‘Pemain Lawan Dah Tak Goyang Dengan Messi’ – Gary Neville

Pengulas bola sepak yang bermulut sedap berselera tajam, Gary Neville menyatakan bahawa pemain pasukan lawan kini sudah tidak goyang dan takut dengan kelibat Lionel Messi di padang.

Komen pedas Gary Neville ini hadir selepas Argentina yang disebut-sebut antara pasukan calon juara Piala Dunia 2022 gagal memenuhi jangkaan.

Argentina telah tewas secara mengejut kepada Arab Saudi dan agak bergelut untuk menewaskan Mexico 2-0 di perlawanan kedua yang kembali menghidupkan peluang Albiceleste.

Gary Neville kini bertugas bersama ITV untuk Piala Dunia telah mengulas mengenai aksi Messi ketika menentang Mexico.

Pada separuh masa pertama, Neville memulakan kecaman dengan melabel Messi sebagai tidak memberikan ancaman langsung kepada Mexico serta telah kehilangan sentuhannya.

“Anda mula terfikir, adakah ini Argentina? Mereka mengharungi kejohanan yang hebat, tetapi anda telah menonton mereka sekarang selama satu setengah perlawanan dan nampaknya tidak ada apa-apa di sana, tidak ada corak permainan, permainan yang teruk.”

“Tidak ada rentak dalam apa yang mereka cuba lakukan,” kata Neville yang menganggap Argentina tidak bagus dan beraksi teruk selepas kalah di tangan Arab Saudi.

Seterusnya, Neville mensasarkan kritikannya ke atas Messi secara terbuka.

“Pemain tidak takut dengan Lionel Messi lagi. Sungguh buruk, prestasi Argentina yang buruk.”

Jaringan Lionel Messi 20 minit selepas memasuki separuh masa kedua mungkin telah mengubah fikiran Neville tentang pemain itu yang membuktikan Messi masih mempunyai magis.

Bukan itu sahaja, malahan Messi turut mencipta assist untuk rakannya. Semuanya berlaku hanya selepas komen pedas Neville pada rehat separuh masa pertama.

Messi melakukan jaringan yang sangat cantik, dari situasi yang agak sukar dari ruangan yang terhad. Dia menerima bola dari luar kotak penalti dan merembat rendah menewaskan Ochoa.

Gol Messi itu membuatkan Jamie Carragher yang sentiasa menanti peluang terus menganjing ulasan Neville di Twitter dengan berkata:

“Kawan saya Gary Neville menikmati kejohanan yang buruk sama macam Infantino,” merujuk kepada ulasan Neville yang tidak begitu diterima peminat kali ini.

Macam mana orang nak terima kalau kau kutuk Messi tambah pula Messi berjaya carry Argentina secara solo seperti selalu.

Dengan mudah Neville dikecam peminat bersandarkan statistik di mana Messi telah menjaringkan 12 gol dan 14 assist dalam 19 perlawanan untuk PSG musim ini.

Dan Lionel Messi telah menjaringkan 2 gol 1 assist dalam Piala Dunia hanya selepas 2 perlawanan pertama. Nombor ini tidak dapat menyokong kenyataan Neville.

Kalau orang dah tidak takut dengan Messi itu mungkin benar kerana Messi bukanlah seorang penjenayah dan semua orang sukakan Messi kecuali peminat Cristiano Ronaldo.

Mungkin secara keselurahan pasukan, Argentina bermain teruk namun Messi masih lagi berjaya membawa cabaran Argentina setakat ini.

Argentina 2-0 Mexico

Calon pasukan bakal juara Piala Dunia, Argentina turun perlawanan kedua kumpulan C menentang Mexico dan kemenangan wajib buat Albiceleste untuk menghidupkan kembali peluang.

Situasi ini terjadi gara-gara kejutan terbesar yang dilakukan oleh Arab Saudi dengan satu kebangkitan luar biasa dan menjadi pasukan Asia pertama menewaskan Argentina di Piala Dunia.

Kemenangan 2-0 Poland ke atas Arab Saudi awal Sabtu menyebabkan Argentina perlu mengelak kekalahan menentang Mexico jika mereka tidak mahu terkeluar daripada pertandingan selepas hanya dua perlawanan.

Lionel Messi sekali lagi menjadi penyelamat Argentina dengan gol pembukaan dalam kemenangan 2-0 ke atas Mexico di Stadium Lusail untuk menyemarakkan kempen Piala Dunia pasukannya.

Argentina meletakkan kekalahan mengejut 2-1 menentang Arab Saudi di belakang dan sebagai peristiwa silam dan bangkit kembali.

Argentina akhirnya mendahului hasil jaringan pembukaan dari jarak jauh Messi selepas 64 minit permainan dan jaringan lewat Enzo Fernandez yang mengagumkan hadir membunuh perlawanan.

Anak buah Lionel Scaloni menyertai Arab Saudi dengan tiga mata dan ketinggalan satu mata di belakang pendahulu Kumpulan C, Poland, yang akan mereka hadapi dalam perlawanan terakhir, manakala Mexico di temapt tercorot dengan satu mata.

Argentina turun dengan melakukan lima pertukaran selepas kalah di perlawanan pembukaan mereka, tiga daripadanya di bahagian pertahanan dan mereka gagal mencatatkan percubaan bergelar gol pada separuh masa pertama.

Mexico lebih hampir untuk membuka jaringan sebelum rehat melalui sepakan percuma Alexis Vega yang memaksa Emiliano Martinez berkerja keras.

Kualiti permainan hanya meningkat sedikit pada separuh masa kedua, tetapi entah dari mana Messi mengawal hantaran Angel Di Maria dan melepaskan rembatan leret melepasi Guillermo Ochoa dari jarak 25 ela.

Jaringan itu menyamakan kedudukan Messi dengan legenda Argentina, Diego Maradona dengan lapan gol Piala Dunia untuk Argentina.

Berbaki tiga minit, pemain tengah , Enzo Fernandez menerima hantaran daripada Messi yang melakukan tendangan sudut pendek, masuk ke dalam kotak dan melencongkan bola jauh dari jangkauan Ochoa ke sudut atas untuk gol pertamanya bersama Argentina.

Empat percubaan yang dihasilkan Argentina dan Mexico antara mereka pada separuh masa pertama adalah jumlah gabungan terendah dalam perlawanan Piala Dunia sejak Belanda menentang Argentina pada 2014 (tiga).

Bagaimanapun, pasukan Scaloni meningkatkan permainan pada setengah jam terakhir untuk memastikan harapan mereka untuk meneruskan kemaraan kekal di tangan mereka sendiri apabila Argentina bermain 11 perlawanan tanpa kekalahan menentang pasukan Mexico.

Argentina kini akan dijamin tempat dalam pusingan 16 terakhir jika mereka menewaskan Poland, manakala keputusan seri juga mungkin sudah memadai.

Mexico berada di bawah Kumpulan C tetapi masih boleh mara sekiranya mereka menewaskan Arab Saudi dan Argentina tewas kepada Poland, manakala kemenangan untuk Mexico dan seri dalam perlawanan lain bermakna perbezaan gol masuk ke dalam perkiraan.

Pada hari Messi menyamai penampilan kebangsaan Maradona (21) dan rekod gol (8) di Piala Dunia, Messi membuat kejayaan dengan jaringan hebat dan kemudian membantu pemain gantian Fernandez untuk gol kedua pembunuh Argentina.

Penyerang Paris Saint-Germain itu kini telah menjaringkan gol dalam enam perlawanan berturut-turut untuk Argentina.

Argentina (4-4-2) E Martinez; Montiel, Otamendi, Lisandro Martinez, Acuna; Di Maria, De Paul, Rodriguez, Mac Allister; Messi, Lisandro Lautaro Martinez.

Pemain Simpanan: Armani, Rulli, Foyth, Tagliafico, Paredes, Pezzella, Alvarez, Romero, Palacios, Correa, Almada, Gomez, Dybala, Fernandez, Molina.

Mexico (5-3-2) Ochoa; K Alvarez, Araujo, Montes, Moreno, Gallardo; Herrera, Chavez, Guardado; Lozano, Vega.

Pemain Simpanan: Talavera, Cota, E Alvarez, Vasquez, Arteaga, Romo, Rodriguez, Jimenez, Funes Mori, Gutierrez, Pineda, Sanchez, Martin, Antuna, Alvarado

Referee Daniele Orsato (Italy)

BACA:  Messi Adalah Masalah Utama Coutinho Di Barcelona - De Boer