Giorgio Chiellini – Orang Tua Dari Pisa Yang Mengikut Jejak Langkah Fabio Cannavaro

Giorgio Chiellini mengikut jejak langkah Fabio Cannavaro sebagai kapten yang mengangkat piala buat Azzuri apabila dia telah menjulang piala Kejuaraan Eropah atau Euro selepas Itali menewaskan pasukan England 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti.

Meskipun ketinggalan di minit awal permainan selepas Luke Shaw tanpa dijemput telah menjaringkan gol buat England, Itali bangkit menyusun strategi yang akhirnya berhasil pada separuh masa kedua apabila Leonardo Bonucci mengambil kesempatan daripada kekalutan di depan gol England.

Saingan Euro pada kali ini menampilkan Itali sebagai pasukan pembuka dan juga penutup tirai kejohanan. Bermula dengan garang, Itali di bawah kepimpinan Chiellini dengan konsistennya menebas pihak lawan, sekaligus mencatatkan rekod tanpa kalah dalam 34 perlawanan.

Perlawanan pertama edisi Euro 2020 menampilkan pasukan Itali yang diketuai oleh Giorgio Chiellini menewaskan Turki dengan tiga jaringan tanpa balas hasil sumbangan gol daripada Ciro Immobile dan Lorenzo Insigne, selepas Merih Demiral terlebih dahulu tertolak bola ke gawang sendiri pada awal separuh masa kedua.

Pada hujung perlawanan, Turki melancarkan serangan bertalu-talu ke gol Itali demi mencari gol saguhati. Pada suatu ketika, Burak Yilmaz mendapat peluang di depan gol.

Kakinya ditarik ke belakang untuk melakukan rembatan ketika dia hanya beberapa kaki sahaja dari Gianluigi Donnarumma, namun secara tiba-tiba muncul seorang pemain, meluncur ke arah Yilmaz lantas menahan rembatan tersebut. Selepas berjaya menghalang rembatan tersebut, pemain itu bangun dan menjerit gembira, bagaikan berjaya menjulang piala lalu menepuk tangan high five bersama rakan yang lain.

Tiga gol di depan dan berada di hujung permainan bukan satu alasan untuk Giorgio Chiellini untuk membiarkan golnya dibolosi. Baginya, gol perlu dipertahankan, tidak kira apa situasi dan ketika.

Dalam perlawanan menentang Sepanyol, sekali lagi menunjukkan betapa tinggi tekad pemain ini dalam melindungi Donnarumma. Ketika Itali terkial-kial ditekan pemain La Roja, Chiellini kelihatan seperti seorang yang benar-benar menikmati apa yang dia sedang lakukan.

Ada ketika dia berpaling ke belakang gol ke arah penyokong Itali, melambai-lambai tangannya meminta sorakan gemuruh daripada penyokong, dan juga mencium belakang kepala Leonardo Bonucci bagi memberi sokongan kepada rakannya yang sudah keletihan mengharugi tekanan demi tekanan daripada pemain Sepanyol.

Jelas sekali dia memimpin melalui teladan. Dia menjadikan dirinya sebagai role model kepada pemain lain dalam pasukannya.

Karisma yang ada dalam dirinya, di samping mempunyai fizikal yang tinggi dan berbadan lebar, Chiellini secara amnya sudah mampu memberikan kesan psikologi kepada pemain lawan, tanpa perlu menyentuh bola.

Tetapi ada ketika, wataknya tiba-tiba berubah daripada seorang yang ‘bengis’ kepada seorang yang cool.

Menentang Belgium pada peringkat suku akhir, Chiellini sedang berebut bola dengan Axel Witsel di penjuru padang lalu ditegur dengan tegas oleh pengadil. Pemain lain mungkin akan sambung bertekak dengan Witsel, tetapi Chiellini tidak begitu.

Tiba-tiba dengan bibir yang tersenyum, tangannya memeluk bahu pemain lawan seperti seorang kanak-kanak yang memeluk adiknya di depan ibu bapa sambil berkata ‘kami tak buat lagi dah!’.

Ketika separuh akhir di Wembley, perlawanan terikat 1-1 selepas masa tambahan sekaligus membawa kepada penentuan sepakan penalti. Kamera di padang sempat merakam bagaimana aksi Chiellini memeluk kapten Sepanyol, Jordi Alba, cuba berbual mesra sambil bergelak ketawa sebelum duit syiling dilambung bagi menentukan siapa yang akan mengambil sepakan terlebih dahulu.

Detik itu kelihatan seperti Chiellini cuba menenangkan seorang suami yang sedang menunggu isteri bersalin anak sulung. Alba, berwajah tegang dan penuh kerisauan, dipeluk bahunya oleh kapten Itali sambil mulut terkumat-kamit bercerita sesuatu.

Selepas Itali sah bergelar finalis Euro 2020, Chiellini sekali lagi pergi ke arah Alba, memeluknya erat sehingga terangkat kaki kapten Sepanyol tersebut dari rumput padang.

Melalui tindakan tersebut, ada pihak yang menuduhnya cuba bermain psikologi ke atas pemain lawan dan media Sepanyol mengatakan Chiellini telah memalukan Alba yang tujuh inci lebih rendah daripadanya.

Tetapi sebenarnya, tindakan spontan daripada pemain Juventus itu adalah semata-mata untuk menenangkan fikiran, terutamanya di kalangan rakan sepasukan, bukan untuk memberikan tekanan kepada pihak lawan.

Sebelum perlawanan menentang Belgium, Chiellini menyatakan bahawa fungsinya dalam pasukan adalah sebagai sdrammatizzare – untuk membuang dan menghilangkan rasa tegang dalam detik-detik penting buat rakan sepasukan.

“Tak perlu pun nak naikkan rasa berdebar orang, sebab memang dah berdebar pun,” katanya.

“Adrenalin ni kut-kut mana pun memang akan datang sendiri.”

Memang tidak mengejutkan ramai bahawa Chiellini banyak berfikir tentang situasi mental dalam sukan ni. Dari sudut akdemik, dia adalah sorang yang ingin mempelajari kursus perubatan di universiti tetapi tidak dapat mencampur adukkannya dengan bola sepak, dan ‘terpaksa berpuas hati’ dengan Sarjana dalam Pengurusan Perniagaan.

Dalam biografinya yang bertajuk Io Giorgio, Chiellini bercerita tentang psikologi dari aspek membaca fikiran pemain penyerang lawan dan menganggapnya sebagai detik paling penting dalam cara dia bermain dan hasilnya dia seringkali berjaya untuk mendatangkan rasa gerun kepada lawannya.

Alvaro Morata, pernah bermain bersama Chiellini di Juventus berkata, latihan bersama Chiellini boleh diibaratkan bagai mencuri makanan dari sangkar sang gorilla! Penyerang bagaikan bermain dalam ketakukan.

Watak yang sangat penting dalam pasukan Itali.

Rakan sepasukan juga ada bercerita bagaimana impak dan kesan positif daripada teladan yang ditunjukkannya. Chiellini terpaksa dikeluarkan dalam perlawanan kedua ketika menentang Switzerland kerana kecederaan peha.

Matteo Pessina cukup gembira dengan kembalinya pemain ini untuk perlawanan menentang Belgium.

“Kau tahu betapa pentingnya dia buat kami dari segi fizikal dan juga psikologi. Dia naikkan semangat seluruh pasukan,” ujar Pessina.

Walaupun kontrak barunya bersama Juventus masih belum mencapai kata sepakat selepas tamat pada penghujung bulan Jun lalu, Chiellini turun bermain tanpa menunjukkan sebarang kerisauan. Baginya, misi dia dan rakan sepasukan hanya satu – membawa pulang Kejohanan Eropah ke bumi Itali.

Ketika ditanya adakah dia kapten Itali yang pertama yang bermain tanpa kelab, dengan bersahaja dia menjawab sambil ketawa bahawa situasinya ketika ini sama dengan kapten Argentina, Lionel Messi.

“Ya. Dan kitorang berdua adalah kidal.”

Sumber : Guardian

BACA:  Tersengih Girang Chiellini Selepas Menahan Rembatan De Bruyne Dengan Muka