Harimau Malaya Pintas Tiga Negara Anggota Gabungan UEFA Selepas Tewaskan Republik Kyrgyz

Skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon diramalkan naik tujuh anak tangga untuk menduduki tangga ke-130 ranking FIFA selepas kemenangan dramatik 4-3 ke atas Republik Kyrgyztan dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada malam tadi.

Pasukan negara memulakan perlawanan di kedudukan ke-137 dunia dengan 1096.72 mata selepas kalendar perlawanan FIFA pada Oktober lalu.

Kemenangan ke atas Republik Kyrgyztan pada malam tadi bagaimanapun memberikan tambahan mata +15.49, dan ini bermakna pasukan negara akan melonjak ke kedudukan ke-130 berdasarkan situasi semasa.

Kedudukan tersebut turut bermakna Malaysia memintas kedudukan tiga pasukan anggota gabungan UEFA, iaitu Faroe Island (135), Lithuania (134) dan Latvia (132).

Malaysia bermula dengan cemerlang dalam perlawanan tersebut apabila mendahului melalui pemain pertahanan, Dion Cools yang cemerlang menewaskan kawalan pemain pertahanan lawan untuk menanduk masuk sepakan sudut Arif Aiman.

Kelekaan benteng pertahanan negara pada lima minit terakhir bagaimanapun pantas dihukum oleh Kyrgyztan melalui Kayrat Zhrygalbek pada minit ke-42 dan Ernist Batyrkanov pada minit ke-44.

Babak kedua perlawanan turut menyaksikan Kyrgyztan menambah satu lagi jaringan menerusi Kai Merk pada minit ke-57.

Tatkala laluan untuk kembali kelihatan sukar, Arif Aiman menyalakan kembali harapan pasukan negara apabila larian dan hantaran lintangnya dari sebelah sayap kanan ditolak masuk oleh pemain Kyrgyztan, Khristiyan Brauzman pada minit ke-72 untuk kedudukan menjadi 3-2.

Pada ketika itu momentum perlawanan mulai berubah memihak kepada pasukan negara. Minit ke-77, Cools sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring apabila memanfaatkan hantaran Arif yang menjadi masalah utama Kyrgyztan di sebelah kanan.

Arif sekali lagi menjadi arkitek skuad Harimau Malaya apabila gerakan dan assistnya berjaya membebaskan Faisal Halim untuk gol kemenangan dramatik pada minit ke-93 perlawanan.

Malaysia berpeluang menambah +10.65 mata lagi jika berjaya menewaskan Chinese Taipei pada minggu hadapan, sekali gus mengkuhkan kedudukan mereka di dalam saingan Kumpulan D kelayakan Piala Dunia kali ini.

BACA:  Pestabola Merdeka 2024: Malaysia Mara Ke Final Selepas Singkir Filipina Dengan Kemenangan 'Comeback' Dramatik