Europa League: Liverpool Kekalkan Rekod 100% Kemenangan Selepas Belasah Toulouse 5-1

Pertandingan Europa League jelas terlalu mudah buat Liverpool buat masa ini selepas kelab Merseyside itu menewaskan wakil Perancis, Toulouse dengan jaringan besar 5-1 di Anfield pada awal pagi tadi.

Ia adalah kemenangan ketiga daripada tiga perlawanan peringkat kumpulan oleh Liverpool di pertandingan tersebut setakat ini.

Tidak diragukan Liverpool kini menjadi pilihan utama untuk menjuarai Europa League musim ini berdasarkan prestasi semasa yang ditampilkan oleh skuad kendalian Jurgen Klopp itu.

Untuk rekod Liverpool pernah menjuarai Europa League sebanyak tiga kali. Kali terakhir mereka melakukannya ialah pada 2001 ketika pertandingan tersebut masih digelar Piala UEFA.

Beraksi di tempat sendiri Liverpool mendahului perlawanan ini selepas Diogo Jota berjaya melepasi beberapa pemain pertahanan lawan sebelum menguburkan bola ke dalam jaring seawal minit ke-9 perlawanan.

Toulouse kemudiannya memberikan respon melalui Thijs Dallinga yang beraksi di sebelah sayap yang dikawal Trent Alexander-Arnold. Dallinga berjaya menghasilkan jaringan penyamaan pada minit ke-16 perlawanan selepas melarikan bola sejauh 40 meter.

Alexander-Arnold bagaimanapun menebus kesilapannya selepa itu apabila hantarannya ditanduk masuk oleh Wataru Endo pada minit ke-30 perlawanan.

Darwin Nunez menjaringkan gol ketiga Liverpool untuk menjadikan kedudukan 3-1 sebelum babak pertama tamat.

Pada pertengahan babak kedua, Nunez berjaya menewaskan penjaga gol Toulouse Guillaume Restes namun bola terkena tiang. Bola muntah itu pantas disambar oleh Ryan Gravenberch untuk gol keempat Liverpool.

Dominasi Liverpool kemudiannya dilengkapkan melalui jaringan Mohamed Salah yang menjadikan kedudukan kepada 5-1 pada masa kecederaan.

Penyerang antarabangsa Mesit itu tenang menyudahkan bola dari jarak dekat untuk gol peribadi kesembilannya pada musim ini.

Kemenangan ini bermakna Liverpool berada di kedudukan teratas Kumpulan E dengan sembilan mata maksimum.

Sudah ada cakap-cakap Liverpool sebenarnya terlalu besar untuk pertandingan malam Jumaat seperti Europa League.

BACA:  [VIDEO]: Andy Carroll Akhirnya Cetak Jaringan Tercantik Sepanjang Kariernya Dari Jarak 40 Meter