Haaland Hanya Mampu Jadi Penonton Menyaksikan Dortmund Dibelasah Rangers

Borussia Dortmund terpaksa akur dibelasah 4-2 oleh Rangers di halaman sendiri ketika aksi peringkat kalah mati saingan Europa League awal pagi tadi.

Rangers berkunjung ke Signal Iduna Park untuk beraksi bertemu Borussia Dortmund dalam saingan Europa League.

Skuad kendalian Marco Rose turun tanpa kehadiran bintang utama mereka, Erling Haaland yang terpaksa diketepikan kerana dibelenggu masalah kecederaan.

Penyerang kebangsaan Norway itu hanya mampu duduk di tempat duduk penonton sambil menyaksikan rakan sepasukannya teruk diaibkan oleh gergasi Scotland itu.

Rangers jelas mendominasi sepenuhnya aksi leg pertama pertemuan antara kedua-dua pasukan, dan membawa bekalan cukup selesa untuk aksi timbal balik nanti.

James Tavernier berjaya membuka tirai jaringan untuk Rangers dalam perlawanan ini, selepas beliau tenang menyempurnakan sepakan penalti untuk menewaskan Gregor Kobel.

Skuad kendalian Giovanni Van Bronckhorst itu kemudiannya berjaya menggandakan kedudukan sebelum tamat aksi babak pertama permainan menerusi Alfredo Morelos.

Alfredo Morelos berjaya meledak gol selepas menerima umpanan cantik dari Joe Aribo untuk meletakkan Rangers 2 gol dihadapan.

Beberapa minit sahaja sebaik aksi sepak mula babak kedua ditiup, Rangers berjaya menambah satu lagi gol untuk mengubah kedudukan menjadi 3-0.

John Lundstram berjaya menjaringkan gol yang sungguh luar biasa menakjubkan selepas menerima bola umpanan dari Ryan Kent.

Pasukan tuan rumah tidak mahu mengalah dengan mereka berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-51 menerusi Jude Bellingham.

Walau bagaimanapun, gol cantik dari pemain midfield England itu gagal untuk menyekat kemaraan Rangers selepas kelab dari Scotland itu berjaya menjaringkan gol keempat mereka.

Bola biasan hasil rembatan dari Morelos awalnya telah dibatalkan oleh pengadil kerana beliau didakwa berada dalam kedudukan offside.

Namun VAR kemudiannya tampil dan mengesahkan kepada pengadil perlawanan bahawa gol itu sepatutnya disahkan.

VAR mengesahkan yang Dan-Axel Zagadou merupakan pemain terakhir yang menyentuh bola, maka gol itu dianggap gol sendiri.

Raphael Guerreiro kemudiannya menjaringkan gol kedua untuk Borussia Dortmund dari jarak 22 ela untuk menewaskan Allan McGregor.

Malang untuk anak-anak buah Marco Rose kerana mereka gagal untuk melakukan comeback dan harus akur dengan kekalahan memalukan 4-2 di tangan Rangers, di halaman sendiri.

Ia merupakan satu keputusan yang besar untuk Rangers selepas kejayaan mereka mencatatkan kemenangan begitu selesa menewaskan gergasi Bundesliga itu.

Antara yang paling mencuri tumpuan dalam perlawanan ini adalah bagaimana reaksi Erling Haaland di tepi padang yang nampak langsung tak gembira dengan keputusan perlawanan tersebut.

Selain menunjukkan muka yang masam, Haaland nampak geram dan mahu diturunkan untuk beraksi agar beliau boleh menyelamatkan Borussia Dortmund dari terus diaibkan.

Walau bagaimanapun, agak mustahil untuk melihat beliau diturunkan, apa lagi memikirkan tahap kecederaan yang beliau hadapi.

Dortmund akan berkunjung ke Ibrox pada 24 Februari nanti untuk aksi leg kedua peringkat kalah mati saingan Europa League.

Rangers kini sudah selangkah untuk mara lebih jauh dalam kejohanan ini selepas kejayaan mereka membelasah Borussia Dortmund di Signal Iduna Park.

Tugas berat menanti Borussia Dortmund dengan mereka perlu mencari tiga gol tanpa balas ketika aksi di Ibrox nanti untuk memastikan mereka layak ke peringkat seterusnya.

Walau bagaimanapun, seandainya mereka pamer aksi yang sama seperti hari ini, maka jelas sekali ia bakal menjadi laluan yang sangat sukar untuk ditempuhi oleh Dortmund dan mereka juga sepertinya perlu akur saja disingkirkan oleh gergasi Scotland itu.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Lima Orang Penyokong Frankfurt Ditangkap Kerana Menyerang Penyokong Rangers