Dua Perkara Yang Perlu Anda Tahu Tentang Chelsea Dalam Siri Jelajah Amerika

Chelsea telah menyelesaikan siri jelajah pra-musimnya di Amerika Syarikat. Mereka terbang ke 5 bandar untuk beraksi dalam 5 perlawanan. Mereka menggunakan tempoh 18 hari untuk mengenalpasti kekuatan yang boleh dibawa ke perlawanan pertama Liga Perdana atau memperbaiki masalah sebelum jendela perpindahan tamat.

Skuad muda Mauricio Pochettino pulang ke Cobham tanpa mencatat sebarang kekalahan. Chelsea menewaskan Wrexham, Brighton dan Fulham. Mereka juga mengikat kelab yang sedang meningkat naik iaitu Newcastle dan gergasi Bundesliga, Borussia Dortmund dengan keputusan seri. Tidak lupa pasukan bimbingan Mauricio Pochettino itu muncul sebagai juara sulung Premier League Summer Siries.

Tidak hanya perlawanan persahabatan, Chelsea juga banyak melakukan aktiviti komersial dan aktiviti sosial peminat bersama para pemainnya. Pengarah sukan, Laurence Stewart dan Paul Winstanley turut bersama pasukan sambil menguruskan hal penjualan dan pembelian pemain baharu.

Todd Boehly, Behdad Eghbali, Jose E. Feliciano dan Hansjorg Wyss hadir menonton perlawanan, melihat sesi latihan pemain dan bertandang di hotel pasukan.

Sepanjang tempoh itu, Pocchetino telah melontarkan nada positif dan skuad yang kembali dari siri jelajah kali ini jauh lebih baik dari apa yang dimiliki oleh Thomas Tuchel pada 12 bulan lepas.

Namun Chelsea masih perlukan beberapa penambahbaikan untuk mengukuhkan skuadnya terutamanya melalui pembelian pemain baharu sebelum jendela perpindahan ditutup.

Berikut adalah dua perkara yang boleh dirumuskan selepas Chelsea menamatkan lawatan mereka di Amerika Syarikat. Satu darinya berada dibahagian positif dan satu lagi berada di arah sebaliknya.

Identiti baharu Chelsea dan Nkunku adalah kunci serangan

Chelsea telah menggunakan perlawanan terakhirnya, menentang Dortmund untuk memberi bayangan kesebelasan utama yang akan diturunkan dalam perlawanan Liga Perdananya nanti.

Pochettino sendiri berkata, perlawanan kelima dia akan menurunkan pemain yang dia mahu digunakannya nanti. Dalam perlawanan itu dia merancang untuk memberi 90 minit permainan kepada beberapa beberapa pemain. Bermakna ini menjadi pembayang besar skuad utama pengurus itu.

Pemilihan pemain yang dilakukan cukup seimbang dengan Thiago Silva dan Levy Colwill silih berganti keluar dari garisan pertahan untuk melakukan progessive passes (hantaran ke bahagian atas). Sementara itu Connor Gallagher dan Enzo Fernandez berlari tanpa mengenal penat bagi melindungi pertahanannya ketika pasukan hilang penguasaan.

Raheem Sterling kekal dibahagian sisi-kanan sambil disokong oleh Reece James dibelakangnya. Di bahagian kiri pula, Christopher Nkuku akan masuk kebahagian-tengah untuk menyokong Nicolas Jackson dan Ben Chilwell diberi lebih kebebasan berbanding James.

Perlawanan kelima adalah evolusi semulajadi dan kombinasi taktikal dari 4 perlawanan sebelumnya. Ketika menentang Brighton, Chilwell bertindak sebagai left winger (de facto) walaupun di atas kertas dia berada di posisi left back. Nkuku pula memegang peranan hybric ketika bertemu Fulham untuk bersama Jackson berada di garisan pertahanan lawan.

Sistem 4231 sesuai dengan majoriti pemain Chelsea. Dengan sistem ini Chelsea tidak perlu mengambil masa lama untuk membina serangan baharu yang lebih dinamik dan menarik tanpa mengorbankan sesuatu dibahagian pertahanannya.

Set kemahiran Nkuku yang versatil telah menjadi pencetus serangan di bahagian final third. Dia merupakan pemain yang dicari selama ini oleh Pochettino. Namun kecederaan yang dialaminya pada perlawanan terakhir telah mencetuskan rasa bimbang ketika Chelsea hanya mempunyai 10 hari sebelum turun menentang Liverpool.

Nkuku menginterpretasikan peranannya melalui kepintaran dengan memilih masa tepat bila mahu turun kebawah atau bergerak ke sisi untuk menerima bola. Dia cekap dalam menyerang kotak penalti dan bijak meletakkan dirinya dalam posisi terbaik untuk menjaringkan gol. Jaringannya ketika menentang Fulham adalah satu contoh kombinasi posisi, peranan dan kepintarannya.

Peranan ini membolehkan Nkuku lebih terlibat dengan permainan berbanding berada diposisi NO9. Dia boleh mengekploitasikan ruang terbuka hasil dari ancaman berterusan yang dilakukan oleh Jackson, dia mempunyai kebebasan untuk berlari ke bahagian belakang pertahanan lawan. Tanpa Nkuku serangan Chelsea akan menjadi lebih longgar.

Mykhailo Mudryk pula lebih gemar kekal di bahagian sisi-kiri dan ini meletakkan dirinya agak jauh dari Jackson dan Chukwuemeka. Malah kedudukan Mudryk merupakan kawasan Chilwell ingin masuk. Keadaan ini mengganggu kelancaran permainan Chelsea dan Jackson pula perlu mencipta sesuatu untuk dirinya sendiri. Apa yang positif mengenai Mudryk, dia mempunyai kepantasan.

Merujuk kepada apa yang berlaku dalam 5 perlawanan persahabatan, Nkuku akan menjadi pemain penting dalam serangan pasukan dan Pocchetino akan membina serangannya melalui pemain ini.

Bahagian-tengah tidak bermaya tanpa pemain seperti Caicedo

Tidak ada fakta menarik selain Connor Gallagher bermain dalam kesemua perlawanan persahabatan kali ini. Menariknya masa depan pemain ini tidak menentu. Dia merupakan salah seorang dari 3 pemain utama (Silva dan Kepa) yang mempunyai baki kontrak kurang dari 2 tahun. Chelsea masih belum memutuskan sama ada mahu mengekalkan atau menjualnya.

Buat masa sekarang tiada prospek untuk melanjutkan kontraknya dan sepanjang dia berada di Amerika, dia telah dilindungi oleh kelab dari media yang mungkin cuba mengetahui apa perkembangan masa depannya.

Gallagher mendapat kepercayaan Pochettino dan dia merupakan penyumbang utama di bahagian-tengah walaupun diberi saingan oleh pemain muda seperti Chukwuemeka, Andrey Santos dan Cesare Casadei.

Keberadaan Gallagher dalam skuad Chelsea amat penting untuk mengurangkan beban Fernandez (terlalu kerap bermain) dan Gallagher telah bermain selama 90 minit ketika bertemu Dortmund, perlawanan gambaran skuad utama Chelsea sekurang-kurang pada awal liga nanti. Gallagher juga menjadi penting ketika progres untuk membeli Moises Caicedo berjalan agak perlahan.

Cesare Casadei dinilai belum bersedia untuk bermain dalam perlawanan sebenar kerana dia mudah ditekan oleh pemain lawan di kawasannya sendiri. Manakala Andrey Santos terbukti lebih dipercayai berbanding Lesley Ugochukwu namun Pochettino lebih mahukan seseorang yang mempunyai pengalaman untuk digandingkan dengan Fernandez.

Chelsea agak baik dalam menggerakkan bola ke bahagian atas namun mereka sedikit bergelut untuk memenangi semula bola. Dalam pertemuan menentang Liverpool nanti, Pochettino lebih cenderung menurunkan gandingan Fernandez dan Gallagher berbanding mana-mana pemain lain untuk berhadapan dengan dua pembelian baharu Jurgen Klopp, Alexis MacAllister dan Dominic Szobozslai.

BACA:  Bukti Marina Granovskaia Maklum Urusan 'Under Table' Chelsea Didedahkan