Rio Ferdinand Percaya Savic Sebenarnya Cemburu Dengan Jack Grealish

Rio Ferdinand menganggap Atletico Madrid merupakan sebuah kelab yang memalukan dan beliau turut menuduh Stefan Savic sebenarnya sekadar cemburu dengan Jack Grealish.

Beliau mengeluarkan kenyataan tersebut selepas melihat aksi panas yang berlaku dalam perlawanan yang menemukan Manchester City bertemu Atletico Madrid awal pagi tadi.

Manchester City sebelum ini berjaya mencatatkan kemenangan 1-0 menewaskan Atletico Madrid di Etihad dan jelas sekali mereka dianggap sebagai pasukan kegemaran untuk layak ke peringkat separuh akhir.

Walau bagaimanapun, kedua-dua pasukan sekadar mampu mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan sahaja ketika mereka bertemu di Wanda Metropolitano hari ini.

Telah berlaku pelbagai insiden panas dalam perlawanan tersebut hingga menyebabkan tercetusnya pergaduhan antara para pemain kedua-dua pasukan.

Selepas Felipe dilayangkan kad merah, para pemain kedua-dua pasukan telah terlibat dengan satu insiden pergaduhan yang sangat kecoh.

Felipe menerima kad kuning kedua selepas beliau melakukan kekasaran ke atas Phil Foden dan dari situlah bermulanya kekecohan antara para pemain kedua-dua pasukan.

Para pemain mula berkerumun, saling tolak menolak dan ketika itu jugalah Savic dilihat menanduk Raheem Sterling sebelum beliau bergaduh dengan Jack Grealish.

Stefan Savic dilihat menarik rambut bekas bintang Aston Villa itu dan pergaduhan antara kedua-dua mereka berlanjutan sehingga tamat perlawanan.

Bekas pemain pertahanan Manchester City itu dihentam teruk oleh para peminat atas sikap yang beliau tunjukkan, dengan Rio Ferdinand turut sama menghentam beliau selepas tamat perlawanan tersebut.

Ferdinand menghentam tindakan Savic dan Atletico Madrid sendiri dengan beliau menganggap kelab dari saingan La Liga itu merupakan kelab yang memalukan atas apa yang mereka tunjukkan di pentas bola sepak Eropah.

“Tindakan yang sangat teruk dari para pemain Atletico Madrid, mereka patut malu dengan beberapa sikap yang telah mereka tunjukkan.”

Jelas Ferdinand di studio BT Sport.

“Kamu perlu kata, bila bercakap tentang bola sepak, tahniah kepada Atletico Madrid kerana mereka berjaya membuatkan Manchester City bermain dengan cara yang dah lama kita tak tengok, bawa mereka keluar dari rentak permainan mereka. Tapi ada beberapa hal yang mereka lakukan itu sebenarnya benda yang kita tak nak tengok berlaku di padang bola sepak.”

Ferdinand juga turut bercakap tentang insiden yang berlaku antara Grealish dan Savic dengan beliau menghentam pemain kebangsaan Montenegro itu.

Legenda Manchester United itu menyatakan yang Savic sebenarnya cemburu dengan nilai £100 juta yang ada pada pemain Manchester City itu.

“Apa Jack katakan di sana adalah benda yang kita tak boleh katakan di sini secara langsung.”

“Ada lisan yang berlanjutan dan kamu ada sedikit kelebihan berbanding orang lain. Ia memang akan jadi seperti itu. Savic akan toleh ke belakang dan fikir itu bukanlah detik terbaik untuk dia.”

“Semuanya tentang perjanjian Gucci yang dia dapat, dia mesti tak gembira melihat orang dapat perjanjian Gucci. Rambut dia panjang? Saya tak tahu apa berlaku. Cemburu? Nilai £100 juta? Sama ada Jack ada kata sesuatu yang kita tak nampak atau Savic memang tak suka melihat dia.”

“Jika saya Jack Grealish, saya akan cakap tentang perasaan bersama pasukan yang sentiasa menang.”

Pergaduhan antara Jack Grealish dan Savic berlanjutan sehingga tamat perlawanan dengan mereka dilihat turut mahu bertumbuk di dalam terowong ketika mahu kembali ke bilik persalinan.

Bukan hanya mereka berdua, bahkan hampir kesemua pemain sebenarnya turut mahu bertumbuk ketika mereka bertemu di dalam terowong.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Grealish Mendapat Gelaran 'Si Dungu' Kerana Sikap Keji Beliau Di Luar Padang