Firmino Merungkai Persoalan ‘Korbankan Diri’ Untuk Salah dan Mane

Pemain nombor 9 palsu (False 9) Liverpool, Roberto Firmino telah merungkai persoalan ramai yang menyifatkan beliau mengorbankan diri untuk Mohamed Salah dan Sadio Mane ketika beraksi di padang.

Mungkin terlalu kerap dan sering ditanya kenapa sanggup mengorbankan diri demi rakan sepasukannya itu. Roberto Firmino tampil menafikan sebarang istilah ‘korbankan diri’ itu.

Jawapan dan penjelasan dari Roberto Firmino ini berkisar kepada posisi yang di mainkan beliau untuk pasukan Liverpool ketika ini dan ketika itu.

Gandingan trio Liverpool, Roberto Firmino, Sadio Mane dan Mohamed Salah sememangnya diiktiraf sebagai trio hadapan paling berbahaya didunia bola sepak pada hari ini.

Namun rekod jaringan yang dicipta oleh Roberto Firmino sejak beberapa musim kebelakangan ini kurang berbanding jaringan yang dilakukan oleh Sadio Mane dan Mohamed Salah.

Walaupun gagal menjaringkan sebarang gol ketika menumbangkan Manchester United minggu lalu, Jurgen Klopp telah memberikan pujian menggunung kepada pemain kelahiran Brazil itu.

Jurgen Klopp menyifatkan disebalik kemenangan itu ramai orang akan menulis buku tentang bagaimana cara Firmino mentafsir ruang dan peluang dengan bermain diposisi nombor sembilan palsu.

Apabila ditanya bagaimana rasanya mengorbankan diri dan keinginannya sendiri untuk menjaringkan gol demi kepentingan pasukan, Firmino mengakui perkara itu tidak berlaku.

“Aku tidak nampak begitu, Setiap orang mempunyai peranan yang jelas di atas padang.” Ujar Firmino kepada Globo Esporte.

“Ini adalah pasukan yang telah aku bermain bersama sejak sekian lama dan kami sangat mengenali antara satu sama lain.”

“Kami bermain untuk satu sama lain untuk Liverpool dan itu membuat perbezaan.”

Firmino mungkin kurang menjaringkan gol, tetapi tidak ketandusan gol. Sejak ketibaannya pada 2015, penyerang itu telah menjaringkan 93 gol dalam lebih 300 penampilan untuk The Reds.

Pemain berusia 30 tahun itu berkembang pesat di bawah Jurgen Klopp dan sering digambarkan sebagai ‘enjin’ pasukan Liverpool. Tetapi perkembangannya bergantung kepada diri sendiri.

Firmino menambah:

“Selain menjadi jurulatih yang sangat baik, Jurgen Klopp adalah seorang lelaki yang sensasi dan mempunyai hati yang besar.”

“Dan aku boleh katakan bahawa, jika aku adalah seorang pemain yang lebih baik hari ini, maka aku sangat berterima kasih kepadanya.”

“Hari ini, aku berasa selesa bermain di lebih daripada satu posisi, aku mempunyai lebih banyak kebebasan untuk bergerak dan juga membantu mengikat pemain lawan.”

Roberto Firmino tidak dinafikan lagi sememangnya nadi utama sebalik kejayaan Liverpool. Bintang kebangsaan Brazil itu dianggap pemain yang bijak dan turut memiliki teknik yang sungguh mengagumkan.

Firmino merupakan penggerak kepada jentera serangan tiga serangkai Liverpool bersama Sadio Mane dan Mohamed Salah.

Beliau merupakan perancang utama di bahagian final third dan skuad kendalian Jurgen Klopp itu benar-benar beruntung memiliki beliau yang mampu menghidupkan pemain lain.

Pada musim 2018/19, Firmino menjaringkan 16 gol dan turut mencatatkan 8 assists dari 48 penampilan dalam semua pertandingan.

Walau bagaimanapun, persembahan beliau sedikit merosot sejak Liverpool menandatangani Diogo Jota, dan Firmino kini bukan lagi pilihan utama skuad.

Beliau sudah tidak sekreatif seperti sebelum ini, dan Firmino juga dilihat kurang beri tumpuan ketika berada di kawasan final third.

Pada musim 2020/21, Firmino hanya mampu menjaringkan sembilan gol sahaja disamping mencatatkan sembilan assists dari 48 penampilan dalam semua pertandingan.

Walaupun mengharungi masa yang mengecewakan di hadapan gol musim lalu, Firmino sudah mempunyai tiga gol untuk menyamai jumlah musim lalu dalam sembilan penampilan sahaja kini di Premier League.

Firmino kini sudah kembali mendapat sentuhan jaringan, jika fungsi Firmino hanya dikira dari jaringan gol maka itu adalah salah. Kerana ada yang nampak fungsi sebenar Firminolah menjadi wujudnya stigma Firmino mengorbankan diri untuk Salah dan Mane.

Hakikatnya tidak begitu dan Firmino sendiri telah menafikan perkara itu kerana beliau memahami peranan dan tugas yang diberikan oleh Jurgen Klopp kepada beliau untuk mentafsir ruang dan mencari peluang bagi membuka jalan kepada rakan menghasilkan gol.

Kehadiran Diogo Jota tidak membuatkan Firmino kehilangan tempatnya dikesebelasan utama tetapi memberi nilai tambah kepada Liverpool untuk menjadi pasukan lebih padu dengan kegeniusan taktikal yang diterapkan Klopp.

Sumber : Liverpool Echo

BACA:  Sadio Mane Patut Diberikan Hadiah Nobel Kerana Menjaringkan Gol Yang Sungguh Dasyat