Bukan Kerana Idolakan Beckham Atau Fletcher, Onana Jelaskan Sebab Sebenar Pilih Jersi No.24

Perpindahan Andre Onana dari Inter Milan ke Manchester United telah disahkan pada 20 Julai lalu.

Penjaga gol berusia 27 tahun itu menandatangani kontrak selama lima tahun dengan pilihan sambungan selama setahun selepas United bersetuju untuk membayar £47.61 kepada Inter untuk khidmatnya.

Dicanang sebagai pengganti kepada David de Gea di hadapan gawang United untuk saingan musim hadapan, ramai penyokong menyangka Onana akan memakai jersi No.1 yang ditinggalkan oleh De Gea.

Namun demikian perkara sebaliknya yang berlaku apabila Onana diperkenalkan dengan jersi No.24.

Jersi No.24 bukanlah jersi yang dianggap popular di kalangan peminat Setan Merah walaupun pernah dipakai oleh David Beckham di awal kariernya di Old Trafford dan juga Darren Fletcher yang dianggap sebagai pemain tengah versatile di era Sir Alex Ferguson.

Dalam temubual pertamanya bersama media United, Onana mendedahkan nombor tersebut sebenarnya dipilih kerana tarikh lahirnya pada 2 April 1996.

“Saya sukakan nombor itu. Ia adalah hari jadi saya, tarikh saya dilahirkan. Pada saya ia amat hebat dan cantik,” kata Onana yang menafikan sekiranya pemilihan angka tersebut mempunyai perkaitan dengan bekas pemain yang pernah menyarung jersi tersebut bersama United sebelum ini.

Itu bukan satu-satunya sebab mengapa Onana memilih nombor 24 bersama United. Nombor yang sama turut dipakai oleh Onana ketika mengecapi kejayaan bersama Ajax dan Inter Milan sebelum ini.

“Saya sukakan nombor ini kerana ketika memakainya saya telah mencapai banyak kejayaan, dan saya berharap perkara sama akan berterusan di kelab ini,” tambah penjaga gol Cameroon itu lagi.

Ketika menyertai Inter Milan beberapa musim lalu, Onana memilih untuk memakai jersi No.24 kerana penjaga gol utama Samir Handovic menggunakan jersi No.1.

Dengan jersi tersebut, Onana membantu Inter muncul juara Coppa Italia pada musim 2022/23, Supercup Italia pada 2022 dan naib juara Champions League pada musim lalu.

Ketika bersama Ajax di Eredivisie, menukar nombor jersi kepada No.24 selepas musim yang sukar pada musim 2017/18.

Selepas itu Onana membantu Ajax muncul juara Belanda pada musim 2018/19, 2020/21 dan 2021/22, selain Piala KNVB pada musim 2018/19 dan 2020/21.

Onana juga adalah penjaga gol Ajax di bawah kendalian Ten Hag yang mara ke separuh akhir Champions League pada musim 2018/19 di mana mereka menyingkirkan Real Madrid dan Juventus di pusingan kalah mati.

Dianggap sebagai antara penjaga gol moden terbaik dunia, Onana turut berkongsi falsafah dan corak permainannya.

“Saya selesa memulakan gerakan dari bawah, tetapi ia bergantung kepada situasi

“Pada pendapat saya perkara terpenting ialah untuk menilai situasi dan itulah yang saya perlukan, harus bijak membaca situasi permainan terutama ketika pasukan sedang memerlukan momen istimewa.

“Di setiap perlawanan, bergantung juga siapa lawan yang dihadapi. Adakalanya anda memiliki penguasaan bola, dan adakalanya tidak.

“Daripada situ anda harus bermain dengan bijak untuk membantu pasukan. Kebanyakkan masa bermain dengan pemain sebegini ia amat hebat.

“Saya sudah memulakan latihan [bersama United] dan kualiti pemain di dalam skuad ini amat luar biasa,” jelas Onana.

BACA:  Inter Milan Beli Nainggolan Dari AS Roma Dengan Harga €38 Juta