Ten Hag Akui Mulai Rasai Tekanan Dan Potensi Dipecat

Pengurus Manchester United Erik ten Hag mengakui dirinya berkemungkinan dipecat kerana permulaan teruk pasukan kendaliannya pada musim ini.

Setan Merah kini telah tewas dalam tiga daripada lima perlawanan yang telah dilalui pada musim ini – dengan dua kemenangan dicapai ketika berhadapan Wolves dan Nottingham Forest turut tidak meyakinkan.

Manchester United jelas gagal menyayingi Tottenham dan Arsenal apabila tewas dengan perbezaan dua gol menentang kedua-dua kelab dari London itu.

Dan pada hujung minggu lalu prestasi lemah United terus dipamerkan ketika diratah Brighton 3-1  menyebabkan skuad kendalian Ten Hag dicemuh penyokong sendiri selepas tamat perlawanan di Old Trafford.

Ten Hag sendiri turut menjadi cemuhan penyokong selepas jurulatih itu bertindak mengeluarkan Rasmus Hojlund dan memasukkan Anthony Martial.

Ditanya mengenai tekanan dan kemungkinan dirinya akan dipecat, Ten Hag berkata: “Tekanan itu sentiasa ada. Tahun lalu pun tiada bezanya,” akui bekas jurulatih Ajax itu.

“Ya, di United anda harus menang perlawanan. Kami harus menambah baik prestasi dan fokus kami tidak boleh lari.

“Tiada pilihan, kami harus tampil lebih baik. Pemain harus tampil lebih baik secara individy. Ada kalanya anda berada di tempoh sukar dan harus berhadapan dengannya,” kata Ten Hag seperti dilaporkan oleh Four Four Two.

Derita United boleh menjadi lebih parah pada pertengahan minggu ini apabila Ten Hag dan barisan anak buahnya bertandang ke Munich untuk berhadapan juara Bundesliga, Bayern Munich di pertandingan UEFA Champions League.

Ten Hag mendapat kritikan kerana kaedah pengurusannya mengendalikan pasukan, rekod perlawanan menentang perlawanan besar, dan cara merekrut pemain – dan perlawanan ini adalah peluang terbaik untuk mendiamkan pengkritik.

Walaupun demikian, Ten Hag mengakui situasi beliau di United akan menjadi lebih sukar sekiranya pasukan kendaliannya secara berterusan gagal menghasilkan keputusan yang diharapkan.

“Bayern Munich pada saya adalah salah sebuah pasukan pilihan untuk menjuarai Champions League. Ini bermakna kami harus bermain sebaik mungkin,” kata Ten Hag lagi.

“Tetapi saya sudah jelaskan apa yang diperlukan dalam perlawanan tersebut. Kami perlu menampilkan karakter, kepercayaan, ketahanan mental, dan juga kesungguhan.”

BACA:  Sangat Jelas Saya Sudah Tiada Dalam Perancangan Masa Depan Chelsea - Mount