Gerrard Patut Bersorak Macam Syaitan Gila Sekiranya Aston Villa Jaringkan Gol Menentang Liverpool, Kata Klopp

Legenda Liverpool, Steven Gerrard, bakal kembali ke Anfield dan kali ini sebagai pengurus pasukan lawan, Aston Villa, pada hari Sabtu. Kembalinya Gerrard ke gelanggang keramat ini pastinya akan menggamit kenangan sepanjang bertahun-tahun dia merumput di padang ini, sambil memakai lilitan kapten pasukan.

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, berkata Gerrard patut bersorak seperti syaitan gila jika Aston Villa berjaya menjaringkan gol menentang bekas pasukannya itu.

Selepas menamatkan karier pengurusannya di Scotland dengan membawa pasukan Glasgow Rangers muncul juara liga, Gerrard mengambil keputusan untuk kembali ke kancah Liga Perdana dan memilih kelab dari Birmingham ini sebagai medan untuk dia membuktikan bahawa dia mampu mengemudi pasukan dalam liga terkuat di dunia ini.

Pertemuan Liverpool-Villa ini pasti akan menjadi detik yang emosional buat Gerrard, dan Klopp berharap hubungan antara bekas kapten dan kelab tersebut akan putus sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung.

Pernah berdepan situasi yang sama suatu ketika dahulu, Klopp memberitahu wartawan sambil mengucapkan selamat datang kepada Gerrard ke Anfield.

“Satu cerita yang sangat indah. Aku boleh bayangkan macam mana perasaaan tu. Tiada sentimen..bla..bla..blaa..

“Tapi Stevie dah jadi seorang jurulatih dan pengurus yang tahu apa yang perlu dilakukan dalam perlawanan, tapi mungkin dia tak tahu macam mana rasanya bila dia melangkah masuk ke dalam stadium dan keluar ke tempat duduk jurulatih.

“Aku rasa macam tu la dulu masa kali pertama aku balik ke Mainz, masa kali pertama aku dengan Liverpool kembali ke Dortmund.

“Rasa dia macam aneh sikit, kau rasa macam semua orang yang kau jumpa bila masuk ke stadium dan selalunya tak ada rasa macam tu.

“Bila kau pergi ke tempat lain, mudah je nak jadi kompetitif. Aku boleh hadap, Stevie pun boleh hadap.

“Stevie berkawan dengan 99.9 peratus orang yang bekerja di Liverpool dan 0.1 peratus tu tak pernah jumpa dia sebab diorang hanya datang selepas dia blah. Aku pun tak pernah cakap benda yang negatif pasal Steven Gerrard sejak aku ada di sini.

“Dia adalah seorang jejaka yang hebat dan dia akan datang ke sini untuk memenangi perlawanan bola sepak dan sebaik sahaja kami berjabat tangan kami akan pulun habis habisan dan aku ingat bila mana kami jaringkan gol untuk Dortmund di Mainz, aku lupa dah semua kisah aku di Mainz dan bersorak macam syaitan gila!

“Dia dibenarkan untuk buat macam tu juga di sini. Cuma aku berharap dia tak ada alasan la nak buat macam tu,” ujar Klopp panjang lebar bagaikan sedang memberi taklimat kepada peserta kem motivasi.

Sebelum memegang jawatan di Villa, Gerrard telah dianggap oleh banyak pihak sebagai pengurus Liverpool di masa depan.

Kini dia adalah seteru langsung tetpai Klopp, yang dikatakan akan berehat daripada bola sepak usai kontraknya kini tamat pada tahun 2024, percaya bahawa Gerrad akan pulang ke gagang bagaikan sang sireh, pada suatu hari nanti.

“Ya ya, aku rasa memang macam tu. Satu-satunya cabarannya adalah bilakah waktu yang tepat untuk semua itu berlaku.

“Kita dah tengok apa yang berlaku dengan Frank Lampard di Chelsea. Dia bagus tapi dia sangat muda dari sudut pandangan seorang pengurus.

“Bilakah waktu yang tepat untuk menerima tugas selaku pengurus? Soalnya bukan tentang dia tak mampu untuk lakukannya, tetapi berapa lama kau nak kerja tu?

“Adakah itu akan menjadi tugas terakhir? Tugas kedua? Itu bukanlah soalan yang aku boleh jawa tapi aku rasa memang akan berlaku – dan cukup baik untuk semua orang.

“Semua ni bukan aku yang kena putuskan. Aku tak tahu apa yang perlu dibuat sebelum kau jadi pengurus Liverpool.

“Aku tahu ada orang cakap yang kau kena menang sesuatu dulu tapi aku tak rasa benda tu betul. Apa yang penting adalah kau menang di sini, kau tak perlu menang sesuatu di masa lalu dan semua benda ‘pemenang terbukti’ ni sebenarnya sampah.

“Kau boleh je menang sesuatu pada masa lalu lepas tu dah tak menang apa-apa dah.

“Apa yang penting bagi seorang pengurus adalah kestabilan kelab, lepas baru sembang nak tingkatkan apa-apa.

“Semua yang dia [Gerrard] buat pada masa lepas nampak elok dan dia sedang berada di landasan yang tepat – tapi apa maksudnya tu?

“Aku tak nampak situasi yang aku akan terlibat dengan keputusan tu tapi tiada siapa yang tahu apa akan berlaku pada masa hadapan. Kita tengok je nanti.”

Sumber : Goal.com

BACA:  Aston Villa Secara Rasminya Mengumumkan Steven Gerrard Sebagai Pengurus Baru