Gol Jaringan Lozano Hasilkan Gempa Bumi Di Mexico City

Mexico mengejutkan juara bertahan, Jerman dengan jaringan 1-0 dalam pertembungan kumpulan F Piala Dunia 2018 hasil jaringan tunggal Hirving Lozano pada minit ke-35.

Apa yang lebih mengagumkan adalah gol tersebut menyebabkan berlakunya gempa bumi berskala kecil di Mexico City, ibu negara Mexico.

Hirving Lozano meraikan gol tunggal jaringannya bersama rakan sepasukannya

Pemain sayap PSV Eindhoven itu berjaya menembusi gawang yang dijaga oleh Manuel Neuer menerusi satu serangan balas pantas yang memerangkap barisan pertahanan Jerman.

Peminat Mexico yang membanjiri Stadium Luzhniki bersorak keriangan menyambut jaringan Lozano dan menyebabkan penyokong Jerman terkedu melihat gawang mereka dibolosi dengan mudah.

Mexico berhak memungut 3 mata dari perlawanan tersebut selepas menampilkan persembahan bertenaga menentang pasukan yang jauh lebih hebat dari mereka jika dilihat dari atas kertas.

Seperti dijangka, Jerman mempunyai penguasaan bola tetapi Mexico tetap mengancam menerusi serangan balas yang berbahaya.

Gol Lozano menyebabkan berlakunya gegaran kecil di Mexico City

Walaupun stadium ‘meletup’ selepas Lozano menemui jaring, ia tidak boleh melawan sambutan rakyat Mexico yang menyaksikan perlawanan tersebut dari Mexico City. Pihak berkuasa melaporkan berlaku aktiviti seismik sebaik sahaja Lozano menjaringkan gol untuk Mexico.

Satu kenyataan rasmi telah dikeluarkan oleh SIMMSA, badan yang menyelia aktiviviti seismik di Mexico, berhubung gegaran kuat yang dihasilkan melalui ‘buatan manusia’ ketika meraikan gol Lozano.

“Satu gempa bumi telah dikesan berlaku di Mexico City hasil buatan manusia. Gegaran ini berkemungkinan besar berpunca daripada peminat bola sepak yang melompat menyambut jaringan gol Mexico di Piala Dunia. Sekurang-kurangnya dua sensor yang diletakkan di Mexico City mencatatkan catatan 11.32.”

Gol tersebut merupakan gol ke-8 beliau di peringkat antarabangsa dan Lozano mengakui ia merupakan gol terbaik yang pernah dijaringkannya setakat ini.

“Ia merupakan permulaan yang hebat buat Mexico, tambahan pula kami menentang juara bertahan Piala Dunia.” Ujar pemain berusia 22 tahun itu.

“Ini merupakan keputusan yang cukup hebat dan hasil kerja keras yang kami lakukan selama ini. Ia juga merupakan gol terbaik yang pernah saya jaringkan sepanjang hidup.”

“Kami semua bermimpi untuk bermain di Piala Dunia. Jadi untuk bermula dengan keputusan positif seperti ini, saya fikir ia merupakan jaringan terbaik saya setakat ini.”

“Keputusan ini bukan mengenai saya sahaja, ia lebih kepada usaha berkumpulan. Kami bermain tanpa rasa takut dan rakan-rakan yang lain juga bermain dengan cukup baik.”

BACA:  Neville: "Boateng Ingat Dia Franz Beckenbauer !"