Guardiola Tidak Rasa PSG Akan Benarkan Neymar Berpindah Ke Real Madrid

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola tidak percaya rancangan Real Madrid untuk mendapatkan khidmat Neymar musim panas ini akan berjaya.

Neymar berpindah dari Barcelona ke Paris Saint-Germain pada tahun lepas dalam perjanjian rekod dunia bernilai £200 juta.

Walaupun Neymar berjaya membantu PSG memenangi treble musim lepas, nama beliau sering dikaitkan dengan kepulangan ke Sepanyol untuk menyertai seteru utama Barcelona, iaitu Real Madrid.

Neymar muncul dari bangku simpanan untuk menjaringkan gol pembukaan Brazil ketika mereka menang 2-0 ke atas Croatia minggu lalu dalam perlawanan pemanas badan menjelang Piala Dunia

Walaupun media pro-Madrid seperti Marca sering mencanang nama Neymar ke Real Madrid dalam akhbar mereka, Guardiola percaya Neymar tidak akan berpindah musim panas ini kerana PSG tidak akan melepaskan beliau selepas hanya semusim bermain dengan kelab tersebut.

Terbaru, selepas perlawanan persahabatan di antara Brazil dan Croatia hujung minggu lalu, bintang tengah Real Madrid Luka Modric telah dirakam berkata kepada Neymar;

“Kami [Real Madrid] sedang menunggu anda !”

Selain Real Madrid, Manchester City juga dilaporkan turut berminat untuk mendapatkan Neymar sekiranya PSG bersedia untuk menjual pemain antarabangsa Brazil tersebut.

Sukar untuk melihat PSG melepaskan pemain yang baru dibeli mereka tahun lepas dengan yuran perpindahan tertinggi dalam sejarah

Neymar juga pernah berkata beliau mahu bekerjasama dengan Guardiola jika diberi kesempatan.

Walaubagaimanapun, Guardiola menafikan minat Manchester City terhadap Neymar dan turut berkata Real Madrid tidak akan berjaya meyakinkan PSG untuk melepaskan pemain berusia 26 tahun tersebut.

“Neymar ke Real Madrid ? Betul, saya ada terbaca berita tersebut tetapi saya sendiri pon tidak tahu menahu mengenai perkara tersebut.” Ujar Guardiola ketika bercakap kepada wartawan selepas bermain dalam satu kejohanan golf,  Costa Brava Legends Trophy.

“Apa yang saya tahu adalah bukan perkara yang mudah bagi mana-mana pemain untuk meninggalkan PSG.  Meninggalkan PSG bukannya mudah kerana PSG adalah PSG, tetapi seperti anda semua tahu, segalanya boleh berlaku dalam bolasepak.”

“Adakah Neymar akan menyertai Manchester City ? Macam nilah. Saya tidak akan pergi ke PSG dan Neymar tidak akan datang ke Manchester.”

Neymar pernah berkata beliau mahu bermain di bawah Guardiola suatu hari nanti, tetapi buat masa sekarang ia hanya angan-angan mat jenin

Neymar masih mempunyai kontrak bersama PSG sehingga tahun 2022. Beliau mengalami kecederaan serius pada bulan Februari lalu yang memaksa beliau melupakan baki saingan liga dan Eropah selepas itu.

Walaubagaimanapun, Neymar kini sudah kembali cergas dan telah dinamakan dalam skuad Brazil yang akan berangkat ke Russia untuk menghadapi kempen Piala Dunia 2018.

Beliau juga berjaya menjaringkan gol pembukaan ketika Brazil menewaskan Croatia 2-0 beberapa hari yang lalu.

BACA:  Pep Guardiola Mahu Lihat Liverpool Kalah Demi Cintanya Terhadap Bayern