Henderson Percaya Nunez Bakal Bawa Dimensi Baru Dan Akan Isi Kekosongan Yang Ditinggalkan Oleh Mane

Ketua pasukan Liverpool, Jordan Henderson mengakui yang kehilangan Sadio Mane merupakan satu kehilangan besar untuk skuad Liverpool.

Beliau walau bagaimanapun percaya yang Darwin Nunez bakal membawa dimensi baru ke dalam skuad pada musim baharu nanti.

Mane meninggalkan Anfield pada awal musim panas ini untuk menyertai gergasi Bundesliga, Bayern Munich dengan yuran perpindahan bernilai £35 juta.

Pemain kebangsaan Senegal itu menghabiskan tempoh enam tahun di Anfield dengan beliau bermain 269 perlawanan dan turut menjaringkan 120 gol.

Kelibat beliau dalam jentera serangan 3 serangkai Liverpool jelas sekali menjadi mimpi ngeri pemain pertahanan lawan dengan mereka turut dianggap sebagai trio terhebat dunia.

Walau bagaimanapun, Jurgen Klopp sepertinya tidak menunggu lama untuk mendapatkan pemain pengganti untuk menggantikan tempat yang ditinggalkan oleh pemain berusia 30 tahun itu.

Darwin Nunez tiba ketika urusan perpindahan Mane ke Bayern sedang berada di fasa akhir, dengan Liverpool membayar £85 juta kepada Benfica untuk mendapatkan khidmatnya.

Pemain kebangsaan Uruguay itu telah menikmati musim yang sangat menakjubkan pada musim lalu bersama Benfica dengan beliau berjaya menjaringkan 34 gol dari 41 penampilan.

Ketua pasukan Liverpool, Jordan Henderson percaya yang Nunez bakal menjadi pengganti terbaik untuk menggantikan Sadio Mane dan bakal menggegar saingan Premier League.

Bercakap kepada The Athletic, Henderson mendedahkan bahawa:

“Bahagian recruitment perlu untuk menyaksikan dia bermain dalam banyak perlawanan dan mereka sudah nampak macam-macam kualiti yang ada pada dia. Semoga saja dia boleh cepat biasakan diri.”

“Dia pilihan terbaru dan dia akan bawa dimensi baru untuk kami dengan cara kami bermain dan kami perlu segera biasakan diri.”

“Kumpulan ini dulu dah buktikan yang mereka boleh segera biasakan diri, dia dah boleh bercakap dengan segelintir pemain dan semoga saja dia boleh segera faham bahasa Inggeris.”

“Ia memang sentiasa akan menjadi sukar selepas kehilangan Mane kerana dia berkelas dunia, antara pemain penyerang terhebat di dunia. Kami sedih lihat dia pergi tapi kami mendoakan yang terbaik untuk dia.”

“Bagi kami, kamu lihat pada jentera serangan dan ia masih sangat kuat. Kami sudah beli pemain baru tapi kami juga masih ada pemain berkelas dunia yang beraksi cemerlang musim lalu.”

“Luis Diaz beraksi dengan sungguh dasyat, lihat pada Mo (Salah) dan nombor yang dia ada, dan jelas sekali Bobby (Firmino) merupakan penambahan yang sempurna untuk kami selepas dia pulih dari kecederaan pada musim lalu.”

“Darwin semoga saja boleh menjadi pemain paling berperanan untuk kami di masa hadapan, dan kami ada segelintir pemain muda yang akan sertai skuad utama. Persaingan merebut tempat akan bantu semua dapatkan tahap persembahan terbaik mereka.”

Walau Henderson merasakan yang Nunez calon terbaik untuk menggantikan Sadio Mane, namun aksi yang dipamerkan oleh bekas bintang Benfica itu sama sekali tidak meyakinkan.

Pemain €100 Juta Beri Impak Setanding Pemain Dari Skuad Akademi?

Manchester United berjaya membelasah Liverpool tanpa belas ketika aksi perlawanan persahabatan di Rajamangala National Stadium, Thailand malam semalam.

Skuad kendalian Erik ten Hag berjaya mencatatkan kemenangan 4-0 menewaskan Liverpool dengan Jadon Sancho, Fred, Anthony Martial dan Facundo Pellistri masing-masing berjaya mencatat nama sebagai penjaring gol dalam perlawanan tersebut.

Para peminat merasa sangat teruja melihat persembahan mantap yang dipersembahkan oleh para pemain dalam perlawanan tersebut.

Walaupun ia hanyalah aksi perlawanan persahabatan, namun harus diakui yang skuad setan merah telah menunjukkan peningkatan mendadak dalam aksi mereka.

Jurgen Klopp telah menurunkan 32 pemain berbeza dalam perlawanan ini dengan 10 dari mereka merupakan pemain muda.

Harus diakui yang ramai dari pemain muda mereka telah mempamerkan aksi persembahan sungguh menakjubkan dalam perlawanan ini.

Namun antara yang paling mencuri tumpuan dalam perlawanan ini adalah aksi dan persembahan mengecewakan dari pemain termahal kelab, Darwin Nunez.

Bekas bintang Benfica itu gagal untuk memberikan impak seperti yang diharapkan dengan beliau juga turut beraksi sangat hambar dalam perlawanan ini.

Hal itu jelas sekali sangat mengecewakan para peminat kerana ramai yang berharap agar beliau akan mampu mempamerkan aksi yang menakjubkan.

Beliau bahkan dianggap sebagai pengganti Sadio Mane yang baru sahaja meninggalkan kelab untuk sertai Bayern Munich pada jendela perpindahan musim panas baru-baru ini.

Walau bagaimanapun, impak yang ditunjukkan oleh Darwin Nunez sepertinya langsung tak setanding dengan apa yang pernah ditunjukkan oleh Mane.

Beliau memiliki beberapa kesempatan untuk menjaringkan gol dalam perlawanan bertemu Man Utd namun kesemua percubaan itu dipersia-siakan oleh Nunez.

Sentuhan pertama yang mengecewakan, rembatan yang mendukacitakan, positioning ke laut dan tak keterlaluan untuk menganggap yang beliau mempamerkan aksi persembahan yang sangat teruk dalam perlawanan ini.

Lebih teruk lagi, aksi yang ditunjukkan oleh beberapa pemain dari skuad akademi sebenarnya jauh lebih baik berbanding apa yang dipersembahkan oleh Nunez dalam perlawanan ini.

Hal itu benar-benar membangkitkan kebimbangan di kalangan peminat dengan ramai yang takut Nunez akan gagal di Anfield.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Liverpool Dan Man City Terikat Di Etihad Dalam Perlawanan Yang Sungguh Menghiburkan