Bayern Munich Sedang Pertimbang Dapatkan David De Gea

Menurut SPORT Bayern Munich telah menjadi kelab terbaru untuk mendapatkan bekas khidmat Manchester United, David de Gea.

Penjaga gol Sepanyol itu menamatkan karier selama 12 tahun di Old Trafford selepas kontrak beliau tidak diperbaharui dan kini bebas untuk menyertai mana-mana kelab sebagai ejen bebas.

De Gea pantas mendapat perhatian Bayern Munich yang bergelut di posisi penjaga gol akibat kecederaan patah kaki yang dialami oleh Manuel Neuer pada Disember tahun lalu.

Walaupun De Gea boleh diperolehi secara percuma, Bayern dijangka akan mendapat saingan daripada kelab Saudi Pro League, Al Nassr untuk tandatangan penjaga gol itu.

De gea bakal menjadi rakan sepasukan Cristiano Ronaldo sekali lagi jika bekas penjaga gol Atletico Madrid itu memutuskan untuk ke Arab Saudii

Kemungkinan Bayern Munich untuk mendapatkan khidmat De Gea bagaimanapun bergantung kepada situasi kontrak Yann Sommer.

Sommer didatangkan Bayern pada jendela perpindahan musim panas lalu dari Gladbach, dan hanya menandatangani kontrak singkat sehingga 2025.

Kelab Bavarian itu berhajat untuk melanjutkan kontrak penjaga gol antarabangsa Switzerland itu untuk tempoh masa panjang, tetapi minat daripada Inter Milan yang melepaskan Andre Onana Ke Manchester United boleh menjejaskan rancangan tersebut.

Seperti semua sedia maklum Inter dan United telah mencapai kata sepakat untuk Onana menjadi pengganti De Gea di dalam skuad kendalian Erik ten Hag pada musim hadapan.

Dan apabila Onana sah menyertai United, Inter berkemungkinan besar akan membida Sommer, dan situasi ini akan mendorong Bayern untuk mengikat De Gea.

Sommer adalah pemain penting Bayern pada musim lalu menjulang kejuaraan Bundesliga. Penjaga gol berusia 27 tahun itu menyerlah sepanjang ketiadaan Neuer yang terpaksa berehat panjang.

Bagaimanapun Neuer dijangka akan merampas kembali jersi No.1 Bayern Munich sebaik sahaja kembali daripada kecederaan.

Ia pasti menarik untuk melihat persaingan jersi No.1 Bayern dan bagaimana Thomas Tuchel mengendalikan posisi penjaga gol sekiranya turut mengikat David de Gea pada musim panas ini.

De Gea yang kehilangan tempat di dalam skuad Sepanyol di Piala Dunia 2022 di Qatar pasti mahukan minit perlawanan kompetitif untuk mendapatkan tempat di dalam skuad La Roja untuk Kejohanan EURO 2024.

BACA:  Champions League 2021/22: Young Boys 2-1 Manchester United