Ejen Ten Hag Dituduh Orang Dalam MU Buat Duit Hasil Pembelian Beberapa Pemain

Beberapa kakitangan atau orang dalaman Manchester United sendiri telah meluahkan kerisauan mengenai penglibatan ejen Erik ten Hag, Kees Vos dalam aktiviti pembelian pemain di Old Trafford sejak beberapa jendela perpindahan lalu.

Mail Sport dalam satu laporan eksklusif mendedahkan bagaimana Sport Entertainment Group (SEG) milik Vos menjadi pihak yang melakukan rundingan untuk mendapat dan menjual pemain di United, dan pada masa yang sama turut memberikan khidmat nasihan secara aktif di pasaran pemain.

Satu lagi indikasi perkara mengenai hubungan di antara SEG dan United yang merisaukan ‘orang dalam’ di dalam kelab ialah mengenai anak lelaki Ten Hag, Nigel yang bertugas sebagai pakar analisis di agensi itu.

Sepanjang musim panas lalu SEG telah mengusahakan empat perpindahan masuk ke Old Trafford melibatkan nilai £178 juta.

Dan Vos adalah individu yang dilihat kerap berada di Old Trafford dan Carrington sepanjang tempoh tersebut, dan antara perkara di mana Vos dan SEG terlibat langsung yang menimbulkan keraguan adalah:

  • Menjadi wakil/ejen Rasmus Hohlund untuk melengkapkan perpindahan pemain itu ke Atalanta dengan nilai £72 juta. Hojlund menyertai agensi itu sebulan sebelum berpindah ke United.
  • Mewakili Manchester United untuk berunding dengan Fiorentina bagi mendapatkan Sofyan Amrabat secara pinjaman dengan pilihan mendapatkan pemain antarabangsa itu secara tetap di akhir musim.
  • Menjual pemain tengah Zidane Iqbal ke Utrecht pada Jun – dua bulan selepas pemain berusia 20 tahun itu menyertai CAA Base; agensi yang dianggap seteru SEG.

Pengaruh SEG di Manchester United turut menyebabkan ramai ejen lain tidak senang hati kerana turut kehilangan peluang perniagaan (beli dan jual pemain) yang berpotensi dengan kelab itu termasuk pengaruh Ten Hag di dalam SEG.

Walaupun terdapat rungutan mengenai dominasi SEG di dalam urusan transaksi United, SEG sebenarnya adalah sebuah agensi global yang amat dikenali di dalam industri dan memiliki lebih 600 atlet daripada pelbagai cabang sukan sebagai klien mereka.

Agensi berpengkalan di Belanda itu turut mempunyai hubungan baik dengan Manchester City, dan Pep Guardiola adalah antara individu berprofil tinggi yang menjadi klien mereka. Ini tidak menghairankan kerana abangnya Pere Guardiola yang juga ejen bola sepak terkemuka di Sepanyol adalah salah seorang ejen di bawah SEG.

Sebagai antara agensi sukan utama di Belanda SEG sebelum ini pernah mengendalikan perpindahan Robin van Persie, Memphis Depay dan Daley Blind untuk Manchester United.

Hubungan SEG dan United terputus sebentar selepas itu sehinggalah Ten Hag dilantik sebagai pengurus kelab itu pada Mei 2022.

Daripada 45 transaksi perpindahan yang disenaraikan oleh pihak FA di antara Februari 2022 sehingga Januari 2023 termasuk perkara berkaitan kontrak, SEG tidak terlibat dalam sebarang transaksi walaupun sekali pun.

Ten Hag baru-baru ini dikecam kerana cenderung untuk membawa masuk bekas pemain yang pernah bekerja dengannya di kelab terdahulu.

Antony dan Lisandro Martinez menyertai Ten Hag dari Ajax pada tahun lalu. Musim panas lalu, dua lagi pemain iaitu Andre Onana dan Amrabat turut direkrut oleh jurulatih itu.

Sumber daripada SEG menegaskan Vos tidak terlibat secara peribadi dalam rundingan dengan West Ham berkaitan perpindahan Harry Maguire.

Agensi itu turut berkata sebagai sebuah syarikat global mereka turut terlibat dalam 300 perpindahan lain pada musim panas lalu, dan penglibatan di United hanya 1% daripada transaksi yang mereka lakukan sepanjang tempoh tersebut.

Sumber dalaman di United berkata ia bukan kebiasaan untuk kelab utama seperti United hanya bekerja dengan agensi tertentu kerana adanya hubungan peribadi individu tertentu.

Jurucakap Manchester United enggan memberikan sebarang komen mengenai isu ini.

BACA:  Ten Hag Temui Ratcliffe Di Carrington Dan Lalui Perbincangan Positif Selama Berjam-Jam