Gerard Pique Umumkan Persaraan Dari Arena Antarabangsa

Pemain pertahanan Barcelona, Gerard Pique mengumumkan pengunduran beliau dari pentas bola sepak antarabangsa dan tidak akan mewakili Sepanyol lagi pada masa akan datang berikutan persembahan hambar di Piala Dunia 2018.

Sepanyol dianggap sebagai salah satu pasukan pilihan di Piala Dunia yang lalu tetapi gagal menepati ramalan tersebut selepas tumpas di tangan pasukan tuan rumah, Russia di pusingan 16 pasukan terakhir.

Pique umumkan pengunduran beliau dari skuad Sepanyol untuk memberikan tumpuan seratus peratus kepada Barcelona

Walau bagaimanapun, Pique boleh berbangga dengan pencapaian beliau di peringkat antarabangsa di mana beliau merupakan sebahagian daripada skuad Sepanyol yang mendominasi kejohanan besar bermula dari tahun 2008 sehingga 2012.

Antara pencapaian terbesar Pique adalah memenangi Piala Dunia 2010 dan Kejohanan Eropah 2012. Pada usia 31, beliau telah mengumpul sebanyak 102 penampilan bersama La Roja dan selepas mengharungi kempen Piala Dunia 2018 yang mengecewakan, Pique merasakan masanya telah tiba untuk beliau mengundur diri.

Walaupun berjaya memenangi kesemua trofi yang ada, karier antarabangsa Pique dipenuhi dengan pelbagai kontroversi. Disebabkan sokongan terbuka beliau kepada kemerdekaan Catalan (salah sebuah wilayah di Sepanyol), Pique telah menerima kritikan dan banyak pihak mendesak Persekutuan Bola Sepak Sepanyol supaya tidak memilih beliau untuk mewakili La Roja.

Pique berjaya memenangi segala trofi yang pemain bola sepak profesional pernah idamkan

Berikutan pengunduran Fernando Hierro dari kem Sepanyol, jawatan ketua jurulatih kini dipegang oleh Luis Enrique. Walaupun Enrique merupakan bekas bos beliau beberapa musim lalu, Pique merasakan waktunya telah tiba untuk beliau bersaran dan telah memberitahu Enrique supaya tidak memanggilnya lagi untuk tugasan antarabangsa.

“Saya mempunyai beberapa detik yang indah bersama Sepanyol, memenangi Piala Dunia dan Kejohanan Eropah. Tetapi setiap perjalanan mesti ada pengakhirannya.”

“Saya telah memberitahu keputusan saya untuk bersara kepada Luis Enrique .”

Keputusan ini sebenarnya sudah boleh dijangka sebelum Piala Dunia 2018 bermula lagi. Pique pernah memberi bayangan sebelum ini yang mana Piala Dunia 2018 mungkin menjadi kejohanan terakhirnya di peringkat antarabangsa.

Sama seperti Pique, Fabregas juga merupakan sebahagian daripada generasi emas Sepanyol

“Saya rasa keputusan terbaik adalah meninggalkan Sepanyol selepas Piala Dunia 2018 berakhir. Saya telah mengharungi detik-detik yang indah dan merasai sendiri pengalaman yang hebat. Tetapi setiap perjalanan akan ada penamat dan saya ingin menamatkan perjalanan saya dengan cara yang betul.”

Dengan pengumuman ini, Pique menyertai bekas rakan sepasukanna, Andres Iniesta yang turut bersara dari pentas antarabangsa.

BACA:  G.Neville: Sepanyol Pasukan Paling Menyerlah Di Piala Dunia Setakat Ini