Icardi Akhirnya Buka Mulut Selepas Tidak Lagi Bergelar Kapten Inter Milan

Penyerang Inter Milan, Mauro Icardi akhirnya memuat naik satu kenyataan selepas tidak lagi bergelar kapten Inter Milan.

Beberapa hari yang lalu, Inter Milan mengejutkan komuniti bola sepak Itali apabila mengumumkan Icardi telah dilucutkan dari memakai lilitan kapten tersebut.

Icardi tidak lagi bergelar kapten Inter Milan dengan serta merta. Handanovic bakal mengambil alih tugas beliau selepas ini

Lilitan kapten Inter Milan akan dipakai oleh penjaga gol, Samir Handanovic untuk perlawanan seterusnya.

Penyerang antarabangsa Argentina itu juga tidak disenaraikan dalam skuad Inter yang bertandang ke Austria untuk berhadapan dengan Rapid Vienna awal pagi tadi dalam saingan kalah mati Europa League.

Tanpa kehadiran Icardi dalam skuad Nerazzurri, pasukan tersebut masih mampu mencatat kemenangan 1-0 di tempat lawan, sekaligus membawa bekalan yang selesa untuk perlawanan timbal balik pada minggu hadapan.

Penyerang muda Inter, Lautaro Martínez berjaya menyempurnakan sepakan penalti untuk memberikan kemenangan berharga kepada Inter.

Walau bagaimanapun, masih ramai yang tertanya-tanya apa yang sebenarnya berlaku di sebalik tabir yang menyebabkan Icardi dilucutkan dari memakai lilitan kapten pasukan tersebut.

Tindakan mengejut itu mungkin berkait dengan perbincangan untuk melanjutkan kontrak Icardi bersama Inter Milan yang dilaporkan menemui jalan buntu.

Walaupun Icardi masih mempunyai kontrak sehingga tahun 2021, kedua-dua belah pihak kini sedang berbincang mengenai kontrak baru yang mana isteri Icardi, Wanda Nara bertindak sebagai ejen beliau.

Icardi dilaporkan telah menarik minat beberapa kelab terkemuka dunia seperti Real Madrid dan Juventus.

Jika sesiapa lupa siapa itu Wanda Nara, perempuan ini adalah bekas isteri kepada Maximiliano Lopez. Icardi, Lopez dan Nara terlibat dalam kontroveris rumah tangga sehingga mengakibatkan penceraian di antara Nara dan Lopez.

Tidak lama selepas itu, Nara dan Icardi mengumumkan hubungan mereka dan ia berkekalan sehingga ke hari ini.

Berbalik kepada isu pelucutan kapten, Icardi menerusi Instagram miliknya telah memuat naik satu posting bagi menjawab isu yang melanda dirinya ketika ini. Icardi memilih untuk menggunakan perumpamaan seorang penulis terkenal dari Amerik Syarikat, Mark Twain bagi menjawab isu tersebut.

“Adalah lebih baik untuk menutup mulut dan kelihatan bodoh dari membuka mulut dan menjawab segala kekusutan.”

Pengurus Inter Milan, Luciano Spalletti apabila diminta untuk mengulas perkara tersebut berkata Icardi ‘tidak mahu lagi berada di kelab itu’.

“Keputusan untuk melucutkan lilitan kapten dari Icardi merupakan keputuan yang sukar dan menyakitkan, dan ianya diambil demi kebaikan Inter Milan.”

“Icardi dipanggil untuk pergi ke Vienna tetapi beliau tidak mahu berada di sini [Inter].”

“Isu yang berkait dengan beliau selama ini telah memberi kesan kepada beliau dan pasukan yang dipimpinnya. Sekarang kami harus menumpukan segala tumpuan kami terhadap perlawanan pada hari Khamis nanti [menentang Rapid Vienna].”

BACA:  Logo Baharu Inter Milan Cetus Keriuhan Ramai