Highlight : Tandukan Padu Daripada Dua Harry Bantu England Benam Hungary 4-0

England membuktikan mereka adalah pasukan yang power di benua Eropah apabila menumpaskan Hungary empat gol tanpa balas di tempat lawan dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022 Kumpulan I semalam.

Untuk rekod, ini adalah perlawanan kompetitif yang pertama buat England selepas ditabalkan pasukan kedua terbaik dalam Kejohanan Eropah 2020 yang menyaksikan mereka tewas kepada pasukan Itali dalam perlawanan akhir.

Dah move on daripada peristiwa tersebut, England terbang ke Hungary dengan satu tujuan – mengekalkan rekod 100 peratus kemenangan pasukan dalam kempen kelayakan Piala Dunia Kumpulan I.

Dalam perlawanan tersebut, pengurus England, Gareth Southgate menurunkan pasukan yang agak kuat dengan Jordan Pickford menjaga gawang seperti biasa sambil dibantu oleh Kyle Walker di posisi pertahanan kanan, John Stones dan Harry Maguire di pertahanan tengah, dan Luke Shaw di pertahanan kiri.

Bahagian tengah double pivot pula Southgate menurunkan Kalvin Phillips dan Declan Rice untuk membantu barisan pertahanan, dan Raheem Sterling, Mason Mount dan Jack Grealish bermain di posisi tengah menyerang dan Harry Kane seperti biasa menjadi ayam tambatan di barisan serangan.

Manakala Hungary pula tampil dengan sebahagian besar pemain yang cemerlang dalam kempen Kejohanan Eropah 2020 tempoh hari dengan Peter Gulacsi sebagai penjaga gol dan dibantu tiga pertahanan tengah – Akos Kecskes, Willi Orban dan Attila Szalai.

Bendeguz Bolla dan Attila Fiola pula menjadi pertaruhan di bek sayap dan Laszlo Kleinheisler dan Andras Schafer  mengemudi bahagian tengah bertahan. Roland Sallai dan Dominik Szoboszlai pula diletakkan sebagai pemain tengah menyerang bagi membantu Adam Szalai untuk mendapatkan gol pasukan.

Daripada minit awal perlawanan, England melakukan serangan bertubi-tubi namun gagal menembusi barisan pertahanan Hungary yang dilihat memenuhi kotak penalti mereka sendiri.

Pasukan Tiga Singa itu hanya mampu melakukan cubaan dari luar kotak dan kebanyakannya adalah rembatan secara ke laut.

Separuh masa pertama menyaksikan Hungary benar-benar berdisiplin dalam mengekang asakan England dan berjaya mengekalkan kedudukan tanpa sebarang jaringan, sehingga membuatkan pengulas kedengaran seperti mengantuk.

Masuk separuh masa kedua, England masih meneruskan rentak serangan dan hasilnya mereka berjaya menembusi gol lawan pada minit ke-55 menerusi penyerang Manchester City, Raheem Sterling.

Mount yang menerima lorongan daripada pemain termahal England, Grealish, telah melakukan cut-back dan menolak bola ke tengah kotak penalti Hungary.

Sterling tanpa dikawal dengan mudah menolak bola ke dalam gol Hungary.

Selepas melepaskan gol pertama, pertahanan Hungary kelihatan sedikit hilang fokus dan kesempatan ini diambil oleh Harry Kane pada minit ke-63. Serling sekali lagi menjadi watak penting dalam episod ini apabila crossing umpama rembatan yang tak jadi daripadanya ke tengah kotak penalti, telah disambar oleh Kane yang kemudiannya menanduk masuk bola ke dalam gol Hungary.

Lima minit kemudian, selepas tercabar dengan Harry Kane, Harry Maguire pula mencatatkan nama sebagai penjaring apabila melakukan tandukan padu bola sepakan sudut daripada Luke Shaw, dan memperlihatkan bola meluru tajam ke dalam gol pasukan lawan.

Dengan kesukaran untuk menembusi barisan pertahanan pasukan England, pasukan Hungary dilihat sudah berputus asa dan akibatnya, pada minit ke-87, Declan Rice mencatatkan nama sebagai penjaring apabila rembatan leret dari luar kotak penalti telah meluru masuk ke celah ketiak penjaga gol Hungary lantas menerjah jaring.

Kemenangan ini menyaksikan England kekal di tangga teratas kumpulan I dengan 12 mata daripada empat perlawanan, jauh meninggalkan pasukan di tangga kedua, Poland yang sekadar mengutip tujuh mata.

Selepas ini pasukan Tiga Singa ini akan bertemu pasukan Andorra, lawan yang boleh dikatakan agak mudah untuk dijinakkan dan mungkin dalam perlawanan tersebut nanti kita boleh tengok Southgate turunkan Patrick Bamford untuk mendapat debutnya bersama England.

BACA:  Dua Sebab Mengapa England Tidak Seharusnya Dihadiahkan Dengan Sepakan Penalti