Faisal Halim Sebak Dapat Jaringkan Gol Pertama Buat Malaysia

Faisal Halim telah diangkat sebagai pemain terbaik perlawanan Malaysia menentang Turkmenistan di Stadium Nasional Bukit Jalil selepas mempamerkan aksi yang cukup bertenaga dan penuh rajin terutamanya dalam melakukan pressing di bahagian atas.

Pada separuh masa pertama, Malaysia bermain bagaikan seekor harimau yang lapar di mana para pemain begitu agresif melakukan tekanan dan cuba memenangi bola secepat mungkin, terutamanya Darren Lok dan Faisal Halim.

Hasilnya, Faisal Halim telah berjaya membuka akaun gol buat pasukan kebangsaan buat pertama kalinya dan ternyata gol ini sungguh bermakna buat pemain yang berasal dari Kampung Mengkuang, Pulau Pinang ini.

Selepas perlawanan, Faisal Halim ditemuramah seketika oleh para pundit dari Astro Arena dan dia tidak dapat menahan air matanya daripada gugur selepas ditanya apa perasaannya berjaya menjaringkan gol buat pasukan negara.

“Masa awak jaringkan gol tadi, apa awak rasa?” Nizaruddin Yusof melontarkan soalan kepada Faisal Halim.

“Jujur saya cakap, saya sebak,” jawab Faisal Halim dan tidak lagi mampu menahan sebak.

“Ini adalah gol pertama saya dalam [peringkat] antarabangsa. Dalam peringkat yang tertinggi.

“Ini semua untuk anda, untuk rakan-rakan saya, tanpa mereka siapalah saya,” tambahnya lagi.

Faisal Halim juga dipuji oleh Hafizal Hamad yang memberi komen tentang permainannya yang sering melakukan pressing dan berada di tempat yang sesuai pada masa yang sesuai.

“Ini kerja keras rakan sepasukan saya dan kami mengikut rancangan apa yang jurulatih nak dan alhamdulillah rancangan ini menjadi. Kami harap kami tidak berhenti di sini, akan meneruskannya dalam perlawanan yang akan datang.

“Kami harap kami dapat kemenangan kedua, supaya lebih selamat untuk perlawanan terakhir nanti,” jawab Faisal Halim.

Dalam aksi yang memukau di Bukit Jalil, Malaysia mempamerkan aksi yang sangat bertenaga sebaik sahaja wisel permulaan ditiup oleh pengadil di mana barisan serangan yang diketuai oleh Darren Lok, Safawi Rasid, Faisal Halim serta Arif Aiman begitu agresif melakukan tekanan awal di bahagian atas untuk memenangi bola.

Segalanya bermula dengan baik apabila Safawi Rasid berjaya menjaringkan gol pertama Malaysia seawal minit ke-11 menerusi satu rembatan leret di dalam kotak penalti.

Gol berpunca daripada gerakan yang dimulakan oleh Safawi sendiri selepas bola dirampas oleh Darren Lok di sebelah kanan. Safawi kemudiannya membawa bola sedikit ke hadapan sebelum melorongkan bola kepada Arif Aiman yang membuat larian di sebelah kanannya.

Arif Aiman selepas itu cuba membuat hantaran lintang ke tengah kotak penalti tetapi dapat ditepis oleh penjaga gol Turkmenistan lalu bola muntah ke hadapan Safawi yang sedang membuat larian ke dalam kotak penalti.

Tidak membuang masa, Safawi melakukan rembatan first touch dan bola bergolek masuk ke dalam gol pasukan lawan.

Lima minit kemudian, Stadium Bukit Jalil bergema lagi dan kali ini giliran Faisal Halim pula mencipta nama selaku penjaring. Pemain tengah Turkmenistan melakukan hantaran kepada pertahannya di dalam kotak penalti dan dicabar oleh Darren Lok.

Hasil daripada tekanan tersebut, bola hilang daripada penguasaan pertahanan Turkmenistan, dan disambar oleh Faisal Halim yang menghidu peluang. Sebaik mendapat bola, Faisal Halim mara ke depan gol dan mencipta situasi satu lawan satu dengan penjaga gol Turkmenistan.

Dengan tenang Faisal Halim melakukan sepakan deras menewaskan penjaga gol lawan, lalu meraikan gol tersebut dengan gaya siuuuuuuuuuuuuuuu.

Pada minit ke-38, akibat terlalu kasual dan selesa, Shahrul Saad melakukan satu kesilapan mudah apabila dia cuba menggelecek pemain serangan Turkmenistan tetapi gagal. Pemain tersebut membawa bola masuk ke kotak penalti dan melakukan satu hantaran lintang ke tengah kotak penalti.

Dion Cools yang keseorangan cuba menanduk keluar bola tersebut, tapi malangnya bola terpeleot melambung ke arah Farizal Marlias dan melemaskan kapten Malaysia tersebut. Ketika bola melambung ke arah Farizal Marlias, Annadurdyyev Altymyrat telah menampan bola ke dalam gol Malaysia.

Ketika separuh masa pertama dilihat bakal berakhir dengan keputusan 2-1, Corbin Ong melakukan satu aksi yang menakjubkan. Bola muntah di depan kotak penalti Malaysia telah disambar oleh bek kiri JDT ini yang memulakan larian dari dalam kotak penalti sendiri.

Tanpa dicabar, Corbin Ong terus membawa bola sampai ke dalam kotak penalti lawan dan pada masa yang sama Arif Aiman serta Faisal Halim masing-masing sudah membuka ruang untuk menerima bola di sebelah kanan dan kiri.

Sewaktu para penyokong Malaysia di rumah sudah memaki kenapa Corbin Ong tidak pass bola ke tepi, dia mengambil keputusan untuk melakukan satu rembatan yang hayna mampu ditepis manja oleh penjaga gol Turkmenistan, sekaligus memberikan Malaysia pendahuluan yang selesa menjelang waktu rehat separuh masa.

Babak kedua menyaksikan Malaysia mengendurkan serangan dan bermain lebih santai dan sudah pasti Kim Pan Gon mahu anak buahnya menjimatkan tenaga dengan dua perlawanan masih berbaki.

Kim Pan Gon seperti mahu mempertahankan kedudukan dan menambah lagi jaringan jika mendapat peluang.

BACA:  Garnacho Dan Onana Titip Sokongan Buat Faisal Halim