Selepas 5 Tahun, Reus Letak Jawatan Kapten Borussia Dortmund

Pemain veteran dan selama ini dianggap sebagai ikon Borussia Dortmund, Marco Reus melepaskan lilitan kapten pasukannya selepas lima tahun memegang peranan tersebut.

Keputusan oleh Reus ini bermakna Dortmund kini harus mencari kapten pasukan yang baru sebelum bermulanya musim 2023/24 yang akan datang.

Segalanya berpunca daripada kejadian pada musim lalu apabila Dortmund begitu hampir menamatkan dominasi sedekad Bayern Munich di Bundesliga.

Jaringan minit akhir Jamal Musiala memberikan kemenangan ke-11 berturut-turut dan menamatkan impian Dortmund merangkul kejuaraan.

Sejak dariada itu, Reus menjadi antara pemain paling kecewa. Reus sudah bersama Dortmund sejak 2012 sebaik sahaja Dortmund muncul juara pada musim sebelumnya.

Dan kini Reus memutuskan dia akan meneruskan saingan musim hadapan tanpa lilitan kapten.

Bercakap kepada penyokong BvB, Reus berkata: “Hello penyokong BVB. Ini adalah perkara penting untuk saya sampaikan sendiri kepada anda.

“Saya telah melakukan banyak pertimbangan sepanjang tempoh rehat, dan saya memutuskan untuk melepaskan peranan sebagai kapten.

“Saya sudah memaklumkan Edin Terzic dan Sebastian Kehl mengenai perkara ini semalam. Saya telah diberikan peluang untuk memakai lilitan kapten ini selama lima tahun dengan penuh rasa bangga dan hormat.

“Terima kasih atas sokongan anda semua selama ini. Saya berharap Sebastiand dan Edin boleh mencari pengganti yang sesuai. Saya percaya mereka akan menemukannya.

Reus diberikan lilitan kapten pasukan Dortmund ketika era Lucien Favre pada permulaan musim 2018/19.

Pada April lalu pemain itu menyambung kontrak selama setahun untuk kekal di Signal Iduna Park.

Jendela perpindahan musim panas sering dianggap tempoh paling menyukarkan buat Dortmund kerana sering kehilangan pemain bintang mereka.

Musim panas ini kelab itu melepaskan Bellingham ke Real Madrid dengan nilai perpindahan rekod baharu untuk kelab itu.

Edin Terzic juga sudah bermula membina kembali pasukan untuk saingan musim hadapan apabila membawa masuk Feliz Nmecha dari Wolfsburg dan Ramy Bensebaini dari Borussia Monchengladbach.

Tetapi cabaran sebenar Terzic adalah untuk membangkitkan kembali semangat dan moral pemain sedia ada selepas kekecewaan pada hari terakhir saingan apabila impian merangkul kejuaraan diranapkan Bayern.

BACA:  Peminat Manchester City Mahu Mahrez Jangan Ambil Penalti Lagi