhatian ramai kerana berjaya menyukarkan Argentina sepanjang 90 minit perlawanan.

Aksi berdisiplin skuad Garuda juga berjaya membuatkan Argentina sedikit frust kerana hanya berjaya membolosi gawang lawan selepas minit ke-38 perlawanan.

Situasi tersebut ternyata berbeza ketika Argentina menewaskan Australia dengan jaringan yang sama, apabila Lionel Messi meletakkan pasukan negaranya berada di hadapan selepas 81 saat perlawanan berlangsung.

Tanpa Messi dan beberapa tunjang utama, Argentina masih lagi mampu menurunkan barisan pemain serba ampuh.

Namun setidaknya, Indonesia memiliki dua peluang untuk mengejutkan juara dunia itu di Stadium Utama Gelora Bung Karno. Berikut adalah dua momen tersebut yang membuatkan semua jantung peminat Garuda berdegup kencang:

1. Tendangan Ivar Jenner

Peluang terbaik pertama yang diperolehi Indonesia tercipta ketika perlawanan babak pertama memasuki minit keempat masa kecederaan.

Peluang tersebut hadir apabila Ivar Jenner yang dibiarkan bebas di dalam kotak penalti tanpa sebarang kawalan memperolehi umpanan daripada Dimas Drajad.

Sayang sekali penyudah akhir pemain berusia 19 tahun itu terlalu lemah sehingga bola berjaya ditepis penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez yang terpaksa menjatuhkan badan dan melakukan refleks sempurna.

Ia pasti debut yang tidak dapat dilupakan oleh Jenner sekiranya bola itu berjaya membolosi gawang Argentina.

2. Tandukan Elkan Baggott

Kemudian peluang terbaik kedua Indonesia untuk mencipta jaringan dalam perlawanan ini hadir pada minit ke-53 perlawanan melalui tandukan Elkan Baggott.

Peluang tersebut terhasil melalui umpanan lontaran jarak jauh yang dihasilkan oleh Pratama Arhan.

Arhan sememangnya dikenali sebagai pemain yang mampu melakukan lontaran maut. Lontaran daripada sebelah sisi kiri disambut dengan tandukan ke belakang oleh Baggot.

Nyata tindakan Baggot itu berjaya mengekutkan  Emiliano Martinez yang terpaksa melakukan lompatan akrobatik demi menepis bola keluar dari kawasan bahaya.

Tidak terkesan banyak

Indonesia akhirnya terpaksa akur dengan kekalahan 0-2 kepada Argentina.

Argentina memperolehi jaringan pertama melalui sepakan deras dari luar kotak penalti Leandro Paredes pada minit ke-38 untuk mendahului 1-0.

Argentina kemudiannya melebarkan kedudukan kepada  2-0 hasil gol tandukan jarak dekat Cristian Romero selepas pemain itu memanfaatkan hantaran Giovani Lo Celso.

Kekalahan ini bagaimanapun tidak menjejaskan kedudukan Indonesia di kedudukan ranking FIFA.

Kekalahan kepada juara dunia itu bermakna Indonesia hanya akan kehilangan 0.45 mata.

Jika Marc Klok, Saddil Ramdani dan rakan sepasukan yang lain berjaya menang ke atas Argentina, maka Indonesia akan mendapat tambahan 9.66 mata.

Jika keputusan menentang Argentina berakhir dengan seri, Indonesia masih akan mendapat 4.55 mata

BACA:  Copa America (Final): Argentina 1 - 0 Brazil