Inilah Pertanyaan Ten Hag Yang Membuatkan Fred Bermain Seperti Zidane

Pengurus Manchester United, Erik Ten Hag telah mendedahkan pertanyaannya kepada Fred sebelum perlawanan yang menyaksikan pemain itu telah bermain seperti Zinedine Zidane.

Manchester United telah mempamerkan permainan menyerang yang terbaik setakat musim ini di mana sebanyak 28 percubaan dilakukan sepanjang 90 minit memaksa Hugo Lloris tidak senang duduk.

Kerana itulah Hugo Lloris dapat dilihat berdiri sepanjang perlawanan di gawang Spurs. Sebab tak senang duduk la tu.

Boleh dikatakan penyudah Manchester United dalam perlawanan ini sangat tumpul namun masih lagi dapat meraih tiga mata tanpa ketajaman penyudah.

Hampir kesemua pemain kesebelasan utama Manchester United bermain bola sepak dalam perlawanan ini dan tiada yang sekadar berpoco-poco di padang.

Trio Marcus Rashford, Jadon Sancho dan Antony berfungsi dengan baik di sokong oleh Bruno Fernandes yang dikuasakan oleh Fred dan Casemiro.

Bahagian pertahanan masih lagi bagus tidak seperti dua perlawanan awal musim ini.

Sebanyak 19 daripada 28 percubaan Manchester United hasilkan itu datang di separuh masa pertama, tetapi Spurs berjaya mengekalkan seri tanpa jaringan untuk tempoh 45 minit pertama.

Pada minit ke-47, Fred telah berjaya memecahkan kebuntuan dengan menjaringkan gol pertamanya dalam Liga Perdana musim ini yang juga gol pembukaan perlawanan.

Rembatan Fred telah terbias kaki Ben Davies membuatkan Hugo Lloris mati langkah membolehkan bola mudah menerjah jaring.

Bruno Fernandes menambah gol kedua pada minit ke-69 untuk melakar kemenangan penuh meyakinkan dan gol ketiga hadir melalui Bruno Fernandes juga namun dibatalkan kerana offside.

Erik Ten Hag jika tidak dilaporkan oleh media pasti semua sedia maklum pasti dia sangat gembira dengan persembahan pasukannya yang kini hanya satu mata di belakang Chelsea yang menduduki tempat keempat. The Blues seri 0-0 di Brentford.

Bercakap dalam sidang akhbar selepas perlawanannya, Ten Hag telah mendedahkan perbualannya bersama Fred sebelum perlawanan.

“Saya berkata kepadanya sebelum perlawanan: ‘Adakah anda bersedia?’

“Dia berkata: ‘Saya sentiasa bersedia’. Dan dia membuktikannya. Ia adalah persembahan hebat daripada Fred, itu jelas.”

Erik Ten Hag juga telah mengakui ikatan kimia antara Fred dan Casemiro yang bergandingan di Brazil pasti memberi impak sama kepada United.

“Sudah pasti, ada jalinan antara mereka dan itu sangat jelas. Casemiro kini sudah serasi dan berkembang dari satu perlawanan ke satu perlawanan.”

“Casemiro merupakan pemain penting dalam pasukan dengan persembahan yang hebat dan pasukan perlukan pemain seperti Casemiro.”

Memang benar apa yang dikatakan oleh Erik Ten Hag apabila Casemiro sejak 3-4 perlawanan terakhir ini semakin berkembang dan beradaptasi dengan baik.

Casemiro menjalankan tugasnya dengan sangat baik dan telah mempamerkan aksi masterclassnya seperti mana ketika bersama Real Madrid.

Pemain Brazil itu juga gembira dengan persembahannya dan pasukan – dan nyanyian yang dinyanyikan oleh penyokong setia Old Trafford, mengikut rentak Joy Division ‘Love Will Tear Us Apart Again’.

United kembali beraksi pada hari Sabtu, apabila mereka menentang Chelsea di Stamford Bridge. Pemenang perlawanan akan menamatkan hari itu di empat teratas.

Dan Ten Hag berharap pasukannya dapat mempamerkan aksi yang sama mengagumkan menentang lawan yang berbeza, dengan pasukan Graham Potter tidak tewas dalam lima perlawanan terakhir Liga Perdana mereka.

Chelsea merupakan pasukan terakhir dalam kalangan big 6 yang akan menguji Manchester United untuk separuh musim liga.

Manchester United menang 3 daripada 4 perlawanan menentang big 6 menewaskan Liverpool, Arsenal dan yang terbaru Spurs serta dibelasah Manchester City 6-3.

BACA:  Ten Hag Akui Mulai Rasai Tekanan Dan Potensi Dipecat