“Kami Hampir Bunuh Dia”- Klopp Beri Gambaran Bakal Ubah Posisi Nunez

Jurgen Klopp telah memberi bayangan yang Darwin Nunez berpotensi untuk bermain di posisi berbeza di dalam sistem kendaliannnya selepas ini.

Hal itu didedahkan oleh pengurus Liverpool itu selepas melihat aksi debut Nunez ketika bertemu Manchester United di Thailand.

Nunez tiba dari Benfica pada awal musim panas baru-baru ini dan beliau ditandatangani dengan yuran perpindahan memecah rekod bernilai £85 juta.

Pemain berusia 23 tahun itu pada awalnya dianggap sebagai calon pengganti Sadio Mane, yang telah meninggalkan kelab untuk sertai Bayern Munich pada jendela perpindahan musim panas ini.

Gergasi Bundesliga itu menandatangani Sadio Mane dengan yuran perpindahan bernilai £35 juta dan pemergian bintang Senegal itu sedikit sebanyak beri impak kepada Liverpool.

Liverpool memulakan aksi pada kempen pra-musim kali ini dengan sesi jelajah Asia dengan mereka mencatatkan kekalahan memalukan 4-0 di tangan Man Utd pada perlawanan pertama mereka.

Skuad setan merah terlalu mudah menjinakkan The Reds untuk menjulang Bangkok Century Cup di Rajamangala National Stadium kemarin.

Satu perlawanan terus dapat satu piala, nampak cemana punya power Ten Hag?

Nunez dimasukkan ketika perlawanan masih berbaki sekitar 30 minit dan jelas sekali ia bukanlah debut yang diharapkan oleh beliau dan para penyokong.

Pemain kebangsaan Uruguay itu jelas sekali tidak sesuai dengan sistem Jurgen Klopp dengan pengurus dari Jerman itu turut bercakap tentang hal tersebut selepas tamat perlawanan.

Nunez terlepas dua kesempatan emas untuk menjaringkan gol dan salah satu darinya merupakan kesilapan dungu yang sukar untuk dimaafkan.

Beliau ketika itu dihidangkan dengan gawang gol yang terbuka luas untuknya, namun sayangnya rembatan beliau jauh melepasi gawang gol.

Agak mengejutkan untuk melihat pemain yang mampu menjaringkan 26 gol semusim dalam saingan Primeira Liga pada musim lalu gagal untuk memanfaatkan kesempatan tersebut.

Selepas tamat perlawanan, Klopp mencadangkan agar Darwin Nunez di gunakan di posisi lain selain dari posisi kegemaran beliau di bahagian nombor sembilan.

Pengurus Jerman itu memberitahu Liverpool Echo bahawa:

“Dia merupakan pemain nombor sembilan yang mampu bermain di bahagian sayap juga.”

“Kita akan lihat di mana dia bermain.”

“Tapi apa yang boleh kamu lihat adalah para pemain cuba mendapatkan dia. Ia merupakan sesi latihan ketiga dia sejak dia tiba pada pra-musim baru-baru ini, dan saya rasa selepas pecutan ketiga, jantung dia dah nak meletup.”

“Kami sebenarnya hampir bunuh dia dengan bola itu, tapi dia tawarkan larian dan pemain juga mahu menghantar bola kepada dia, itu sudah tentu antara kekuatan dia. Dia sangat bahaya.”

“Profile dia jelas sekali dia seorang pemain nombor sembilan sebenar, jadi ia sangat membantu dengan kepantasan dan keaggresifan serta dia pandai gunakan badan dia.”

Kenyataan terakhir beliau sangat jelas yang Klopp melihat Nunez sebagai pemain yang boleh bermain di posisi nombor sembilan.

Walau bagaimanapun, dengan beban yang beliau pikul untuk menggantikan Sadio Mane sangat besar, maka berat sebenarnya untuk beliau mencapai potensi terbaiknya.

Jurgen Klopp sendiri jelas sekali mempunyai kemampuan untuk menaikkan bakat-bakat hebat dalam dunia bola sepak, dan sepertinya tiada masalah untuk beliau membantu Nunez capai tahap persembahan terbaiknya di Anfield.

Masih terlalu awal untuk menganggap beliau sudah gagal di Anfield, namun satu hal yang pasti, Nunez masih mempunyai masa yang cukup untuk buktikan sesuatu kepada semua pihak.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Mourinho Mahu Manchester United Tamatkan Musim Di Kedudukan Ke-2 Liga