Jordan Henderson Dianggap Pentingkan Diri Sendiri Kerana Masih Dalam Skuad England

Ketua pasukan Liverpool, Jordan Henderson telah dikritik sebagai seorang pemain yang pentingkan diri sendiri kerana masih menyertai skuad England ke aksi Euro walau dibelenggu masalah kecederaan.

Henderson tidak diturunkan ketika aksi kemenangan 1-0 England menewaskan Austria dalam aksi perlawanan persahabatan kemarin.

Gareth Southgate mendedahkan yang pemain midfield itu sudah menjalani medical check up dan beliau disahkan sudah pulih sepenuhnya.

Namun Henderson sebelum perlawanan bertemu Austria, beliau memberitahu pengurusnya bahawa beliau rasa tidak cergas untuk bermain.

Pemain berusia 30 tahun itu sudah tidak beraksi sejak mengalami kecederaan ketika bertemu Everton dalam aksi saingan liga pada Februari lalu.

Bekas pemain kebangsaan England, Gabriel Agbonlahor telah mendedahkan yang Henderson sebenarnya mengecewakan negaranya sendiri kerana mengambil spot yang sepatutnya boleh diambil oleh pemain lain yang lebih layak.

“Satu hal yang betul-betul buat saya tertarik adalah berkait Henderson.”

Jelas Agbonlahor kepada talkSPORT.

“Bahkan Henderson sendiri, dia sepatutnya perlu berterus terang dengan pengurusnya sekarang dan katakan, ‘kamu tahu tak? Saya menderita kesakitan sekarang, saya pemimpin saya seorang ketua pasukan, saya akan lakukan yang terbaik untuk pasukan. Masukkan Ben White, Eric Dier, bawa je sesiapa kamu rasa boleh bermain di posisi centre midfielder, kerana kecederaan ini menyiksa saya, saya belum cergas dan ia akan berulang kalau saya bermain’.

Southgate sendiri berdepan dengan cabaran berkait isu pemilihan pemain ketika bertemu Austria dengan beliau ketika itu tanpa pemain dari Chelsea, Manchester City dan Manchester United.

Kesemua pemain England dari tiga pasukan tersebut diberikan masa rehat yang lebih panjang kerana terlibat dengan aksi perlawanan akhir Eropah sebelum ini.

Walau bagaimanapun, pengurus England itu telah mendedahkan yang Henderson telah memberitahu beliau yang dia masih belum cergas untuk bermain.

“Dia tidak begitu gembira pagi ini dek kerana apa yang sedang dia rasa.”

Jelas Southgate.

“Kami dah periksa dia dan rasanya semuanya tak ada masalah.”

“Keputusan kami adalah untuk tidak melibatkan dia dalam perlawanan ini dan mari lihat bagaimana dia ambil masa untuk dapatkan kecergasan dia semula.”

Rakan sepasukan Henderson, Trent Alexander Arnold turun beraksi dalam perlawanan tersebut, namun sayangnya beliau telah mengalami kecederaan yang agak teruk.

Masih belum jelas sama ada beliau akan tetap disenaraikan dalam senarai akhir pemain England sebelum bermulanya saingan Euro atau tempatnya akan digantikan oleh pemain lain.

Walau bagaimanapun, bekas penyerang Aston Villa, Agbonlahor jelas tidak gembira selepas membaca berita yang mengatakan Henderson masih belum cergas untuk bermain.

“Saya rasa dia pentingkan diri sendiri.”

Jelas Agbonlahor kepada Jamie O’Hara.

“Jika kamu lihat di sini, skuad sudah pun diumumkan dan dia baru saja beritahu Southgate yang dia tak cergas hari ini.”

“Mereka pula kata pemeriksaan terhadap dia semuanya baik-baik saja, dan dia sendiri tahu yang dia ada rasa sakit.”

“Pertandingan akan bermula dalam tempoh 10 hari lagi, mereka akan turun beraksi bertemu Croatia, bermain bertemu pasukan yang sangat, sangat bagus. Mereka perlu bersedia, mereka perlu sesi latihan sebelum perlawanan, mereka perlu bermain satu perlawanan awal setidaknya.”

BACA:  Pickford Berjanji Tidak Akan Menjadi 'Alisson' Ketika Mewakili England