EURO 2020 Suku Akhir: Ukraine 0-4 England

Sepanyol, Itali dan Denmark sudah pun mengesahkan temapt mereka ke separuh akhir, pemenang perlawanan England vs Ukraine akan melengkapkan semi finalis EURO 2020.

Di atas kertas dalam apa jua kejohanan jika ada England, sudah pasti skuad Tiga Singa ini akan menjadi pilihan untuk bergelar juara walaupun sudah lama suram dari kejuaraan.

Ukraine yang kini dibimbing Andriy Shevchenko mencipta kejutan besar mara ke suku akhir dan merupakan pencapaian terbaik dalam sejarah bola sepak Ukraine di Euro.

Formula yang diterapkan Shevchenko dengan gabungan pemain muda dan lama serta permainan serangan balas pantas menjadi buat Ukraine dengan kapasiti pemain yang ada.

England bermula garang dan sudah berada di depan seawal minit ke-4 perlawanan melalui Harry Kane dan paling ajaib, Raheem Sterling boleh membuat assist.

Gol awal England ini terus menjadikan permainan bosan seperti England yang kau kenali.

Selepas setengah jam permainan, Ukraine masih lagi gagal untuk menerobos bahagian pertahanan England yang seperti selesa dengan kelebihan satu gol.

Tyrone Mings dan Harry Maguire masih tenang berbual apa nak di masak di musim PKPKD ini dan mudah mematahkan sebarang usaha Ukraine.

Rembatan penuh berseni Declan Rice telah dinafikan dengan tindak balas pantas penjaga gol Ukraine, George Buschan yang berjaya membuat tepisan.

Pada penghujung separuh masa pertama Ukraine mula mendapat rentak dan mula mendapat ruang untuk mencipta peluang memecah masuk kubu England.

Bahagian pertahanan England mula goyah dan barai dengan berberapa kecuaian ditunjukkan namun masih lagi tidak dihukum dengan gol penyamaan.

England perlu mencari gol tambahan awal pada awal babak kedua untuk terus membunuh perlawanan dan Ukraine perlu menyamakan kedudukan jika mahu terus bersaing.

Seminit permainan bersambung, lambungan daripada sepakan percuma Luke Shaw disudahkan dengan tandukan tajam daripada Harry Maguire.

Ukraine makin tertekan dan England semakin yakin. Pelawanan seakan sudah tamat buat Ukraine yang ternyata bukan lawan England.

Pada minit ke-50, Luke Shaw datang lagi dengan satu hantaran lintang sedap yang terus disambar dengan sundulan dari Harry Kane.

Gol kedua daripada Harry Kane dalam perlawanan ini. Jika disuap dengan baik maka Kane akan terus bertukar menjadi mesin gol.

Declan Rice direhatkan dan Jordan Henderson dimasukkan jika tidak ada peminat sebuah kelab tu bising.

Pada minit ke-60, Harry Kane hampir mencipta hatrik dengan satu voli deras yang sekali lagi dihalang oleh George Buschan untuk sepakan penjuru.

Mason Mount mengambil sepakan penjuru dan bola mencari kepala Jordan Henderson dan satu lagi tandukan untuk gol keempat England.

Gol pertama Jordan Henderson untuk England selepas 62 penampilan. Pemain yang tidak menyumbang untuk negara dan pernah melakukan perkara bodoh merebut sepakan penalti dalam perlawanan persahabatan.

Selepas mendahului empat gol, Gareth Southgate melakukan tiga pertukaran serentak pada minit ke-65.

Luke Shaw, Raheem Sterling dan Kalvin Phillips dikeluarkan, Kieran Trippier, Marcus Rashford dan Jude Bellingham diberikan peluang beraksi.

Para pemain England mula ghairah untuk terus menambah jaringan dan nyaris dihukum dengan bola gelembung buaya Ukraine.

Jordan Pickford cuba melakukan aksi kelakar namun tidak berhasil apabila Yaremchuk gagal menghukum miskick dari penjaga gol England itu.

Pada minit ke-73, Gareth Southgate melakukan pertukaran terakhir memasukkan Dominic Calvert-Lewin dan Harry Kane dikeluarkan.

Percubaan terbaik Ukraine akhirnya hadir dengan rembatan jarak jauh Evgen Makarenko namun berjaya dihadang oleh Jordan Pickford.

Baki 15 permainan menyaksikan dunia disajikan dengan permainan paling membosankan dengan England hanya berlenggang patah-patah dan berpoco-poco.

England menepati ramalan dan menukar nasib mereka yang berada di laluan sukar pada awalnya, dengan tumbangnya Jerman laluan mudah untuk England ke final.

Bertemu Ukraine menjadi perlawanan sangat mudah buat Southgate di mana Ukraine telah dineutralkan dan dijinakkan tanpa mampu memberi sebarang tentangan.

Ukraine: Bushchan, Zabarnyi, Kryvtsov, Matviyenko, Karavayev, Sydorchuk, Shaparenko, Zinchenko, Mykolenko, Yarmolenko, Yaremchuk.

Subs: Sobol, Sudakov, Stepanenko, Marlos, Pyatov, Makarenko, Tsygankov, Bezus, Zubkov, Trubin, Tymchyk, Dovbyk.

England: Pickford, Walker, Stones, Maguire, Shaw, Phillips, Rice, Sancho, Mount, Sterling, Kane.

Subs: Grealish, Henderson, Rashford, Trippier, Ramsdale, Mings, Coady, Calvert-Lewin, Foden, Chilwell, Johnstone, Bellingham.

Referee: Felix Brych (Germany).

England 2-0 Jerman

Perlawanan antara yang dinanti-nanti oleh peminat bola sepak menemukan pasukan yang terkenal dengan kejayaan Jerman dan England yang sememangnya popular di setiap kejohanan walaupun tanpa kejuaraan.

Perlawanan antara England dan Jerman ini berlangsung di Stadium Wembley yang nyata memberi sedikit kelebihan kepada England dari segi moral yang beraksi dihadapan penyokong sendiri.

Pertembungan ini juga pertemuan ke-13 England dan Jerman di Stadium Wembley, England menang empat perlawanan pertama sebelum tewas satu perlawanan.

Kemudian England tidak pernah menang dalam tujuh perlawanan mereka menentang Jerman di Wembley dengan lima kekalahan dan dua seri. Jerman mempunyai rekod yang agak meyakinkan di Wembley.

Ini merupakan pertemuan ketiga antara England dan Jerman di EURO di mana Jerman menang dipenentuan sepakan penalti 6-5 selepas seri 1-1 pada semi final EURO 1996.

England kemudian menebus kekalahan itu apabila menewaskan Jerman 1-0 di EURO 2020 di saingan peringkat kumpulan.

England namun canggung dan bergelit dengan permainan hantaran pendek Jerman dan hantaran lolos yang merbahaya Jerman pada awal permainan.

Declan Rice telah dilayangkan kad kuning selepas menjatuhkan Leon Goretzka yang entah bagaimana boleh meloloskan diri dan sepakan percuma untuk Jerman.

Sepakan percuma pendek dilakukan Jerman dan rembatan leret dari Kai Havertz berjaya dihadang pertahanan England.

Pada minit ke-15 Raheem Sterling mencuba dari jarak jauh dengan melencongkan bola ke kanan gawang Jerman memaksa Manuel Neuer menerbangkan badan membuat tepisan.

Sepakan penjuru England berjaya ditanduk Harry Maguire namun tepat kepada Manuel Neuer.

Selepas percubaan Raheem Sterling itu, England mula tenang dan mula mendapat rentak serta mampu menyerap tekanan dengan permainan Jerman.

Jerman kemudian melakukan dua percubaan berturut-turut namun dinafikan kecemerlangan Jordan Pickford.

Kesilapan Thomas Mueller membuat hantaran kebelakang sampai kepada Raheem Sterling yang cuba melarikan bola secara solo walaupun Harry Kane tidak dikawal.

Lima pemain Jerman mengepung dan Raheem Sterling kehilangan bola namun bola sampai kepada Kane yang berjaya memperdayakan Manuel Neuer.

Namun sentuhan Kane terlebih padu dan Mats Hummels sempat sampai melakukan clearance.

Perlawanan separuh pertama yang membosankan tamat dengan kedudukan seri tanpa jaringan.

Awal separuh masa kedua, Kai Havertz telah berjaya melakukan satu rembatan kencang tetapi Jordan Pickford terus cemerlang melakukan tepisan keluar.

Timo Werner yang kesepian pada separuh masa pertama menampilkan permainan seperti biasa yang buta kayu dan tidak tahu apa nak dilakukan.

Kehambaran terus disajikan oleh England dan Jerman, ada peminat yang bersengkang mata mula mengujah serbuk kopi dan plastik kopi agar tidak terlelap.

Pada minit ke-69 Bukayo Saka dikeluarkan dan Jack Grealish masuk untuk menambah kreativiti dan Timo Werner dikeluarkan diganti Serge Gnabry.

England akhirnya berada di depan pada minit ke-76 melalui Raheem Sterling yang tidak guna satu sen pun.

Raheem Sterling cuba melepasi tiga pemain Jerman dan bila terdesak barulah menghantar bola kepada Kane yang terus menghantar kepad Jack Grealish.

Grealish mampu mencuba namun beliau bukan Sterling dan menolak kepada Luke Shaw yang tidak dikawal untuk mengumpan bola ke kotak.

Raheem Sterling pantas menyambar bola mudah menolak masuk menewaskan Manuel Neuer.

Kebodohan Raheem Sterling makin menjadi-jadi dan tidak mahu menghantar atau membuat hantaran silang ke kotak penalti ketika rakan sepasukan memenuhi kotak penalti Jerman.

Raheem Sterling dengan bodohnya membuat hantaran ke belakang dam bola berjaya dilarikan Thomas Muller yang hanya berdepan Jordan Pickford.

Mujurlah Jordan Pickford telah keluar dan menutup ruang di mana Muller memilih untuk mencuba dari jauh.

Luke Shaw sekali lagi merencana gol kedua England apabila telah menolak bola kepada Jack Grealish yang mengumpan cantik kepada Harry Kane.

Harry Kane yang tidak mendapat umpanan sebegitu sejak perlawanan pertama tidak mungkin melepaskan peluang itu dengan sundulan tajam menewaskan Neuer buat kali kedua.

Empat minit masa kecederaan dan tiada tanda-tanda serangan berbahaya yang dilakukan oleh Jerman dan England hanya menunggu pengadi meniup wisel penamat.

Dengan tersingkirnya Jerman maka kesemua wakil kumpulan F yang dianggap kumpulan maut kandas dan tiada wakil ke suku akhir.

England: Jordan Pickford, Kyle Walker, John Stones, Harry Maguire, Kieran Trippier, Kalvin Phillips, Declan Rice, Luke Shaw, Bukayo Saka, Harry Kane, Raheem
Sterling.

Subs: Jack Grealish, Jordan Henderson, Marcus Rashford, Aaron Ramsdale, Tyrone Mings, Conor Coady, Jadon Sancho, Mason Mount, Phil Foden, Sam Johnstone, Reece James, Jude Bellingham.

Germany: Manuel Neuer, Matthias Ginter, Mats Hummels, Antonio Rudiger, Joshua Kimmich, Toni Kroos, Leon Goretzka, Robin Gosens, Kai Havertz, Thomas Muller, Timo Werner.

Subs: Marcel Halstenberg, Kevin Volland, Serge Gnabry, Bernd Leno, Jamal Musiala, Niklas Sule, Florian Neuhaus, Leroy Sane, Ilkay Gundogan, Kevin Trapp, Emre Can, Robin Koch.

BACA:  Penyokong England Ini Menang Pertaruhan Sebab Percaya Pada Bayinya Yang Belum Dilahirkan