Jack Grealish Dan Kekasihnya Terpaksa Meninggalkan Kediaman Mereka Di Manchester

Jack Grealish bersama kekasihnya, Sasha Attwood terpaksa meninggalkan rumah mewah mereka di bandar Manchester kerana tidak tahan dengan gangguan.

Kehidupan mereka sedikit terganggu selepas para peminat mengenal pasti kediaman mereka dan hal itu membuatkan Jack Grealish merasa tidak selesa.

Bintang Manchester City itu baru sahaja tiba di Etihad, namun beliau kini sudah mula mencari kediaman baru untuk di duduki, dek kerana rumahnya sekarang sudah diketahui ramai.

Grealish menandatangani perjanjian bersama Juara saingan Premier League itu dengan yuran perpindahan bernilai £115 juta dari kelab kesayangannya, Aston Villa.

Walau bagaimanapun, dek kerana beliau bersama kekasihnya bimbang dengan tahap keselamatan mereka, maka beliau memutuskan untuk meninggalkan kediaman mereka ketika ini.

Sumber terdekat Grealish mendedahkan bahawa:

“Jack tinggal di sebuah apartment indah di Manchester, namun baru-baru ini peminat mula tahu kediaman dia dan berkumpul di sana.”

Tiada masalah besar yang berlaku setakat ini, memandangkan kesemua mereka yang menunggu beliau di sekitar rumahnya merupakan peminat beliau sendiri.

Mereka sangat meminati Jack Grealish dan menunggu di sana semata-mata untuk dapat bergambar atau tandatangan bintang kebangsaan England itu.

“Walau bagaimanapun, jika dilihat pada gambaran lebih besar, ia sangat tidak wajar untuk orang tahu kediaman dia. Terutama melihatkan kepada ancaman yang diterima oleh Sasha.”

Pemain berusia 26 tahun itu memulakan karier awalnya bersama Manchester City dengan sangat baik selepas beliau berjaya menjaringkan gol dalam saingan Premier League dan Champions League.

Beliau berjaya meledak gol ketika debutnya dalam saingan Champions League bertemu RB Leipzig bulan lalu

Beliau juga kini sudah menjadi pemain terpenting dalam sistem kendalian Pep Guardiola dan sering diberi kepercayaan untuk beraksi dalam kesebelasan utama.

Sumber terdekat beliau turut berharap agar Jack Grealish berasa selesa dan tidak terganggu sepanjang tempoh beliau berada di Manchester.

“Saya harap sementara dia masih di sana, semuanya dalam keadaan terkawal.”

Kembali pada Julai lalu, Attwood memuat naik video di laman Youtube peribadinya, dengan beliau mendedahkan tentang gangguan dan ugutan maut yang beliau terima selepas kekalahan skuad England dalam aksi perlawanan akhir saingan Euro 2020.

Ekoran dari perpindahan beliau dari Aston Villa, nama bintang England dan Manchester City itu semakin memuncak naik dan dikenali ramai.

Selain Grealish, kekasihnya, Sasha juga turut berjaya mencipta nama selepas model berusia 23 tahun itu baru-baru ini menandatangani perjanjian tajaan bersama jenama fashion terkenal, BooHoo.

Kedua-dua mereka sudah mula menjalin hubungan cinta sejak mereka di usia remaja lagi, dengan pihak media turut menyamakan mereka sama seperti duo Beckham dan Victoria.

Selepas kekalahan 2-0 di tangan Paris Saint Germain awal pagi tadi, Grealish bersama rakan sepasukannya bakal beraksi bertemu Liverpool dalam saingan Premier League minggu hadapan.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Aksi Bersahaja Grealish Hantar Casemiro Kembali Ke Brazil