Erling Haaland Namakan Bintang Premier League Yang Menjadi Sumber Inspirasinya

Erling Haaland telah mendedahkan yang beliau gemar menonton aksi salah seorang pemain penyerang dari saingan Premier League, yang beliau anggap sebagai salah seorang bintang terhebat dunia.

Beliau menonton aksi pemain itu dalam usahanya untuk belajar dan memperbaiki kekurangan yang beliau rasakan ada pada persembahannya.

Haaland tidak dinafikan lagi sememangnya antara pemain penyerang terhebat dalam dunia bola sepak hari ini, dengan beliau berjaya mencuri perhatian begitu banyak kelab gergasi yang mahu mendapatkan khidmatnya.

Bintang muda Norway itu merupakan pemain paling diburu oleh kebanyakan kelab dengan Borussia Dortmund sendiri sepertinya sukar untuk terus menyimpan beliau.

Pemain penyerang itu dikatakan sudah hampir pasti akan meninggalkan Borussia Dortmund pada musim panas ini nanti, apa lagi selepas beliau mendakwa pihak kelab sedang memaksanya untuk menandatangani kontrak baru di Signal Iduna Park.

Dengan kelajuan yang menakjubkan, kekuatan dan penyudah yang super tajam, Haaland jelas sekali dianggap sebagai pemain penyerang terhebat dalam dunia bola sepak hari ini.

Di usia yang sangat muda, masih banyak yang boleh beliau perbaiki dalam persembahan beliau pada ketika ini, dengan bintang berusia 21 tahun itu kini sudah berjaya meledak 56 gol dari 57 penampilan dalam saingan Bundesliga.

Haaland baru-baru ini telah mendedahkan yang beliau gemar menonton aksi persembahan Jamie Vardy, kerana merasakan yang bintang Leicester City itu memiliki kualiti larian dari belakang centre-back terhebat dalam dunia bola sepak.

“Saya telah, bukan belajar, tapi melihat ramai pemain.”

Jelas Haaland kepada Sky Sports.

“Mari kita ambil contoh: untuk membuat larian dari belakang centre-back ketika pemain No10 ada bola.”

“Kamu mungkin ada pemain terhebat dunia untuk itu, dia adalah Jamie Vardy, saya banyak menonton dan ikut cara dia sepenuhnya.”

“Itu lah cara saya, saya akan selalu menonton aksi bola sepak, saya masih lakukan itu.”

“Ketika kami bermain pada hari Sabtu, saya akan pulang ke rumah dan pada hari Ahad saya akan menonton bola sepak seharian. Saya memang sangat suka bola sepak.”

Vardy sememangnya mimpi ngeri untuk pemain pertahanan lawan sejak dari awal beliau menyertai Premier League pada tahun 2014 yang lalu.

Beliau kimi sudah berjaya menjaringkan 127 gol dari 261 penampilan dalam saingan Premier League dan turut pernah sekali menjulang gelaran liga.

Kemampuan beliau dalam membuat larian dari belakang pemain pertahanan merupakan satu hal yang penting dalam membantu beliau menjadi penyebab paling bahaya.

Kecemerlangan beliau menewaskan pertahanan dan meledak gol merupakan kunci utama ketika membantu Leicester City menjuarai saingan Premier League sebelum ini.

Haaland yang sebelum ini pernah menamakan Robert Lewandowski sebagai pemain terhebat dunia turut menyatakan yang beliau juga boleh memperbaiki persembahannya dengan cara lain selain belajar dari Vardy.

Bekas bintang Red Bull Salzburg itu jelas sekali gembira dengan cara permainan beliau dan beliau turut mendedahkan yang beliau sememangnya memiliki kemampuan untuk memperbaiki persembahannya.

“Saya rasa saya boleh perbaiki dari semua segi.”

“Jika kamu kata saya ada penyudah yang bagus, saya boleh perbaiki teknik penyudah saya. Saya boleh jadi lebih pantas, jadi saya boleh perbaiki segalanya. Saya boleh jadi lebih kuat, saya boleh perbaiki itu.”

“Jika kamu tanya apa azam saya tahun 2022, ia adalah untuk tak mahu cedera dan azam saya sepanjang karier saya adalah untuk tak mahu cedera. Itu hal terpenting.”

Sumber: SPORTbible

BACA:  Real Madrid Tawarkan Tujuh Pemain Untuk Dortmund Pilih Bagi Mendapatkan Haaland