Gareth Southgate Ditawarkan Lanjutan Kontrak Untuk Terus Mengurus England

Wakil persatuan bola sepak England, Mark Bullingham telah mengesahkan pada awal minggu lalu yang beliau berminat untuk melanjutkan kontrak Gareth Southgate selepas berakhirnya Euro 2020 nanti.

Beliau memutuskan hal tersebut dalam usaha untuk mempersiapkan skuad menghadapi kejohanan terbesar di Qatar tahun hadapan, walaupun misi Southgate di kejohanan Euro 2020 belum selesai.

Southgate awalnya hanya dilantik sebagai pengurus sementara skuad England pada 2016 yang lalu selepas pemecatan Sam Allardyce.

Walau bagaimanapun, setahun selepas menggalas tugas sebagai pengurus sementara, beliau telah diberikan jawatan tetap sebagai pengurus England.

Sejak itu, skuad The Three Lions sudah berjaya mara sehingga ke peringkat separuh akhir Piala Dunia 2018 dan setahun selepas itu mengakhiri saingan Nations League di kedudukan ketiga.

Sepanjang saingan Euro 2020, Southgate telah berdepan dengan pelbagai kritikan atas keputusan beliau melibatkan pemilihan pemain.

Beliau juga dikritik kerana terlalu menerapkan corak bertahan walaupun dalam skuadnya masih ramai pemain berbakat yang boleh bermain di posisi serangan.

Walau bagaimanapun, England tetap berjaya mara ke pusingan kalah mati sebagai Juara kumpulan, dengan mereka tidak mencatatkan sebarang bolos dari tiga perlawanan awal.

Hal itu memberi keyakinan yang lebih kepada Gareth Southgate untuk membawa anak-anak buahnya berdepan dengan Jerman di pusingan kalah mati.

“Adakah saya menikmati bola sepak? Ya, saya menikmatinya.”

Jelas Bullingham.

“Gareth telah melakukan kerja yang sangat cemerlang, menamatkan saingan peringkat kumpulan sebagai Juara, mempunyai barisan pertahanan yang mantap. Dia sudah melakukannya dengan sangat baik tidak kira dalam mahupun luar padang dari segala aspect.”

Southgate berjaya membawa skuad England ketika ini mara jauh dalam pertandingan berbanding pengurus lain sejak Euro 1996.

Beliau juga cemerlang dalam membantu membina suasana yang damai dan harmoni di sekitar St George Park.

Bullingham kemudian menambah lagi kenyataan beliau dengan menyatakan:

“Sokongan kami tidak pernah kurang, kami sentiasa memberikan 100% sokongan. Kami mahu dia teruskan, tidak kira apa yang berlaku pada hari Selasa nanti. Sangat pasti. Walaupun dia hanya mampu bawa England di peringkat kumpulan sahaja, kami tetap mahu dia teruskan.”

“Piala Dunia 2022 adalah insentif, faktanya adalah kita hanya 18 bulan sahaja lagi untuk beraksi di pentas terbesar itu dan selepas itu kembali ke Jerman pada 2024, 18 bulan sahaja selepas Piala Dunia.”

“Ia akan memberikan tiga tahun yang sungguh menakjubkan tidak lama lagi. Gareth sangat tahu bagaimana kami rasa tentang dia, yang mana kami mahu dia terus bawa skuad England. Kami sangat mahu dia teruskan, sudah tentu, kami akan lanjutkan kontrak dia.”

Bullingham menyatakan yang rundingan secara formal berkait kontrak Southgate akan dimulakan sebaik selepas tamat saingan Euro 2020.

Gareth Southgate pada ketika ini masih sakit kepala memikirkan kesebelasan terbaik yang akan beliau gunakan untuk aksi bertemu Jerman nanti.

Bullingham sendiri sudah mendedahkan yang Mason Mount dan Ben Chilwell akan tetap terus menjalani sesi kuarantin wajib sehingga malam Isnin nanti.

Jadi kedua-dua mereka tidak memiliki tempoh waktu yang cukup untuk terus diturunkan beraksi dan ia akan menambah bebanan fikiran Southgate berkait pemilihan pemainnya.

Skuad Euro England sebelum ini dikejutkan dengan berita yang Mason Mount dan Ben Chilwell terpaksa diketepikan dari aksi perlawanan bertemu Czech Republic kerana menjalani sesi kuarantin.

Kedua-dua mereka terpaksa diasingkan dari skuad England kerana mereka didapati merupakan kontak rapat pemain Scotland, Billy Gilmour yang disahkan positif C0V-19.

Bintang muda Chelsea itu telah disahkan positif C0V-19 selepas menjalani saringan ketika tamat aksi pertemuan bertemu England sebelum ini.

Keputusan England untuk mengasingkan Mount dan Chilwell telah mengundang pelbagai reaksi dari pelbagai pihak.

Ramai yang bingung ketika Mount dan Chilwell dikuarantin, keseluruhan skuad Scotland sendiri dibenarkan untuk meneruskan sesi latihan dan turun beraksi bertemu Croatia.

Walaupun UEFA mempunyai penasihat kesihatan yang bijak dan berilmiah, namun agak pelik dan membingungkan mengapa hanya dua pemain England itu sahaja yang terpaksa dikuarantinkan, sedangkan pemain Scotland yang lain tidak.

Legenda Chelsea yang kini bertugas sebagai penasihat teknikal di Stamford Bridge, Petr Cech telah memuat status yang mempersoalkan hal tersebut.

“Minta sesiapa yang boleh tolong fahamkan saya, macam mana mungkin Mason Mount dan Ben Chilwell, yang kedua-dua mereka disahkan negatif, tapi masih diarahkan untuk jalani kuarantin hanya kerana kontak rapat Billy Gilmour.”

“Tapi dalam masa sama, kesemua skuad Scotland yang berkongsi bilik persalinan yang sama, hotel, jurulatih, pesawat penerbangan, bilik mesyuarat, bilik santai semuanya bersama-sama dengan Gilmour dibenarkan untuk bermain tanpa ada masalah selepas mereka disahkan negatif.”

“Apa bezanya antara mereka? Kesemuanya negatif. Ia satu hal yang sukar untuk saya fahami.”

Jika difikirkan apa yang dikatakan oleh Petr sememangnya satu hal yang masuk akal dan keputusan untuk mengasingkan kedua-dua pemain England itu nampak seperti sia-sia.

Berbanding Mount dan Chilwell, skuad Scotland sendiri lebih terdedah dengan risiko dan kadar keboleh jangkitan mereka lebih tinggi lagi dari yang lain.

Skuad Scotland walau bagaimanapun tetap turun beraksi bertemu Croatia kemarin dalam usaha mereka untuk melayakan diri ke peringkat kalah mati.

Namun sayang sekali Scotland gagal untuk mendapatkan keputusan yang baik, dengan mereka tewas 3-1 di tangan Croatia dalam aksi perlawanan terakhir peringkat kumpulan D.

Croatia selepas mencatatkan kemenangan 3-1 menewaskan Scotland, mereka berjaya mara ke pusingan kalah mati dengan mengakhiri saingan peringkat kumpulan di kedudukan kedua.

BACA:  Southgate Dedah Alasan Mengapa Beliau Tidak Setuju Ronaldo Cari Gaduh Dengan Botol Coca-Cola