Jack Butland Salahkan Polisi Perpindahan Stoke Sebagai Punca Mereka Tersingkir

Penjaga gol Stoke City, Jack Butland menempelak polisi perpindahan yang diamalkan kelab tersebut dan menggelarnya sebagai mengarut.

Penjaga gol antarabangsa England tersebut mahu perubahan serta merta dilakukan Stoke berkenaan polisi pengambilan pemain selepas pasukan tersebut tersingkir dari Liga Perdana Inggeris buat kali pertama sejak 10 tahun lepas.

Butland kecewa tindakan Stoke menandatangani pemain yang tidak dapat memberikan sumbangan kepada kelab. Usah risau Jack, banyak kelab besar berminat menyambar anda

Kekalahan 2-1 di tempat sendiri kepada Crystal Palace hujung minggu lalu mengesahkan masa depan pasukan tersebut bukan lagi berada di Liga Perdana Inggeris, sekurang-kuranya musim  hadapan.

Butland mendakwa Stoke tidak boleh mengharapkan pemain yang tidak pandai menjaga disiplin sebagai komponen penting dalam pasukan tersebut. Beberapa nama besar seperti Saido Berahino dan Kevin Wimmer dibawa masuk dengan yuran perpindahan yang agak tinggi tetapi kedua-duanya gagal mempamerkan persembahan seperti yang dikehendaki.

Walaubagaimanapun, beliau telah melupakan episod duka bersama Stoke musim ini dan mengalihkan tumpuannya untuk berada dalam skuad England yang akan berangkat ke Russia tidak lama lagi.

“Saya rasa polisi pengambilan pemain di kelab ini perlu dilihat kembali. Terdapat pemain yang baru dibawa masuk tetapi tidak terlibat dalam skuad utama kerana pelbagai masalah seperti disiplin atau gagal mempamerkan prestasi seperti yang diharapkan.”

“Anda dapat lihat pembelian Januari kami iaitu Badou Ndiaye dan Moritz Bauer, kedua-duanya pembelian yang positif. Tetapi jika anda lihat pemain lain yang dibawa masuk, mereka tidak berada disini untuk memberikan sumbangan kepada pasukan.”

“Pemain-pemain tersebut tidak berada di dalam skuad hari ini bukan disebabkan mereka berada di kemuncak prestasi. Jika mereka berada di kemuncak prestasi, sudah tentu mereka akan berada dalam skuad hari ini.”

Crystal Palace menghumban Stoke ke Liga Kejuaraan musim hadapan.

“Terdapat terlalu banyak pemain yang dibawa masuk sejak kebelakangan ini tidak digunakan untuk memperkuatkan pasukan dan perkara itu tidak boleh diterima. Jadi sebelum pemain baru dibawa masuk tidak lama lagi, polisi perpindahan kelab ini perlu dikaji kembali kerana ia sangat mengarut buat masa sekarang.”

Antara pemain yang dimaksudkan oleh Butland adalah bekas pemain West Brom, Saido Berahino. Berahino yang belum lagi menjaringkan gol untuk Stoke telah dihumban ke skuad Bawah 23-Tahun kerana kerap lewat turun menjalani latihan.

Masalah disiplin sering menghantui karier Berahino

Berahino dan Wimmer juga dilaporkan terpaksa diletakkan di bawah satu program khas bagi meningkatkan tahap kecergasan mereka. Seorang lagi pemain yang dibekukan dari terlibat dalam skuad utama adalah bekas pemain Barcelona, Ibrahim Afellay di bawa masuk pada tahun 2015.

Pemain pinjaman dari Paris Saint-Germain, Jese Rodriguez tidak lagi bersama kelab tersebut dan telah dibenarkan untuk menamatkan perjanjiannya lebih awal bersama Stoke atas sebab peribadi.

BACA:  Gareth Southgate dan Encik Raheem Bakal Menerima Pingat Kesatria Dari Istana Jika Menang Euro