Southgate Dedah Alasan Mengapa Beliau Tidak Setuju Ronaldo Cari Gaduh Dengan Botol Coca-Cola

Pengurus England, Gareth Southgate telah menjelaskan secara terperinci tentang mengapa beliau tidak akan mengikut jejak langkah Cristiano Ronaldo untuk mencari gaduh dengan botol Coca-Cola.

Cristiano Ronaldo baru-baru ini telah mencetuskan kontroversi selepas beliau mengalihkan dua botol Coca-Cola yang ada di hadapannya ketika sesi sidang media, menjelang perlawanan bertemu Hungary.

Beliau juga pada ketika itu menunjukkan isyarat kepada semua orang supaya meminum air kosong dan jangan mengamalkan minuman tidak sihat itu.

Ketika sesetengah pihak memberikan pujian yang menggunung pada atlet yang sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat itu, Southgate pula mempunyai sudut pandangan yang berbeza berkait insiden tersebut.

Ketika beliau ditanya tentang kontroversi tersebut, Southgate yang sedang duduk sambil dua botol Coca-Cola berdiri tegak di hadapannya seperti pemain centre-back, menjawab bahawa beliau tidak setuju dengan cara Ronaldo.

Pengurus England itu menjelaskan kepada media yang pihak penaja telah mengeluarkan dana yang besar untuk membantu sukan ini sejak dari akar umbi lagi.

Beliau turut menegaskan yang pengambilan minuman tersebut secara terkawal sebenarnya tidak akan mendatangkan sebarang masalah.

“Jadi, saya rasa memang banyak penaja dalam dunia sukan dan impak dari duit yang mereka keluarkan telah banyak membantu sukan menjadi lebih berfungsi di pelbagai peringkat.”

“Terutama sekali di peringkat akar umbi dunia sukan di negara kita memerlukan dana pelaburan yang banyak dan tanpa sesetengah syarikat seperti itu sudi untuk melabur, ia akan menyukarkan kita untuk mendapatkan kemudahan yang kita perlukan.”

“Dan saya rasa dalam semua hal di negara kita, sudah tentu kita harus lebih berhati-hati, seperti masalah obesiti dan kesihatan. Tapi semuanya boleh dilakukan dengan lebih terkawal dan saya rasa segalanya yang kamu ambil jika kamu kawal, jarang akan timbulkan masalah.”

Southgate kemudian menambah lagi dengan menyatakan:

“Saya faham keprihatinan yang orang ada dan jelas sekali kedua-dua mereka ada alasan berbeza tentang kenapa mereka lakukan itu, tapi masih ada gambaran besar yang harus difikirkan tentang hal ini.”

Dua orang yang Southgate maksudkan tentunya Ronaldo dan Paul Pogba. Semua orang tahu bintang Perancis itu merupakan seorang pemain yang beragama Islam, jadi agak wajar untuk melihat beliau mengalihkan botol arak dari atas mejanya.

Untuk Cristiano Ronaldo juga, semua peminat tahu dan sedar yang beliau sememangnya seseorang yang mementingkan kesihatan, dan apa yang beliau lakukan itu mungkin spontan dalam mempromosikan aspek kesihatan kepada penonton.

Ketua pasukan England, Harry Kane yang duduk di sebelah Southgate ketika sidang media itu turut menyokong kenyataan dari pengurusnya dengan menyatakan:

“Dari sudut pandangan saya sendiri, saya sangat bersetuju dengan pengurus saya. Saya rasa jelas sekali pihak penaja berhak untuk lakukan apa yang mereka mahu kerana mereka bayar untuk melakukan itu.”

Insiden tersebut turut menjadi bahan jenaka antara para pemain dalam kejohanan ini, dengan Manuel Locatelli turut meniru apa yang dilakukan oleh Ronaldo ketika sidang medianya semalam.

Apa yang menarik lagi, pemain sayap Ukraine, Andriy Yarmolenko yang turut menjaringkan gol ketika membantu skuadnya menewaskan North Macedonia 2-1 semalam turut bergurau sambil menganjing Ronaldo dan Pogba.

Beliau dengan santai mengambil botol Coca-Cola dan Heineken yang ada di atas meja dan diletakkan betul-betul dihadapan beliau sambil bergurau meminta penaja menghubunginya.

“Boleh saya lakukan sesuatu? Saya nampak Ronaldo meletakkan botol Coca-Cola ketepi hari tu,”

Jelas Yarmolenko sambil beliau menarik botol minuman tersebut ke arahnya.

“Saya letakkan Coca-Cola di sini, saya letakkan Heineken di sini, depan saya. Cepat hubungi saya.”

Coca-Cola menanggung rugi besar selepas insiden tersebut dan UEFA sendiri sudah memberi amaran kepada para pemain supaya tidak lagi mencari gaduh dengan botol minuman penaja ketika sesi sidang media.

BACA:  Ronaldo : Iceland Parking Bas Di Padang