Empat Pemain Bakal Tinggalkan Old Trafford Dan Bantu United Jimat £750k Seminggu

Manchester United dijangka bakal mampu menjimatkan perbelanjaan mereka pada musim hadapan selepas empat penerima gaji tertinggi kelab akan meninggalkan Old penghujung musim ini.

Setan merah dilaporkan akan mampu menjimatkan perbelanjaan mereka sehingga £750,000 seminggu dengan pemergian empat pemain tersebut.

United baru-baru ini telah berjaya mengikat kontrak baru bersama Bruno Fernandes dengan pemain kebangsaan Portugal itu akan menerima £15 juta setahun.

Setan merah walau bagaimanapun, bakal dapat menanggung semula kos membayar Bruno Fernandes itu dengan melepaskan beberapa pemain dari skuad utama pada penghujung musim ini nanti.

Paul Pogba, Edinson Cavani, Jesse Lingard dan Juan Mata kesemuanya akan meninggalkan Old Trafford pada musim panas nanti dengan kontrak mereka bakal tamat pada penghujung musim ini.

Menurut sumber laporan dari The Athletic, kesemua empat pemain itu dilaporkan menerima pendapatan bernilai £750,000 seminggu dengan Paul Pogba merupakan penerima gaji tertinggi.

Manchester United membayar yuran perpindahan memecah rekod dunia bernilai £89.3 juta untuk menandatangani semula bintang berusia 29 tahun itu dari Juventus pada tahun 2016 lalu.

Walau bagaimanapun, selepas melalui karier yang tidak begitu baik di Old Trafford, Paul Pogba sepertinya bakal sekali lagi meninggalkan kelab sebagai pemain bebas ejen.

Real Madrid, Paris Saint Germain dan Juventus kesemuanya telah dikaitkan dengan pemain kebangsaan Perancis itu dengan Pogba sendiri sebenarnya masih belum memutuskan soal masa depan beliau.

Cavani yang ketika ini sudah berusia 35 tahun itu dijangka akan meninggalkan kelab pada musim panas nanti, selepas beliau dilihat kerap diketepikan kerana dibelenggu masalah kecederaan.

Musim keduanya bersama setan merah dilihat tidak berjalan seperti yang diharapkan dengan Cavani bergelut untuk mendapatkan tahap prestasi terbaiknya.

Pemain berusia 35 tahun itu menyertai Manchester United menerusi perjanjian perpindahan percuma pada tahun 2020 yang lalu dengan beliau berjaya memukau peminat atas aksi hebatnya pada musim debutnya bersama kelab.

Edinson Cavani ketika itu berjaya menjaringkan 17 gol untuk Manchester United dari semua pertandingan dan ia jelas sekali merupakan satu rekod yang sangat baik untuk pemain veteran seperti beliau.

Walau bagaimanapun, pemain kebangsaan Uruguay itu tidak mendapat minit permainan yang mencukupi pada musim ini, dengan beliau hanya mampu enam kali sahaja diturunkan dalam kesebelasan utama dalam saingan liga.

Beliau ketika ini sudah bersedia untuk meninggalkan kelab dengan kepulangan semula ke Amerika Selatan dilihat bakal menjadi pilihan utama beliau.

Juan Mata merupakan antara pemain paling lama yang ada dalam skuad setan merah pada ketika ini, dengan beliau bakal dibenarkan untuk meninggalkan kelab pada musim panas nanti.

Beliau sudah mula tidak mendapat tempat sejak beberapa musim kebelakangan ini dan pada musim ini, beliau baru membuat lima penampilan sahaja bersama kelab.

Sementara Jesse Lingard pula, beliau dijangka bakal meninggalkan kelab pada penghujung musim ini, dek kerana beliau sukar untuk mendapatkan minit permainan.

Sejak ketibaan semula Cristiano Ronaldo dan kehadiran Jadon Sancho dari Borussia Dortmund, Lingard sepertinya semakin sukar untuk mendapat tempat bersama skuad utama.

Pada jendela perpindahan Januari baru-baru ini, beliau hangat dikaitkan dengan bakal menyertai Newcastle, namun dek kerana pihak kelab meletakkan tanda harga yang tak masuk akal, The Magpies terus berhenti mengejar beliau.

West Ham juga turut hangat dikaitkan dengan bakal menandatangani Jesse Lingard namun pihak kelab tidak mahu melepaskan bintang mereka itu.

Lingard sebelum ini pernah beraksi bersama West Ham sebagai pemain pinjaman, dengan beliau ketika itu berjaya menjaringkan sembilan gol dari 16 perlawanan bersama The Hammers.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Raiola: Manchester United Jimat €100 Juta Ketika Beli Pogba