Itali, Arab Saudi Mahu Jadi Tuan Rumah Bersama Piala Dunia 2030

Temasya Piala Dunia 2030 mungkin akan dianjurkan bersama oleh Arab Saudi dan Itali dengan negara Timur Tengah tersebut mensasarkan hak penganjuran buat pertama kali pesta bola sepak terbesar di dunia tersebut.

Idea penganjuran Euro 2020 merentasi benua Eropah tentunya tidak digemari ramai sejak sebelum pandemik Covid-19 melanda lagi di mana para penyokong dan pasukan bertanding terpaksa berkelana merentasi banyak negara dan berhadapan peraturan dan undang-undang yang berbeza.

Para penyokong juga tidak berminat dengan keputusan FIFA yang mengundi memberikan hak penganjuran Piala Dunia 2022 kepada Qatar, dan terpaksa diadakan pada musim sejuk.

Pada hari Jumaat lalu, The Athletic melaporkan bahawa terdapat cadangan yang lebih buruk daripada Piala Dunia Qatar di mana Arab Saudi berharap akan menjadi tuan rumah bersama untuk kejohanan pada tahun 2030 nanti.

Laporan tersebut mengatakan bahawa Arab Saudi sedang berbincang dengan juara Euro 2020, Itali, sebagai pasangan mereka, dengan FIFA dikatakan lebih berminat supaya penganjuran piala termasyhur di dunia ini diadakan di lebih daripada satu negara.

Firma dari Amerika Syarikat, Boston Consultancy Group, dikatakan menjadi penasihat dalam membantu negara Timur Tengah tersebut merangka strategi untuk berjaya mendapatkan hak sebagai tuan rumah nanti.

Mereka juga dikatakan sedang melihat kebarangkalian kerjasama dengan Mesir dan Maghribi sekaligus mewujudkan hubungan Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA), yang dilihat lebih masuk akal jika faktor geografi diambil kira.

Walaubagaimanapun, persoalan yang timbul berkenaan dua negara Afrika tersebut adalah kemampuan mereka mengajurkan Piala Dunia berdasarkan fasiliti, infrastruktur dan juga isu komersial.

Ini bermakna terdapat kemungkinan kerjasama dan penyatuan Eropah dan Asia walaupun dilihat bakal mengundang satu masalah besar kerana jarak kedua-dua negara ini adalah 3500km dan masa diambil untuk penerbangan adalah sekitar lima jam.

Dalam edisi Euro tempoh hari, jarak yang sama direkodkan antara ibukota England, London dan Baku yang terletak di Azerbaijan – dua bandaraya yang paling jauh yang menjadi tuan rumah dan dalam tempoh lima tahun lagi, jarak yang ditempuh adalah lebih jauh.

Piala Dunia 2026 akan diadakan di Kanada, Amerika Syarikat dan Mexico dengan jarak antara Edmonton, bandaraya yang paling utara dan Mexico City, yang paling selatan, adalah kira-kira 4800 km, kira-kira jarak antara Kuala Lumpur dan Beijing! Waktu penerbangan pula dianggarkan sekitar tujuh jam.

Gila kan FIFA?

Pada masa yang sama, Itali juga sedang menyasarkan untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia dalam tempoh sembilan tahun lagi, atau Euro dalam tempoh tujuh tahun lagi.

Presiden Persatuan Bole Sepak Itali, Gabriele Gravina memberitahu pihak media pada hari Khamis lalu bahawa dia akan mengkaji pencalonan Itali untuk Kejohanan Eropah 2028 dan Piala Dunia 2030, yang juga genap 100 tahun piala tersebut mula dimainkan.

Usahasama sebuah negara Eropah dan Saudi ini akan memberikan impak yang besar kepada harapan England untuk menjadi tuan rumah pada tahun tersebut. Pihak FA England sedang mempertimbangkan penganjuran bersama dengan Scotland, Wales, Ireland Utara dan Republik Ireland – namun peluang ini dilihat agak samar selepas kekecohan yang ditimbulkan oleh para penyokong England ketika perlawanan akhir Euro 2020 tempoh hari.

Ada juga kemungkinan pencalonan daripada Sepanyol dan Portugal dan presiden UEFA Aleksander Ceferin mahu kesemua negara untuk bersatu hati ketika mengundi dan dia dilihat lebih condong kepada dua negara Iberia tersebut.

Walaubagaimanapun pilihan tersebut mungkin berubah selepas pencalonan bersama secara rasmi daripada Itali dan Arab Saudi, di mana penganjuran di dua benua adalah sesuatu yang istimewa dan belum pernah dilakukan lagi.

Sumber : SB

BACA:  Sejarah dan Fakta Trofi Piala Dunia