Gary Neville Anggap Bintang Liverpool Ini Tak Dapat Penghargaan Yang Sepatutnya Beliau Dapat

Gary Neville telah memberikan pujian melambung kepada bintang Liverpool, Roberto Firmino atas kerja keras dan usaha yang beliau tunjukkan sepanjang beraksi bersama The Reds.

Legenda Manchester United itu juga percaya yang Firmino sebenarnya tak dapat penghargaan selayaknya yang patut beliau terima.

Firmino yang kini berusia 30 tahun telah memulakan kempen saingan Premier League musim ini dengan sangat baik dan turut dianggap antara pemain paling berprestasi pada ketika ini.

Beliau sudah berjaya menjaringkan enam gol dan turut mencatatkan satu assists dari lapan penampilan dalam semua pertandingan sepanjang musim ini.

Liverpool sebelum ini telah menandatangani Diogo Jota dari Wolves dengan yuran perpindahan bernilai £41 juta.

Kehadiran pemain kebangsaan Portugal itu jelas sekali untuk memberi cabaran kepada Roberto Firmino dalam merebut tempat untuk diturunkan sebagai pemain utama.

Walau bagaimanapun, Firmino yang teruk dikecam pada musim lalu kerana gagal untuk bersinar dan meledak gol yang banyak, telah berjaya mendapatkan semula kepercayaan dari Klopp pada musim ini.

Neville bersama rakan penyampainya di Sky Sports, Jamie Carragher telah memilih untuk menamakan kesebelasan terbaik mereka hasil gandingan para pemain Manchester United dan Liverpool.

Legenda Liverpool, Jamie Carragher memilih untuk mengetepikan Roberto Firmino dari kesebelasan pilihannya, dan memilih Mason Greenwood sebagai pemain penyerang, serta Bruno Fernandes bermain di peranan nombor 10.

Walau bagaimanapun, Neville memilih untuk meletakkan Firmino di tempat Bruno Fernandes, dan memilih Cristiano Ronaldo untuk bermain di tempat Mason Greenwood.

Legenda Manchester United itu menegaskan yang beliau menolak untuk tidak menghormati Firmino dengan menegaskan yang bintang Brazil itu senantiasa melakukan kerja-kerja penting setiap kali skuadnya memerlukan beliau.

Neville menjelaskan:

“Ia merupakan satu hal paling sukar untuk ditentukan, tapi saya menolak untuk tidak menghormati Firmino atas apa yang telah dia sumbangkan sejak empat ke lima tahun kebelakangan ini.”

“Gandingan trio serangan mereka sememangnya sangat menakjubkan dan dia senantiasa akan jadi individu yang akan menaikkan dua lagi pemain lain.”

“Dia bekerja keras baik ketika menguasai atau dikuasai dan dia usaha dia untuk pasukan sungguh luar biasa menakjubkan.”

“Dia dihargai, sudah tentu dia perlu dihargai, tapi saya tak rasa dia dapat penghargaan yang selayaknya untuk dia dapat, dengan cara bagaimana dia menggerakkan jentera serangan, dengan dua pemain sayap di sisi dan bagaimana dia membantu pertahanan dalam perlawanan besar dan turun sampai ke posisi midfield pasukan lawan.”

“Dia buat kerja paling sukar untuk pasukan dia setiap kali dia diperlukan, jadi bagi saya dia merupakan pemain yang saya mahu ada dalam pasukan saya jika ada pemain seperti Ronaldo di hadapan.”

“Dia akan buat segala kerja di belakang dan bekerjasama dengan pemain midfield untuk memudahkan kerja pemain di hadapan.”

Manchester United bakal turun beraksi bertemu Liverpool dalam saingan Premier League pada malam ini, dan ia jelas sekali merupakan derby paling menarik untuk ditonton.

Para peminat kedua-dua pasukan sudah tidak sabar untuk menantikan pertembungan antara kedua-dua pasukan ini, dan berharap agar mereka akan mempamerkan aksi persembahan terbaik.

Kedua-dua pasukan sedang bersemangat selepas masing-masing mencatatkan kemenangan ketika beraksi dalam saingan Champions League baru-baru ini.

Liverpool jelas mempunyai kelebihan berdasarkan persembahan mereka yang sangat konsisten dan ditambah pula dengan rekod bersih tanpa kalah mereka dalam perlawanan semua pertandingan sejak 23 perlawanan sebelum ini.

Manchester United tidak dinafikan lagi sememangnya sedang bergelut dengan masalah prestasi dan mereka kerap mencatatkan keputusan yang mengecewakan.

Namun beraksi di halaman sendiri, ditambah dengan semangat serta aura mereka selepas mencatat kemenangan dalam saingan Champions League baru-baru ini, mereka tentunya tidak akan beri laluan mudah kepada The Reds.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Neville dan Keane Beri Sokongan Penuh Protes Menentang Glazer