Henderson Enggan Berpindah Walaupun Diminta Tinggalkan Liverpool Ketika Era Brendan Rodgers

Kapten Liverpool, Jordan Henderson berkata beliau enggan meningggalkan Anfield walaupun diminta berbuat demikian oleh pengurus Liverpool ketika itu, Brendan Rodgers.

Ketika bercakap kepada pemberita menjelang perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah menentang Real Madrid hujung bulan ini, Henderson mendedahkan beliau pernah diminta untuk meninggalkan Liverpool bagi membolehkan penyerang Fulham ketika itu, Clint Dempsey menyertai Liverpool dalam perjanjian pertukaran pemain.

Henderson yang keras kepala. Sama seperti Musa Aman yang masih mengaku beliau adalah Ketua Menteri Sabah

Menurut Henderson, permintaan tersebut datang daripada pengurus Liverpool sendiri iaitu Brendan Rodgers pada musim panas 2012. Henderson berkata beliau menitiskan air mata kerana berasa sedih tidak diperlukan lagi Liverpool ketika itu.

Walaubagaimanapun, Henderson enggan memenuhi permintaan Rodgers dan mengambil keputusan untuk terus kekal bersama Liverpool walaupun menyedari beliau tidak lagi diperlukan Rodgers.

Kedegilan Henderson untuk terus berjuang di Anfield nyata membuahkan hasil apabila beliau dilantik menjadi kapten Liverpool selepas Steven Gerrard meninggalkan kelab tersebut pada tahun 2015. Pemain berusia 27 tahun itu juga menjadi tunjang penting dalam perancangan Jurgen Klopp musim ini dan bakal memainkan peranan besar buat England bagi menghadapi Piala Dunia 2018 di Russia tidak lama lagi.

Dalam satu temu ramah bersama Daily Mail, bekas pemain Sunderland tersebut berkata beliau diberitahu rancangan untuk menukar beliau dengan Clint Dempsey beberapa jam sebelum berlangsungnya perlawanan Europa League menentang Hearts.

Henderson menitiskan airmata mengenangkan nasibnya tidak diperlukan lagi Liverpool

“Brendan Rodgers menelefon saya dan berkata, ‘ Dengar, di sini ada satu tawaran.’ Rodergs bertanya apa pendapat saya mengenai perkara tersebut.”

“Beliau memberi bayangan kepada saya yang beliau bersedia untuk melepaskan saya dan sekarang terpulang kepada saya untuk membuat keputusan. Saya kembali ke bilik dan air mata mula jatuh berguguran.”

“Akhirnya saya menangis kerana ia sangat menyakitkan hati. Saya juga mempunyai perlawanan untuk difikirkan pada malam tersebut.”

“Saya bercakap dengan ejen saya dan memberitahu apa yang telah berlaku. Saya beritahu ejen saya yang saya tidak mahu berpindah. Saya mahu kekal dan berjuang dan menjadi lebih baik bagi membuktikan kepada Rodgers tindakan beliau salah.”

Segalanya berubah buat Henderson hari ini. Memacu Liverpool ke final UCL dan dinamakan dalam skuad Piala Dunia England.

“Ejen saya bersetuju dengan keputusan saya. Saya bercakap dengan ayah saya. Beliau berasa kecewa dan menyokong tindakan saya untuk terus kekal dan berjuang dalam pasukan Liverpool.”

“Bermula saat itu, saya hanya menumpukan segala usaha pada satu perkara sahaja iaitu menjadi lebih baik. Saya tahu saya tidak dapat minit permainan sebanyak yang saya inginkan, tetapi saya masih lagi percaya.”

“Saya masih lagi muda untuk terus berusaha keras, dan membuktikan kepada semua pihak yang mereka salah dalam menilai saya. Saya dapat rasakan yang saya berjaya melakukannya ketika Brendan Rodgers meninggalkan Liverpool.”

BACA:  Premier League 2021/22: Crystal Palace 1-3 Liverpool