“Biadap”- Jack Grealish Dihentam Kerana Menghina Almiron

Jack Grealish dihentam teruk oleh pelbagai pihak kerana sikap biadapnya yang menghina bintang Newcastle United, Miguel Almiron.

Beliau mengeluarkan kenyataan yang menyatakan bahawa Riyad Mahrez bermain seperti Almiron ketika aksi kemenangan dramatik Manchester City menewaskan Aston Villa hujung minggu lalu.

Grealish sementara itu langsung tidak diturunkan pada hari perlawanan tersebut, namun beliaulah individu paling bersungguh meraikan kejayaan Man City menjuarai saingan Premier League musim ini.

Bukan hanya menghina pemain lawan, beliau turut menganjing rakan sepasukannya sendiri, Bernardo Silva dengan menganggap bintang Portugal itu punca Man City ketinggalan ketika bertemu Villa.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Bernardo Silva kerana keluar pada aksi babak kedua dalam perlawanan tersebut dan hal itu sebenarnya membantu City comeback.

Grealish juga turut mengusik Kyle Walker dengan menyatakan yang beliaulah satu-satunya individu yang mampu melepaskan diri ketika berdepan situasi satu lawan satu dengan pemain pertahanan itu.

Mengusik rakan sepasukannya mungkin tidak begitu membangkitkan kemarahan para peminat terhadap pemain bernilai £100 juta itu.

Namun ketika beliau mempersenda Almiron, ia sepertinya tidak diterima dengan baik oleh para peminat yang menganggap Grealish sebenarnya sangat biadap.

Dalam video bersama Silva itu, Grealish kononnya mendedahkan rahsia sebalik kemenangan mereka bertemu Aston Villa pada hari terakhir saingan musim ini.

Ketika itu jugalah beliau memilih untuk menganjing bintang Paraguay, dengan menganggap Mahrez bermain sepertinya sebelum dikeluarkan pada minit ke-56 permainan.

Para peminat di media sosial bengang dengan kenyataan dari Jack Grealish itu dan menganggap beliau sebenarnya sudah keterlaluan.

“Agak aneh bila seorang pemain profesional mempersenda pemain lain dan kenapa dia memilih untuk bercakap tentang Almiron? Grealish terlalu mabuk.”

“Dari ramai lagi pemain lain yang dia boleh sebut, kenapa dia pilih Almiron? Adakah selama ini Almiron duduk dalam kepala dia? Grealish sampah.”

“Saya rasa sekarang Pep betul, semua orang akan benci City sebab perangai Jack Grealish yang menjijikkan.”

“Tak faham kenapa Grealish memilih untuk samakan Mahrez dengan Almiron, bunyi dia langsung tak profesional dan rasanya kedua-dua Mahrez dan Almiron jauh lebih hebat dari Grealish sendiri.”

“Sejujurnya saya rasa agak aneh kenapa dia sebut nama Almiron. Mungkin dia terlalu mabuk dan dia dibayangi oleh individu paling dia takut.”

Peminat semakin yakin yang beliau dalam keadaan mabuk selepas mendengar kenyataan poyo beliau yang turut membuatkan Pep Guardiola ketawa terbahak-bahak.

Kenyataan poyo Grealish buat Pep ketawa terbahak-bahak

Jack Grealish merampas microphone dari Riyad Mahrez ketika keraian kejuaraan Premier League Manchester City dengan beliau kemudiannya mengeluarkan kenyataan poyo yang membuatkan Pep Guardiola ketawa terbahak-bahak.

Walau kenyataan beliau bakal membuatkan Kyle Walker berasa menyampah, namun hal itu membuatkan Pep Guardiola rasa terhibur.

Manchester City telah dinobatkan sebagai juara saingan Premier League musim ini selepas kejayaan mereka menewaskan Aston Villa 3-2 pada aksi perlawanan terakhir saingan musim ini.

Hari ini, seluruh kem Man City turun ke jalanan untuk meraikan kejayaan mereka menjuarai saingan Premier League itu.

Selepas bersiar-siar di bandar Manchester, para pemain, barisan kejurulatihan dan staff kembali ke Etihad untuk sesi akhir perayaan mereka hari ini.

Riyad Mahrez ketika itu sedang bercakap tentang Kyle Walker dan turut bertanya kepada bintang England itu siapa yang pernah menewaskan beliau ketika berdepan situasi 1 lawan 1.

“Kylian Mbappe? Neymar?”

Soal Mahrez kepada Kyle Walker.

Mahrez kemudiannya menyebut nama Grealish namun belum sempat beliau meneruskan perbicaraannya bintang England itu segera merampas microphone dan menyatakan:

“Saya ketika masih bersama Aston Villa, dan kerana itulah Pep menandatangani saya.”

Jelas Grealish menjawab persoalan dari Riyad Mahrez itu.

Kamera kemudiannya merakam reaksi Pep Guardiola bersama barisan kejurulatihannya yang ketawa terbahak-bahak mendengar jawapan dari Jack Grealish itu.

Para peminat tertarik dengan jawapan dan keyakinan yang ditunjukkan oleh Jack Grealish itu dengan mereka hangat membincangkan hal itu di media sosial.

“Walau dia tak ada sumbangan besar, tapi dia meraikan kejayaan City seolah-olah dia punca City juara.”

“City menandatangani Jack Grealish sememangnya hanya untuk berpesta, itu sahaja peranan dia dan nampaknya dia berjaya jalankan tugas dia dengan sempurna.”

“Selama ini saya mencari jawapan kenapa Man City menandatangani dia, hari ini saya dah dapat jawapan. Di sini lah sebenarnya tempat untuk Jack Grealish menyerlah.”

“Mahal hiburan yang Man City perlu bayar, mereka keluarkan £100 juta untuk badut dari Aston Villa ini.”

“Keyakinan dia memang menakjubkan, adakah dia di bawah pengaruh alkohol? Atau memang dia benar-benar maksudkan hal itu?”

Tidak dinafikan lagi yang Jack Grealish sememangnya benar-benar menikmati perayaan tersebut dengan beliau naik ke pentas turut membawa vodka dan Coca-Cola di tangannya.

Ketika berada di atas bas, beliau bahkan turut menganjing rakan sepasukannya, Bernardo Silva.

Bernardo Silva telah dikeluarkan ketika Man City sedang ketinggalan 2-0 di tangan Aston Villa dan sebaik beliau keluar, Man City berjaya melakukan comeback.

IIkay Gundogan yang masuk menggantikan Bernardo Silva berjaya menjaringkan dua gol seterusnya menjadi wira kebangkitan City menewaskan Aston Villa dalam perlawanan tersebut.

Dua gol jaringan Gundogan dan satu gol jaringan Rodri sudah cukup untuk mengesahkan kejayaan City memenangi gelaran Premier League keempat mereka dalam tempoh lima tahun terakhir ini.

“Saya dah kata awal tadi, ia merupakan satu perasaan yang sangat hebat untuk memenangi Piala pertama saya. Saya mahu ucapkan terima kasih kepada semua orang. Tapi yang paling utama, saya mahu ucapkan terima kasih kepada Bernardo Silva kerana keluar pada minit ke-70 permainan.”

Jack Grealish menyertai Manchester City dari kelab kesayangannya, Aston Villa dengan yuran perpindahan bernilai £100 juta pada musim panas lalu.

Beliau sepertinya masih gagal untuk menyesuaikan diri dengan sistem Man City dan jelas sekali beliau masih gagal untuk mendapatkan tahap persembahan terbaiknya pada ketika ini.

Beliau merupakan nadi penting ketika beraksi bersama Aston Villa, namun hal sama tak berlaku di Etihad dan para peminat sangat berharap beliau akan mampu buktikan kemampuan sebenarnya selepas ini.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Jack Grealish Melalui Debut Champions League Yang Sempurna