The Guardian Dedah Man Utd Hubungi Everton Untuk Onana

The Guardian melalui laporanya beberapa hari lalu mendedahkan Manchester United telah menghubungi Everton untuk mendapatkan khidmat pemain tengah, Amadou Onana.

Ini selepas Erik ten Hag melihat kelemahan di bahagian tengah yang terdedah dalam perlawanan menentang Wolves yang kurang kekuatan fizikal.

Perkhabaran itu turut tiba setelah United gagal meneruskan usaha membawa masuk Sofyan Amrabat dari Fiorentina setakat ini.

Walaupun demikian Everton dikatakan enggan kehilangan Onana di jendela perpindahan musim panas ini.

Pemain tengah Belgium berusia 21 tahun itu didatangkan dari Lille dengan nilai £33 juta pada musim panas lalu.

Kelab Merseyside itu juga tidak berada di posisi terdesak daripada segi kewangan untuk melepaskan pemain yang dilihat memiliki potensi untuk terus berkembang pada masa hadapan.

Musim lalu Onana dianggap sebagai pemain penting skuad kendalian Sean Dyche dan Everton mahukan pemain itu untuk terus kekal di Goodison Park sekurang-kurangnya untuk semusim lagi sebelum membuat pilihan baharu berkaitan masa depan pemain itu.

Sekiranya perlu menjual pemain itu di jendela perpindahan kali ini, Everton dijangka akan meminta tidak kurang daripada £50 juta untuk membenarkan pemain itu pergi.

Nilai tersebut adalah dua kali ganda berbanding apa yang dipinta oleh Fiorentina untuk Amrabat.

Ten Hag masih dalam pemburuan sekurang-kurangnya untuk seorang pemain tengah di jendela perpindahan kali ini selepas membenarkan Fred menyertai Fenerbahce.

Onana adalah pemain baka destroyer dan dilihar sesuai dengan sistem permainan yang diterapkan oleh Ten Hag di United, terutamanya untuk membantu Casemiro.

Wartawan bola sepak Fabrizio Romano turut mengesahkan kepada GIVEMESPORT mengenai minat United untuk pemain itu.

“Onana adalah seorang lagi pemain yang berada di dalam senarai [Man Utd]. Dia adalah seirang pemain yang mereka beri perhatian setelah mengikuti perkembangan pemain itu sejak beberapa musim lalu.

“Bagaimanapun setakat ini belum ada sebarang perkembangan terbaru berkaitan perpindahan [Onana ke Old Trafford].

“Harga pemain itu juga jauh berbeza [daripada bajet United] kerana nilai dua kali handa berbanding Amrabat yang dipercayai sekitar £23 juta-£24 juta.

“Kerana itu saya percaya United akan meneruskan usaha untuk mendapatkan Amrabat selepas ini. Atau mereka terpaksa mencari alternatif lain.”

BACA:  Penulis Pro Manchester United Layan Maskot Sociedad Menganjing Siuuu