Jamie Vardy: Kisah Budak Kilang Yang Menjadi Mesin Pencetak Gol

Kisah dan perjalanan karier Jamie Vardy sebagai pemain bola sepak di posisi penyerang sangat berliku, kini Vardy dari budak kilang telah menjadi pemain penyerang sensasi sebagai mesin pencetak gol.

Jamie Vardy dilepaskan oleh Sheffield Wednesday ketika berusia 16 tahun dengan alasan saiz fizikalnya yang terlampau kecil untuk menjadi seorang pemain bola sepak yang handal.

Selepas peristiwa sedih dan pilu itu, Vardy mengambil keputusan untuk menyambung pelajaran dalam bidang Sains Sukan di sebuah kolej tempatan di England dan membekukan seketika karier bola sepak.

Vardy bersama pasukan remaja Sheffield Wednesday Sumber: Mirror

Jamie Vardy mengakui bahawa selepas dilepaskan oleh Shffield Wednesday itulah saat paling teruk yang pernah dihadapi sepanjang karier dan tidak mampu untuk mengarungi detik itu.

“Apabila aku dilepaskan oleh kelab Sheffield Wednesday, aku berhenti bermain bola sepak untuk seketika. Itu adalah saat paling teruk dalam karier aku. Sungguh aku tak mampu untuk mengharunginya”-Jamie Vardy

Sedih dan pedih serta berat untuk melupakan apa yang terjadi, Vardy tetap berfikiran waras dan tidak berpegang kepada falsafah ‘Ijazah terbaik dari jalanan’ lalu Vardy menyambung pelajaran sebagai satu jaminan masa depan dan bukannnya beguru dengan sifu di media sosial.

Kembali Bermain Bola Sepak Semula

Darah daging dan minat serta kecintaan Vardy kepada bola sepak tidak dapat dibendung lagi manakan mungkin beliau dapat berhenti dari bola sepak dan kembali bermain bola sepak.

Vardy akhirnya membuat kemunculan semula dalam dunia bola sepak apabila menyertai sebuah kelab bola sepak amatur Stockbridge Park Steels yang bermain di liga ketujuh dalam hierarki bola sepak England.

Selain itu untuk menampung kehidupan seharian, Vardy juga bekerja secara sambilan di sebuah kilang membuat alat sokongan perubatan.

Ketika itu gaji mingguan sebagai pemain bola sepak amatur hanyalah 30 pound seminggu. Bermula sebagai pemain pasukan simpanan, Vardy akhirnya berjaya membuat debut bersama pasukan senior Stockbridge pada tahun 2007.

Jamie Vardy bersama pasukan remaja Stocksbridge Park Steels Sumber: Mirror

“Dia permain pertama datang latihan dan yang terakhir pulang”,- Allen Bethel (Pengerusi Stockbridge Park Steel)

Selepas tiga musim bersama Stockbridge, Vardy berhijrah ke FC Halifax Town dengan bayaran sebanyak 15 ribu pound. Dia tidak menunggu lama untuk membuktikan keunggulannya bersama pasukan baru apabila menjaringkan gol kemenangan ketika debut bersama Halifax Town.

Pada musim tersebut dia berjaya menjaringkan 26 gol secara keseluruhan untuk Halifax Town.

Vardy berhijrah lagi kali ini ke kelab Fleetwood Town yang bermain di Conference Premier.

Vardy berjaya menjadi penjaring terbanyak dalam kejohanan tersebut dengan 31 gol dan membantu kelabnya muncul juara dan layak ke League 2 buat pertama kali dalam sejarah.

Rekod Perpindahan Untuk Pemain Bukan Liga

Pada tahun 2012, kelab Liga Kejuaraan Leicester City berjaya mendapatkan khidmat Vardy dengan nilai 1 juta pound. Satu rekod perpindahan baru untuk sebuah kelab bukan liga.

“Semasa aku di Fleetwoot, aku tak sangka akan bermain untuk pasukan Leicester. Ini adalah perhentian aku yang seterusnya dan peluang ini sangat besar”

Namun musim pertama Vardy bersama The Foxes tidak seperti yang diharapkan apabila hanya mampu menjaringkan 5 gol. Ini mengundang kritikan daripada peminat-peminat Leicester City.

Musim berikutnya Vardy berjaya membuktikan yang dia masih bernilai kepada pasukan Leicester apabila menjaringkan 16 gol dan membantu pasukan layak ke Liga Perdana Inggeris.

Kontraknya telah dilanjutkan sehingga tahun 2018.

Kisah Dongeng Seorang Vardy

Penampilan pertamanya dalam Liga Perdana Inggeris pada musim 2014-2015 bermula agak perlahan apabila perlu menyesuaikan diri dengan gaya permainan pantas dan keras.

Dia hanya berjaya menjaringkan 5 gol untuk sepanjang musim tersebut.

Pada musim 2015-2016 Vardy tidak lagi menoleh ke belakang. Dia bagaikan dirasuk semangat dewa bola sepak apabila berjaya menjaringkan gol dalam 11 perlawanan liga berturut-turut.

Dia berjaya membantu Leicester City menjadi juara Liga Perdana Inggeris dan menduduki tempat kedua dalam senarai penjaring terbanyak di belakang Harry Kane dengan 24 gol.

Sumber: TeamTalk

Disebabkan prestasi terbaik yang ditunjukkan Vardy pada musim tersebut, dia telah terpilih untuk mewakili skuad kebangsaan England pada kejohanan EURO 2016.

Dia mempunyai kesungguhan dan fokus yang tinggi. Dia mempunyai mental yang kuat dan tidak pernah berputus asa. Dia adalah inspirasi kepada orang lain”, Claudio Ranieri.

Selepas cemerlang membantu Leicester City menjadi juara Premier League melalui satu perjalanan sebuah kisah dongeng bola sepak, ketajaman Vardy menjadi rebutan kelab bola sepak handalan.

Beberapa rakan sepasukan Vardy memilih untuk berhijrah dan menerima tawaran pasukan handalan yang lain demi menggapai impian setiap pemain. Tetapi Vardy tetap setia bersama Leceister hingga kini.

Vardy pemenang Kasut Emas Tertua Premier League

Jamie Vardy telah muncul sebagai pemain paling tua untuk memenangi anugerah golden boot atau Kasut Emas Premier League bagi musim 2019/20.

Jamie Vardy menamatkan musim ini selaku penjaring terbanyak dengan 23 jaringan walaupun Leicester sangat tidak konsisten selepas liga kembali bersambung.

Pemain England berusia 33 tahun itu telah menjaringkan 23 gol, berkelebihan satu gol di depan penyerang Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang dan Southampton, Danny Ings yang berkongsi tempat kedua dengan 22 gol.

Dengan kemenangan ini, Jamie Vardy telah menjadi pemain Inggeris ke-9 meraih anugerah kasut emas.

Itulah kisah penuh sensasi Jamie Vardy yang dikenali sebagai pemain late bloomer atau kembang lewat di mana pada usia 23 tahun barulah Vardy merasai bermain bola sepak secara profesional bersama Halifax Town.

Pada umur 25 tahun pada tahun 2012, Vardy masih bermain di non-league football bersama Fleetwood Town. Musim panas 2012 kisah penuh sensasi Vardy bermula apabila menyertai Leicester City.

Dua tahun kemudian pada usia 27 tahun Vardy mula bermain di liga tertinggi, Premier League dan tahun 2016 semua mula mengenali Vardy sebagai mesin pencetak gol.

Sumber:

Worldsoccertalk 

Dawn.Com

BACA:  10 Pemain Kelas Dunia Yang Bermain di EPL Tetapi Tercirit