Fred Petualang Yang Menjadi Wira dan Nadi Kebangkitan Sensasi Man Utd

Frederico Rodrigues de Paula Santos atau Fred telah menjadi penulis skrip drama dalam perlawanan Manchester United menentang Arsenal dan dirinya juga menjadi watak utama dalam drama ini.

Old Trafford menjadi saksi betapa teruknya Fred yang menjadi petualang kepada pasukan sendiri namun kembali insaf dengan menjadi seorang wira serta menjadi nadi kebangkitan sensasi Manchester United.

Fred telah membantu Arsenal berada dihadapan dengan satu pengkhianatan tiada tanding taranya apabila telah memijak dan menenyeh kaki David De Gea dengan tapak kasut bolanya.

Tindakannya itu telah menyebabkan David De Gea serta merta rebah ke tanah mengerang kesakitan ketika bola masih lagi dalam permainan.

Tolakan Mohamed Elneny terus dirembat oleh Emile Smith Rowe dengan satu percubaan lemah tetapi cukup untuk masuk ke gawang dengan pengawal terbaring tidak bergerak.

Sudah terlambat buat pengadil perlawanan Martin Atkinson yang menyedari apa yang terjadi kepada David De Gea untuk menghentikan perlawanan kerana bola sudah menerjah jaring ketika wisel ditiup.

Pengadil tidak segera mengesahkan jaringan itu dan terus merujuk kepada Video Assistant Referee (VAR) untuk mengetahui apakah yang sebenarnya terjadi.

Selepas ulang tayang dimainkan untuk tontonan penonton dan pengadil sudah merujuk kepada VAR maka sahlah petualang yang mencederakan De Gea adalah Fred.

Tiada pilihan yang ada pada pengadil selain mengesahkan jaringan itu kerana tiada kecurangan dari Arsenal dan permainan dihentikan selepas bola telah masuk.

Isu semangat kesukanan tidak perlu dibangkitkan kepada Arsenal, kerana Fred telah mencederakan rakan sepasukannya sendiri.

Pemain Manchester United termasuk Fred yang merupakan punca kepada situasi itu membantah keputusan pengadil mengesahkan jaringan tersebut.

Gol dari Emile Smith Rowe itu segera dinobatkan antara gol terpelik dan aneh di dalam sejarah Premier League serta dalam dunia bola sepak.

Bekas penjaga England dan Chelsea, Robert Green menyifatkan keputusan pengadil mengesahkan jarigan sebagai mengejutkan:

“Ia adalah satu kecederaan yang tulen. Penjaga gol itu dijatuhkan. Itu keputusan yang mengejutkan, ia jelas salah.”

Entah apa reaksi Robert Green setelah mengetahui Fred yang menjadi punca kecederaan De Gea dan wisel ditiup selepas bola sudah masuk.

Fred telah dikecam hebat dari seluruh pelusuk dan menjadi bahan tawa buat lawan dengan kegilaan tidak masuk akal ini.

McFred terus hura permainan mereka namun detik Fred menebus dosa tiba apabila mencipta assist untuk gol penyamaan dari Bruno Fernandes.

Jadon Sancho menghantar bola kepada Fred yang bersilat untuk menolak kepada Bruno Fernandes dengan penyudah bersahaja.

Cristiano meletakkan Manchester United di depan dengan menolak masuk umpanan Marcus Rashford dari sebelah kanan.

Belum habis Ronaldo tersengih, belum habis penat bersiu dan baru saja Fred mahu berasa lega, Arsenal kembali menyamakan kedudukan.

Kealpaan Alex Telles dan barisan pertahanan Manchester United dihukum dengan jaringan dari Martin Oedegaard pada minit ke-55.

Fred sekali lagi menebus kesilapan silam apabila berjaya mendapatkan sepakan penalti, pada mulanya Martin Atkinson tidak melayan selepas melihat Fred tersengih.

Campur tangan VAR menyebabkan Martin Atkinson merujuk kepada skrin ditepi padang dan jelas menunjukkan Fred dikasari.

Cristiano Ronaldo mudah menyempurnakan penalti dengan rembatan deras ke tengah ketika Aaron Ramsdale terbang ke sisi. Setan Merah kembali mendahului.

Kedudukan 3-2 ini kekal hingga tamat perlawanan dan Fred telah menjadi nadi kebangkitan Manchester United untuk memberi kemenangan kepada Michael Carrick yang sudah berakhir tugasnya.

Pelik, aneh, gila dan bodoh semuanya cukup untuk menggambarkan apa yang dilakukan oleh Fred yang bertukar dari zero to hero.

BACA:  Fred Kena Buli Dengan Pemain Muda United