Fabrizio Romano Dedah Amrabat Mahu Ke Manchester United

Fabrizio Romano telah mendedahkan bahawa Sofyan Amrabat dikatakan berminat dan mahu ke Manchester United sejak perbincangan pertama lagi pada Jun walaupun mendapat bidaan super lumayan dari Arab Saudi.

Namun setakat ini belum ada lagi bidaan rasmi dilakukan oleh Manchester United untuk pemain tengah bertahan itu yang telah mempamerkan aksi memukau bersama Magribi di Piala Dunia 2022 yang lalu.

Situasi Manchester United kini bergantung kepada pemergian Fred atau Donny Van De Beek. Jika salah seorang dari dua pemain ini dilepaskan maka bidaan rasmi akan menyusul.

Spekulasi berterusan mengenai masa depan Amrabat, termasuk laporan di Itali yang dikatakan Manchester United berminat adalah hanya khabar angin yang dimainkan secara berlebih.

Amrabat memberitahu agensi berita terkemuka Itali ANSA:

“Saya tidak tahu sama ada saya akan pergi… mungkin saya boleh kekal di sini di Fiorentina.” Dia menambah: “Saya tidak tahu, saya boleh kekal.”

Namun Fabrizio Romano telah menyatakan bahawa kata-kata Amrabat akan kekal adalah palsu.

“Amrabat tidak ragu-ragu: dia berkata ya kepada Manchester United, dia mahukan perpindahan itu sejak rundingan pertama pada Jun walaupun tawaran kaya dari Saudi.”

“Difahamkan dia tidak pernah berkata dia “kekal” atau apa-apa yang serupa. petikan palsu.”

“Tiada bidaan rasmi lagi — Man Utd akan menghantarnya sebaik sahaja Fred/Donny pergi.”

Ketika ini kontrak Sofyan Amrabat sudah memasuki tahun akhir bersama Fiorentina dan masih lagi tidak menandatangan kontrak lanjutan dan akan boleh didapatkan percuma pada musim panas mendatang.

Sofyan Amrabat dan Erik Ten Hag bukanlah orang asing kerana mereka pernah berkerjasama ketika di Utrecht di mana Amrabat adalah pakar menjadi anchor di bahagian tengah, mampu melakukan terjahan tepat dan memenangi kembali penguasaan bola serta berkemampuan untuk bermain dari bawah.

Pada ketika ini bahagian tengah bertahan Manchester United dikuasakan oleh Casemiro yang semakin lanjut usia ditambah pula dengan rekod disiplinnya yang kerap digantung, maka kehadiran Amrabat pasti menjadi nilai tambah dengan usianya yang 26 tahun.

Di Piala Dunia 2022, Amrabat berjaya membawa Maghribi ke separuh akhir dan menjadi negara Afrika pertama melakukannya dan sudah pasti terjahannya yang menakjubkan ke atas Mbappe kekal dalam ingatan ramai.

Ketika ramai pemain handalan dan terkenal lain menangis di padang kerana tidak mampu menyaingi kelajuan bak pelesit Mbappe, Amrabat berjaya melakukannya.

Amrabat bukan sahaja mampu mengejar Mbappe malah berjaya memenangi bola dengan terjahan bersih yang amat sukar dilakukan dengan kelajuan larian yang tinggi.

Penyokong di stadium juga dapat dilihat telah berdiri dan bertepuk tangan menyaksikan bagaimana Ambrabat memenangi bola dengan penuh epik.

Terjahan Sofyan Amrabat ke atas Kylian Mbappe bukanlah kerana nasib di mana dia juga telah berjaya memenangi semula penguasaan bola sebanyak 51 kali di Piala Dunia 2022.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron telah melawat bilik persalinan Maghribi selepas perlawanan separuh akhir Piala Dunia 2022 dan memberitahu Sofyan Amrabat bahawa dia adalah ‘The Best Midfielfer of The Tournament’.

Permainan yang tidak mengenal erti lelah dan berdedikasi tinggi Sofyan Amrabat nyata telah membuat Presiden Perancis itu kagum dan bertemu secara bersemuka untuk menghamburkan pujian.

BACA:  Persembahan Luar Biasa Maguire Bantu Man Utd Tewaskan Crystal Palace, Gandingan Casemiro-Amrabat Tarik Perhatian