Tak Cukup Insiden Tarik Rambut, Savic Ajak Grealish Bertumbuk Lepas Perlawanan Hingga Polis Terpaksa Masuk Campur

Stefan Savic telah melakukan aksi kontroversi selepas beliau dilihat menarik rambut Jack Grealish ketika kesemua pemain terlibat dalam satu insiden panas di penghujung minit permainan.

Aksi pertembungan antara Manchester City bertemu Atletico Madrid jelas sekali merupakan perlawanan yang penuh dengan aksi panas baik di kalangan pemain mahupun pengurus.

City berjaya melayakan diri ke pentas separuh akhir saingan Champions League selepas kejayaan mereka menewaskan Atletico Madrid 1-0 secara aggregate.

Man City berjaya mendahului permainan dengan keputusan 1-0 ketika aksi leg pertama di Etihad, dan mereka mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan ketika aksi leg kedua di Wanda Metropolitano awal pagi tadi.

Perlawanan tersebut sememangnya sangat panas dengan banyak aksi pergaduhan, layangan kad dan pengadil perlawanan, Daniel Siebert turut dilihat berdepan kesukaran untuk mengendalikan perlawanan tersebut.

Phil Foden berulang kali menjadi sasaran pemain pasukan lawan hingga menyebabkan beliau terpaksa menghabiskan permainan dengan memakai bandage di kepala.

Beliau terpaksa memakai bandage tersebut selepas dikasari oleh pemain pertahanan Atletico Madrid, Felipe pada awal permainan.

Kedua-dua mereka sekali lagi terlibat dengan insiden panas di hujung-hujung minit permainan dengan Felipe dilihat menendang Foden dan menyebabkan pemain kebangsaan England itu tersungkur mencium tanah.

Selepas melihat Foden jatuh, Savic tampil untuk segera mengangkat bintang Man City itu supaya kembali bangun dan meneruskan permainan.

Melihat hal itu berlaku, Oleksandr Zinchenko terpaksa turut masuk campur dalam usahanya mahu melindungi rakan sepasukannya itu.

Tindakan aggressive Savic itu telah mencetuskan kekecohan di atas padang dengan para pemain kedua-dua pasukan mula berkerumun di tempat kejadian.

Beliau kemudiannya menerima layangan kad kuning dari pengadil perlawanan, sementara rakan sepasukannya, Felipe pula dilayangkan dengan layangan kad merah.

Grealish dalam perlawanan ini kekal berada di bangku simpanan dan tidak dimasukkan oleh Pep Guardiola, namun hal itu sama sekali tidak menghalang beliau untuk sekali lagi mencari pasal dengan Savic.

Ketika aksi leg pertama di Etihad, kedua-dua mereka sebenarnya sudah terlebih dahulu ada masalah dan hampir bertumbuk.

Grealish ketika insiden pergaduhan pada awal pagi tadi beliau sebenarnya berada di tepi padang untuk memanaskan badan dan sebaik insiden itu berlaku, beliau terus pergi ke arah Savic.

Savic kemudiannya dilihat menarik rambut Jack Grealish dengan penuh ghairah dan jelas sekali kedua-dua mereka turut hampir bertumbuk dalam perlawanan ini.

Walaupun berdepan tekanan yang sangat tinggi dari Atletico Madrid, namun City tetap tenang menyerap semua tekanan dan memastikan perlawanan berakhir dengan keputusan seri.

Keputusan seri tanpa jaringan itu secara tak langsung membantu Man City untuk layak ke peringkat separuh akhir dengan mereka selepas ini akan turun beraksi bertemu seteru utama Atletico Madrid, Real Madrid.

BT Sport ada melaporkan yang selepas tamat perlawanan tersebut, Grealish dan Savic dilihat bertumbuk berdua di dalam terowong hingga menyebabkan pihak polis terpaksa masuk campur.

Ketika artikel ini ditulis, masih belum jelas apa sebenarnya yang berlaku di dalam terowong dan bagaimana pihak polis mengendalikan hal tersebut.

Bercakap selepas tamat perlawanan, pemain pertahanan Man City, John Stones menyatakan yang beliau berbangga dengan rakan sepasukannya kerana mampu untuk tetap tenang dalam situasi kecoh seperti itu.

“Kami tahu mereka kadang kala cuba dan memang sengaja menjadikan keadaan seperti itu dan saya fikir kami mengendalikan situasi dengan baik.”

Jelas Stones kepada BT Sport.

“Memang tak baik untuk bercakap tentang itu dan saya tak mahu menggali lebih lagi kerana lepas tamat aksi kedua-dua leg saya rasa kami bermain dengan sangat baik berdepan dengan pasukan yang berpengalaman dalam melakukan apa yang mahu mereka lakukan.”

“Saya sangat berbangga dengan pemain hari ini dengan bagaimana kami kekalkan penguasaan, emosi. Sebenarnya memang mudah sahaja untuk terlibat dengan hal seperti itu.”

Sumber: SPORTbible

BACA:  Penyokong Villa Ingatkan Grealish Yang City Akan Jahanamkan Kariernya