Jurgen Klopp Dikaitkan Untuk Mengisi Kerusi Panas Di Allianz Arena

Ejen yang mewakili Jurgen Klopp mendakwa Klopp dan Bayern Munich merupakan pasangan yang sesuai dan kerjasama di antara dua pihak tersebut mungkin berlaku pada masa hadapan, jika tidak pada musim panas nanti.

Segala urusan luar padang berkenaan bekas jurulatih Borussia Dortmund itu diuruskan oleh ejennya yang bernama Marc Kosicke.

Duduk Liverpool pon mandul, so..

Kredibiliti yang dimiliki Klopp sememangnya tidak boleh dipersoalkan lagi. Menurut Kosicke, pengurus Liverpool itu merupakan jurulatih yang sesuai untuk mengisi jawatan pengurus di Bayern Munich dengan Jupp Heynckes dilaporkan bakal mengosongkan jawatan yang disandangnya sebaik sahaja musim ini berakhir.

Bayern dilaporkan sedang memburu pengurus yang berkaliber untuk mengisi jawatan panas di Allianz Arena. Mereka cenderung melantik jurulatih tempatan kali ini dan telah menyenaraikan beberapa nama seperti Thomas Tuchel dan Julian Nagelsmann bagi jawatan tersebut.

Walaubagaimanapun, Kosicke percaya Bayern Munich tidak perlu bersusah payah mencari pengurus kerana Klopp adalah pengurus yang paling sesuai untuk mengisi jawatan tersebut.

Kecintaan Klopp terhadap Yellow Army membuatkan beliau menolak tawaran Bayern pada masa lepas

Bayern pernah cuba untuk membawa masuk Klopp ke Allianz Arena pada masa lepas ketika Klopp masih lagi bergelar jurulatih Borussia Dortmund. Tetapi kesetiaan Klopp terhadap Dortmund pada ketika itu menyebabkan hasrat Bayern tidak tercapai.

Walaupun demikian, Kosicke percaya Klopp tidak akan meninggalkan Liverpool pada musim panas nanti kerana masih banyak perkara yang belum dicapainya di Anfield.

“Klopp mempunyai kontrak bersama Liverpool sehingga tahun 2022 dan saya tidak rasa kerja beliau di Liverpool sudah tamat.” Ujar Kosicke kepada stesen televisyen Jerman, Sport1.

“Tetapi anda harus mengambil kira beberapa faktor. Apabila anda berpindah ke England, anda tidak boleh memandang rendah terhadap kurangnya rehat musim sejuk. Situasi ini mungkin akan merendahkan jangka hayat seseorang.”

“Menguruskan salah sebuah kelab terbesar di Eropah [merujuk kepada Bayern Munich] merupakan sesuatu yang menarik, tetapi banyak perkara perlu dipadankan sebelum Klopp ke Bayer boleh berlaku.”

“Benar, Bayern sedang mencari pengurus baru musim panas nanti tetapi Klopp mempunyai kontrak yang masih lama bersama Liverpool. Buat masa sekarang, saya rasa Klopp tidak mempunyai sebarang minat untuk melatih pasukan selain dari Liverpool.”

“Tiada sebarang jurulatih dalam dunia ini lebih besar daripada kelab. Biasanya, kelab adalah lebih besar daripada jurulatih. Klopp tidak terlalu besar buat Bayern Munich dan Bayern Munich tidak terlalu besar buat Klopp.”

Klopp baik dengan orang dalam

“Sudah tentu Klopp akan melakukan kerja yang bagus jika beliau menjadi pengurus di sana. Bayern dan Klopp merupakan pasangan yang cocok, tetapi buat masa sekarang, ia bukanlah satu pilihan buat Klopp.”

Kosicke juga mendedahkan sebab mengapa Klopp tidak pernah menjadi pengurus Bayern Munich dimana beliau mendakwa masa sering menjadi penghalang untuk melihat ia berlaku.

“Saya boleh katakan Bayern Munich merupakan antara pasukan yang Klopp mempunyai pilihan untuk dilatih. Ini kerana Klopp mempunyai hubungan yang baik dengan Uli Hoeness [Presiden Bayern]. Tetapi ia tidak berlaku kerana masa yang tidak tepat.”

BACA:  诺丁汉森林 1 利物浦 0: Dean Henderson Dan Pemain Buangan Liverpool Cemerlang