Atmosfera Ibrox Jadi Kunci Kejayaan Rangers Singkirkan Dortmund Dari Saingan Europa League

Rangers berjaya melayakan diri ke pusingan 16 terbaik saingan Europa League selepas menyingkirkan Borussia Dortmund awal pagi tadi.

Gergasi Scotland itu mencatatkan keputusan seri 2-2 bertemu Borussia Dortmund di Ibrox dan berjaya layak ke pusingan 16 terbaik mengikut aggregate.

Juara bertahan saingan Scottish Premiership itu berjaya menewaskan Dortmund dengan aggregate 6-4 dan pertembungan antara kedua-dua pasukan ini boleh dianggap antara yang paling sengit musim ini.

Rangers turun dalam aksi leg kedua dengan berbekalkan kemenangan 4-2 menewaskan gergasi Bundesliga itu di Signal Iduna Park sebelum ini.

Pasukan tuan rumah terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-22 permainan menerusi James Tavernier hasil dari sudut sepakan penalti.

Rangers dihadiahkan dengan sepakan penalti oleh pengadil perlawanan selepas Ryan Kent dijatuhkan di dalam kotak penalti oleh Julian Brandt.

Ketua pasukan Rangers, James Tavernier tampil untuk mengambil sepakan tersebut, dan beliau dengan tenang berjaya meledak gol pembukaan untuk pasukan tuan rumah dalam perlawanan ini.

Gol tersebut memberi kelebihan kepada Rangers dengan mereka secara tak langsung mendahului perlawanan dengan keputusan 5-2 secara aggregate.

Jude Bellingham kemudiannya berjaya mencatat nama sebagai penjaring gol, seterusnya menyamakan kedudukan menjadi 1-1 namun secara aggregate mereka masih ketinggalan dengan perbezaan dua gol.

Donyell Malen kemudiannya menjaringkan gol kedua untuk Borussia Dortmund mendahului perlawanan yang dilangsungkan di Ibrox itu, seterusnya mengubah aggregate menjadi 5-4.

Hasil kesilapan dari Mats Hummels, Tavernier sekali lagi tampil untuk menjaringkan gol seterusnya mengikat kedudukan menjadi 2-2 dan secara aggregate Rangers mendahului 6-4.

Satu hal yang paling menarik dari perlawanan ini adalah atmosfera Ibrox yang menyebabkan bulu roma jurukamera sendiri meremang.

Legenda Rangers, Ally McCoist yang turut menjadi pengulas perlawanan tersebut juga nampak terlalu teruja dan beremosi sepanjang perlawanan tersebut.

Marco Reus turut berpotensi untuk menjaringkan gol penting Borussia Dortmund dalam perlawanan ini namun malangnya percubaan beliau berakhir dengan kegagalan.

Ryan Kent kemudiannya berjaya menjaringkan gol ketiga Rangers dalam perlawanan ini untuk mendahului Borussia Dortmund 3-2.

Walau bagaimanapun, gol tersebut telah dibatalkan oleh VAR dan keputusan seri 2-2 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.

VAR mendapati Alfredo Morelos telah mengasari Emre Can ketika build up serangan tersebut, namun rakaman menunjukkan Can sebenarnya tersadung terlebih dahulu sebelum jatuh.

Antonio Mateu Lahoz merujuk skrin dan kemudiannya memutuskan untuk membatalkan gol tersebut.

Borussia Dortmund kemudiannya bermain secara lebih aggressive dalam usaha mereka mencari gol kemenangan, namun Rangers bijak mematahkan semua serangan dari pasukan pelawat.

Erling Haaland terlepas kesempatan untuk beraksi dalam dua-dua perlawanan di pusingan kalah mati ini kerana dibelenggu masalah kecederaan.

Ketiadaan Erling Haaland jelas sekali beri impak yang besar untuk jentera serangan Borussia Dortmund yang dilihat sangat tumpul.

Ia merupakan kejayaan yang sungguh menakjubkan untuk gergasi Scotland itu, untuk mereka mara ke pusingan 16 terbaik selepas menyingkirkan pasukan yang dianggap antara pilihan utama kejohanan.

Skuad kendalian Van Bronckhorst itu akan tahu siapa lawan mereka di pusingan 16 terbaik pada Jumaat nanti, dan sudah tentu mereka menyasarkan untuk mara lebih jauh pada musim ini.

Aura dan atmosfera Ibrox jelas sekali main peranan penting sebalik kejayaan Rangers menewaskan Borussia Dortmund, seterusnya melayakan diri mereka ke pusingan seterusnya.

Para penyokong jelas sekali sangat berharap agar Rangers bakal mara lebih jauh dan bakal muncul sebagai Juara saingan Europa League pada musim ini.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Champions League 2020/21: Manchester City 2-1 Borussia Dortmund