Jurgen Klopp Berbangga Dengan Persembahan Skuad Depth Liverpool

Jurgen Klopp merupakan individu paling gembira dan bahagia selepas melihat anak-anak buahnya menewaskan Norwich 3-0 dalam saingan Carabao Cup awal pagi tadi.

Liverpool berkunjung ke Carrow Road untuk bertemu Norwich City dalam aksi pusingan ketiga saingan Carabao Cup awal pagi tadi.

Jurgen Klopp membuat sembilan pertukaran dalam kesebelasan utamanya dengan beliau turut memberi ruang kepada beberapa pemain muda untuk turun beraksi.

Beliau turut memberi ruang kepada beberapa pemain dari skuad depth untuk turun beraksi dan menunjukkan kemampuan sebenar mereka.

Dalam perlawanan ini juga, Liverpool memberikan debut kepada bintang berusia 16 tahun, Kaide Gordon dan pemain berusia 18 tahun, Conor Bradley.

Takumi Minamino dan Divock Origi juga turut diturunkan dalam kesebelasan utama dengan mereka telah mempamerkan aksi persembahan yang sungguh luar biasa menakjubkan.

Joe Gomez dan Ibrahima Konate merupakan dua pemain yang mendapat pujian yang menggunung dari Jurgen Klopp selepas tamat perlawanan tersebut.

Posisi tersebut merupakan masalah utama Jurgen Klopp pada musim lalu selepas Joe Gomez dan Virgil Van Dijk diketepikan untuk tempoh yang panjang kerana dibelenggu masalah kecederaan.

Ketiadaan kedua-dua pemain utama itu memberi ruang kepada Joel Matip untuk bersinar sebelum beliau turut diketepikan kerana masalah yang sama.

Jordan Henderson dan Fabinho dipertanggungjawabkan untuk beraksi di posisi tersebut bagi menggantikan pemain utama yang cedera.

Hinggalah ketika jendela perpindahan Januari dibuka, Liverpool membawa masuk dua pemain, Ben Davies dan Ozan Kabak untuk menyelesaikan masalah di posisi tersebut.

Situasi pada musim ini lebih selesa untuk Jurgen Klopp dengan beliau turut menyatakan kepada talkSPORT bahawa:

“Kami ada lima pemain centre-halves yang sungguh menakjubkan, selepas kisah yang kami lalui pada musim lalu, ia menjadi sangat penting untuk kami. Mereka semua sungguh luar biasa.”

“Siapa yang berada di tahap terbaik dia yang akan bermain. Itulah bagaimana ia berlaku dan kami akan terus perlukan mereka. Akan ada waktu getir yang bakal menanti kami nanti.”

“Persembahan pada aksi babak pertama tidak begitu bagus, tapi kedua-dua centre-halves sangat hebat. Ketika mereka bermain dengan bola di belakang, mereka sentiasa menang dan saya rasa selamat.”

“Ia sesuatu yang menarik untuk ditonton. Itulah permainan sebenar yang patut ditunjukkan oleh pemain centre-halves. Ketika tengah tidak berfungsi, mereka perlu kekal tenang dan selamatkan keadaan, itulah apa yang mereka lakukan.”

“Dan (Caoimhin) Kelleher turut beraksi cemerlang, melakukan aksi penyelamatan yang menakjubkan bersama semua pemain muda yang lain.”

“Takumi (Minamino) juga tidak mempunyai minit permainan yang cukup, tapi ketika dia berada di tahap persembahan sebaik ini, dia akan dapat 100 peratus minit permainan.”

“Divock Origi, dengan jaringan yang menakjubkan, ia juga bagus untuk dia.”

Tyler Morton turut dimasukkan pada aksi babak kedua permainan untuk menggantikan Naby Keita dan Klopp jelas sekali gembira melihat bagaimana para pemain muda beliau menyesuaikan diri beraksi bersama skuad utama.

“Kita miliki mereka ketika aksi pra musim bersama kami, dan apa yang paling mengejutkan saya adalah mereka boleh sesuaikan diri dengan intensiti, dan turut berlatih dengan baik.”

“Kita biarkan mereka dari masa ke semasa, ketika kita ada latihan berganda, dan mereka tidak berlatih sesi kedua, tapi mereka tak pernah penat.”

“Connor Bradley telah mempamerkan aksi yang bagus dan saya tak tahu berapa kali larian pantas yang dia buat.”

“Kade berlari pantas dalam jarak 50 ke 60 ela pada minit ke-87 permainan dan ia seolah-olah dia baru sahaja masuk ke padang.”

“Tyler masuk dan dia banyak membantu kami. Dia bermain di posisi itu dengan baik. Dia banyak menghantar bola ditempat yang betul, bertahan dengan betul.”

Jurgen Klopp jelas berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya dalam perlawanan tersebut, dan yakin skuad depth yang beliau miliki ketika ini sangat bagus.

BACA:  Trofi Liga Perdana Inggeris Diperagakan Di Anfield Sempena Pertemuan Liverpool-Chelsea