Emery: Ozil Mungkin Jadi Kapten Tetap Arsenal

Pengurus Arsenal, Unai Emery memberi gambaran bahawa Mesut Ozil akan dijadikan sebagai kapten tetap Arsenal selepas beliau memikul tanggungjawab tersebut dengan baik ketika Arsenal membelasah Paris Saint-Germain 5-1 dalam saingan International Champions Cup semalam.

Ozil mengharungi musim panas yang agak mencabar dimana beliau merupakan sebahagian daripada skuad Jerman yang tersingkir seawal peringkat kumpulan dalam Piala Dunia yang lalu. Tidak lama kemudian, Ozil mengumumkan persaraan daripada arena antarabangsa kerana masalah perkauman yang berlaku dalam kem Jerman.

Mesut Ozil kembali ceria

Bagi meredakan kesedihan Ozil, Emery telah memberikan tanggungjawab untuk menggalas tugas kapten kepada Ozil ketika Arsenal turun menentang PSG semalam di Singapore National Stadium. Ia merupakan penampilan pertama Ozil dalam perlawanan pra-musim selepas pulang lewat kerana penglibatannya bersama skuad Jerman di Russia.

Ketika bercakap kepada pemberita selepas tamat perlawanan, Emery percaya Ozil telah menunjukkan kebolehan untuk memikul tanggungjawab sebagai kapten, tetapi pemain senior lain seperti Laurent Koscielny dan Petr Cech juga perlu dihormati.

“Kami sedang bekerja bersama dan memberi tanggungjawab kepada setiap pemain. Saya percaya Ozil mampu memikul tanggungjawab dengan baik, tetapi kita tidak boleh lupa kepada Koscielny yang sedang dalam proses untuk kembali dalam pasukan. Kita juga mempunyai Petr Cech yang telah menjadi kapten dalam perlawanan persahabatan sebelum ini.”

“Aaron Ramsey juga menjadi kapten dalam perlawanan pra-musim dan saya mungkin akan meletakkan satu atau dua pemain lagi bagi menggalas tugas kapten dalam pasukan ini.”

Emery pernah berkata sebelum ini mengenai rancangan beliau untuk menamakan sehingga 5 pemain untuk memakai lilitan kapten dalam skuad Arsenal.

“Rancangan kami sudah hampir siap tetapi seperti saya katakan sebelum ini, Koscielny merupakan salah seorang daripada 5 pemain tersebut tetapi buat masa sekarang beliau masih lagi cedera.”

“Saya mungkin akan menamakan Ramsey, Cech dan Ozil. Selepas itu, saya perlu mencari satu atau dua pemain lagi.”

Dalam perlawanan pemanas badan semalam, Arsenal beraksi cemerlang menentang skuad PSG yng rata-rata dibarisi pemain remaja mereka.

Ozil membalas kepercayaan Emery dengan membuka jaringan pada minit ke-13 selepas menerima hantaran cantik daripada Pierre-Emerick Aubameyang.

Ozil bermain dalam peranan lebih menyerang bersama Aubameyang pada separuh masa pertama dan Emery telah ditanya mengenai posisi terbaik Ozil dalam kesebelasan utama Arsenal.

Dua gol dari Lacazette pada separuh masa kedua

“Saya mahu memberi Ozil dan pemain-pemain lain beraksi dalam posisi yang dirasakan paling selesa ketika beraksi di atas padang.”

“Ozil memulakan perlawanan dengan mengisi peranan No.10 dengan Matteo Guendouzi dan Mohamed Elneny beraksi di belakang beliau.”

“Ianya bergantung kerana Ozil boleh bermain di bahagian kanan dan masuk ke dalam bagi memberi ruang kepada right back untuk mara ke atas.”

“Kami sedang berusaha mencari ruang buat Ozil dan pemain-pemain lain supaya mereka dapat menonjolkan kualiti yang ada pada diri masing-masing melalui posisi terbaik mereka.”

BACA:  Mesut Ozil Menghamburkan Pujian Menggunung Kepada Benzema Atas Kecemerlangannya Bertemu Man City