Jawapan Balas Padu Rangnick Kepada Ronaldo

Ralf Rangnick mula memberi reaksi balas kepada kritikan Cristiano Ronaldo kepadanya dengan memberikan jawapan padu, ringkas dan padat bagi menutup kontroversi yang berkait dengan dirinya.

Pada mulanya Ralf Rangnick seperti telah menjauhkan diri daripada kritikan Cristiano Ronaldo terhadap pelantikan sementaranya di Manchester United.

Ole Gunnar Solskjaer telah dipecat pada November tahun lalu dan Rangnick dilantik sebagai penggantinya sebagai pengurus interim bagi musim berbaki.

Manchester United juga mengesahkan warga Jerman itu akan mengambil peranan sebagai perunding untuk tempoh dua tahun mendatang selepas musim itu berakhir.

Bagaimanapun, Rangnick gagal meningkatkan prestasi pasukan semasa menjadi pengurus sementara dan peranan sebagai perunding kelab akhirnya dibatalkan.

Hasil air tangan Rangnick, Manchester United mencatatkan kutipan jumlah mata terendah di Liga Perdana sepanjang zaman selepas hilang mata demi mata kepada pasukan bawahan

Rangnick meneruskan hidupnya seperti biasa dan telah dilantik sebagai pengurus pasukan kebangsaan Austria pada akhir April dan atas alasan menjadi pengurus Austria juga Rangnick tidak mahu lagi menjadi perunding.

Ketika menjalani kehidupan yang tenang bersama Austria tiba-tiba Cristiano Ronaldo yang telah ditemu bual oleh Piers Morgan memetik nama Rangnick dengan kritikan yang tidak sedap didengar.

Ronaldo teleh memperlekehkan Rangnick dan dia tidak faham kenapa Rangnick yang tidak pernah dia kenali atau dengari namanya itu dilantik menjadi pengganti Ole Gunnar Solskjaer.

Ronaldo berkata:

“Selepas memecat Ole, mereka membawa pengarah sukan Ralf Rangnick masuk. Ia sesuatu yang tiada siapa faham. Ia mengejutkan saya.”

“Jika anda bukan seorang jurulatih, bagaimana anda akan menjadi bos Manchester United? Saya tidak akan pernah malah mendengar tentang dia.”.

Rangnick yang telah ditanya mengenai komen Ronaldo itu telah menjawab ringkas:

“Saya bos pasukan pasukan kebangsaan Austria, bukan tugas saya untuk menilai itu. (Ia) tugas Manchester United dan wartawan sukan.”

Nasib baik Rangnick tidak jawab: “Mana saya tahu, saya kan ikan.”

Rangnick ternyata tidak mahu ambil peduli dengan apa yang diperkatakan oleh Ronaldo kerana dia bersama Austria sekarang dan itu bukan masalahnya.

Rangnick Kiblat Bola Sepak Jerman

Marilah kita bercerita dengan ringkas siapakah Ralf Rangnick, jika Ronaldo Google mungkin akan jumpa dan baca, pandai-pandai Bang Do terjemah dalam bahasa Portugal.

Pada bulan Februari tahun 1983, seorang individu yang bernama Ralf Rangnick ketika itu baru berusia 25 tahun dah menjadi pemain merangkap pengurus bagi kelab Viktoria Backnang – sebuah pasukan dari pekan kecil yang bermain di divisyen keenam Jerman, apabila pasukan Dynamo Kiev yang ketika itu dikendalikan oleh Valeriy Lobanovskiy bertandang untuk perlawanan persahabatan pra-musim.

Kiev pada waktu itu merupakan kelab terkuat dalam empayar Soviet Union dan tidak pelik jika kelab kecil menjadi kecut perut apabila masuk ke padang, meskipun untuk perlawanan persahabatan.

Tetapi, perlawanan yang dijangka menjadi satu medan belasahan pasukan Backnang, bertukar menjadi satu memori yang paling diingati, setidak-tidaknya buat Lobanovskiy.

Rangnick, yang turut bermain sebagai pemain tengah, telah membuatkan pasukan lawan menjadi bingung.

Sejak perlawanan tersebut, Dynamo Kiev akan kembali ke pekan tersebut untuk berlatih pada setiap musim di bawah Lobanovskiy dan Rangnick, yang ketika itu sedang dalam fasa menyiapkan lesen kejurulatihan, akan hadir pada setiap sesi bersama-sama pen dan buku nota, untuk belajar bagaimana cara mereka bermain dan persiapan yang dilakukan.

Gaya permainan pasukan yang dikendalikan Lobanovskiy yang tanpa henti mengejar bola, pressing secara teratur adalah berasaskan daripada pemerhatiannya daripada susunan permainan daripada jurulatih muda, Rangnick, yang kemudiannya mengimplementasikan ideanya terhadap beberapa kelab seperti Hoffenheim dan RB Leipzig, sekaligus membantu merevolusikan bola sepak Jerman.

Pada masa yang sama, dia telah memberikan inspirasi dan melahirkan ramai jurulatih ternama seperti Jurgen Klopp dan Thomas Tuchel.

Corak permainan yang dilihat indah dan stim pada hari ini, sebenarnya dianggap sebagai satu taktik yang radikal pada era 80-an.

Pasukan yang bertanding di Bundesliga pada zaman tersebut merupakan cerminan kepada kecemerlangan pasukan kebangsaan Jerman Barat.

“Mereka akan bermain dengan seorang sweeper dan akan man-marking – satu sistem yang sangat digemari,” ujar Rangnick dalam Das Reboot.

Meskipun keyakinan orang ramai bahawa bola sepak Jerman akan mampu bertahan untuk tempoh yang lama, Rangnick sedar sesuatu perlu dilakukan. Dia telah menelusuri taktik pasukan AC Milan yang dikendalikan oleh Arigo Sacchi dan juga pasukan Kiev, melihat bagaimana cara untuk bermain secara zone marking, dan diadaptasikan dalam pressing pada tempo tinggi.

Sacchi telah membawa Milan muncul juara Piala Eropah (Liga Juara-Juara) secara berturut-turut pada tahun 1989 dan 1990, dan mereka menunjukkan gaya permainan yang bergantung kepada kerjasama sepasukan berbanding kemampuan magis seseorang pemain.

Rangnick juga berasakan bahawa dia mempunyai persamaan dengan Sacchi di mana kedua-duanya bukanlah seorang yang dikenali ketika bergelar seorang pemain.

Satu pertemuan dengan Zdenek Zeman, seorang jurulatih dari Republik Czech, yang turut menggunakan taktik pressing bersama pasukan Foggia di Itali, memberikan inspirasi yang mendalam kepada Rangnick.

Segala hasil pembelajarannya mula diguna pakai ketika Rangnick mengendalikan pasukan kecil di liga bawahan, dan kejayaan yang besar mula hadir bersama pasukan Ulm 1846, di mana dia berjaya memacu pasukan tersebut naik ke Bundesliga pada tahun 1999.

Ulm ketika itu dilihat seabagai satu pasukan yang mempunyai pemain yang cukup bertenaga, termasuk seorang pemain muda yang bernama Tuchel – kemudiannya terpaksa bersara awal pada usia 24 tahun selepas mengalami kecederaan lutut yang kronik.

Pada tahun 1998, pasukan Jerman pulang awal dalam kempen Piala Dunia apabila tewas kepada Croatia pada peringkat suku akhir dan ini menimbulkan tanda tanya di seluruh Jerman tentang masa depan pasukan tersebut, sekaligus membuktikan apa yang dirisaukan Rangnick tentang sistem sweeper adalah satu isu yang berasas.

Pada bulan Disember tahun yang sama, Rangnick telah muncul di kaca TV Jerman di mana dia telah diminta untuk menerangkan taktikalnya kepada umum dan sejak detik itu, dia digelar sebagai Professor, kerana gayanya yang berkaca mata.

Di atas kecemerlangannya bersama Ulm, dia telah dilantik menjadi pengurus pasukan Stuttgart dan berjaya menamatkan musim pertamanya di tangga kelapan Bundesliga. Pada musim berikutnya, dia telah dipecat kerana pasukannya bergelut di zon penyingkiran.

Rangnick kemudiannya berjaya naik semula ke Bundesliga bersama pasukan Hannover, tetapi selepas mengendalikan Schalke, kemampuan dan taktiknya mula menjadi persoalan.

Secara keseluruhannya, Rangnick telah memusnahkan reputasinya sebanyak tiga kali di mata para pengkiritiknya dan ini membuatkannya lebih berhati-hati dalam memilih pasukan untuk dikendalikan dengan syarat utamanya adalah dia mempunyai lebih kawalan dan kebebasan untuk mengimplimentasikan ideanya.

Hoffenheim menjadi pilihan Rangnick sebagai medan perjuangan berikutnya. Meskipun kelab ini tidak mempunyai sejarah yang hebat dan hanya berada di divisyen ketiga Jerman, pemiliknya yang kaya dan mempunyai cita-cita yang tinggi, Dietmar Hopp – seorang jutawan perisai komputer, cukup berminat dengan methodologi daripada Rangnick dan mahu idea tersebut menjadi tunjang buat kelabnya dalam usaha mendaki dan menjadi kuasa besar dalam bola sepak Jerman.

Cabaran ini diterima Rangnick dan dia menganggap bahawa Hoffenheim adalah satu kertas yang kosong.

Dia telah diberikan ruang untuk menggunapakai ideanya dalam latihan di padang, serta mempunyai suara dalam pemilihan pembelian pemain – hanya mahukan pemain yang berusia 23 tahun dan ke bawah, kerana selain mampu menyerap ilmu yang baru dengan cepat, mereka juga mempunyai harga jualan yang tinggi apabila sampai waktunya nanti.

Pada masa yang sama, pemain pada usia tersebut juga mempunyai fizikal yang mampu untuk bermain secara pressing apabila ketiadaan bola.

Meskipun digelar sebagai pasukan tabung uji oleh sesetengah pihak, peningkatan mereka yang mendadak di mana mereka berjaya naik liga sebanyak dua kali berturut-turut telah membuatkan seluruh Bundesliga bergegar.

“Itu adalah bola sepak yang kita mahu mainkan suatu hari nanti,” ujar Jurgen Klopp selepas pasukan kendaliannya, Borussia Dortmund, telah dibelasah 1-4 oleh anak buah Rangnick pada September 2008.

Jurulatih Jerman, Joachim Loew, pula berkata bahawa kekalahan 1-2 Bayern Munich kepada Hoffenheim beberapa bulan kemudian merupakan perlawanan yang paling cepat berlalu dalam sejarah Bundesliga.

Hoffenheim berjaya menamatkan saingan liga di tangga ketujuh pada musim tersebut dan sejak detik itu, bola sepak Jerman akhirnya telah mula menerima hakikat bahawa cara permainan Rangnick adalah yang terbaik untuk mereka.

Selepas berjaya bersama Hoffenheim, Rangnick kembali bersama Schalke 04 buat kali kedua, dan bersama kelab tersebut dia telah berjaya menjulang Piala Parit Jerman – piala utama yang pertama dalam kariernya, dan berjaya membawa pasukan tersebut layak ke separuh akhir Liga Juara-Juara sebelum ditendang keluar oleh Manchester United.

Apapun, hasil kerja terbaiknya adalah ketika dia bersama RB Leipzig, di mana Rangnick memberikan impak yang serupa ketika dia berada di Hoffenheim.

Rangnick mungkin tidak sesuai sebagai pengurus terutamanya di kelab besar namun pakar dalam pembangunan pemain muda seperti mana yang dicoraknya bersama RB Leipzig.

BACA:  Aksi Ketika Bertemu Liverpool Punca Hannibal Mejbri Ditendang Kembali Sertai Skuad B-23