Francis Ngannou Merasakan UFC Seolah-olah Menghina Dirinya

Bintang sensasi MMA, Francis Ngannou menyatakan yang beliau rasa seolah dihina oleh UFC dan turut mempersoalkan adakah beliau sebenarnya Juara atau tidak, selepas perlawanan melibatkan kejuaraan interim awal bulan lalu.

Keputusan Dana White untuk mengadakan perlawanan yang melibatkan interim UFC heavyweight telah mengundang kemarahan Ngannou.

Beliau rasa seolah dihina oleh UFC dan turut menganggap situasi division heavyweight di UFC ketika ini sangat mengelirukan.

Semua ini berlaku selepas Ciryl Gane berjaya memenangi kejuaraan dunia heavyweight versi interim dengan menewaskan Derrick Lewis di acara UFC 265.

Ketika ditanya adakah beliau merasa terhina, Ngannou menjawab:

“Ya. Saya ada perasaan itu (saya rasa terhina).”

“Baru-baru ini mereka memberi saya kejuaraan heavyweight dunia UFC, dan sebulan selepas itu, mereka angkat seorang lain pula untuk menjadi Juara. Kadang kala saya sendiri tak rasa yang saya benar-benar juara atau tidak. Ia sangat mengelirukan.”

Di acara UFC 264, kejuaraan interim heavyweight dunia telah menjadi topik perbualan hangat para peminat, dengan Ngannou kemudian turut menyatakan bahawa:

“Saya rasa semua ini hanya untuk perniagaan, dan UFC mahu adakan pay-per-view di Houston.”

“Ia bukan masa yang sesuai untuk saya, tapi mereka mahu saya lakukan juga tak kira apa pun berlaku. Tidak lama sebelum itu, mereka bertanya pada saya adakah saya bersedia untuk bertarung pada September dan saya beritahu mereka saya sudah lebih dari bersedia.”

“Kemudian, dengan tiba-tiba, kita nampak mereka buat tali pinggang interim… Saya tak tahu apa yang sebenarnya telah berlaku. Semuanya ada di tangan UFC. Mereka saja yang tahu situasi yang berlaku sekarang.”

‘The Predator’ kemudiannya menambah lagi:

“Memang banyak hal yang berlaku dibelakang tabir, tapi orang tak nampak semua itu dan mereka semua ada pendapat masing-masing.”

“Sebelum perlawanan terakhir saya, UFC mahu saya untuk menandatangani satu kontrak dan kontrak itu tak betul. Saya tak tandatangani kontrak itu, dan saya rasa mereka langsung tak gembira tentang hal itu. Saya sudah tandatangani kontrak sebelum ini, dan tapi pada akhirnya ia tidak begitu memihak kepada saya.”

“Jadi, untuk saya menandatangani kontrak baru saya rasa adalah menjadi hak untuk saya setidak-tidaknya kaji kontrak itu untuk saya sendiri dan dapatkan apa yang terbaik untuk saya dan betulkan apa saja kesilapan seperti yang berlaku sebelum ini.”

“Dan jika seseorang tak percaya mereka boleh perbetulkan kesilapan lalu, maka orang itu tidak mencari sesuatu yang baik untuk diri kamu sendiri.”

Kesimpulannya, Ngannou merasakan ada sesuatu yang tidak kena antara beliau dengan UFC dan tidak keterlaluan untuk beliau rasa UFC seolah-olah menghinanya.

Walaupun Ngannou sudah bersetuju untuk mempertaruhkan kejuaraannya pada September nanti, White tetap memilih untuk menganjurkan perlawanan yang melibatkan kejuaraan sebulan lebih awal.

Terdapat laporan yang menyatakan bahawa Ngannou selepas ini akan dipertemukan dengan Gane, dan ia bakal menjadi satu perlawanan yang sangat dinanti-nantikan oleh para peminat.

Perlawanan itu dijangka akan dilangsungkan dalam tahun ini, atau setidak-tidaknya pada awal tahun hadapan, bergantung pada keputusan UFC sendiri.

BACA:  Legenda UFC Cabar Jake Paul Bertarung Dengan Habuan $30 Juta